Sunday 9 December 2012

ULAMA MAZHAB MENCELA NYANYIAN: KITA YANG JAHIL ASYIK DENGANNYA

EMPAT ulama mazhab mencela nyanyian. Sekiranya kita mengaku mengikut salah satu mazhab tersebut, bagaimana sikap kita terhadap nyanyian? Sedih keadaan yang berlaku sekarang, di majlis tazkirah, kutbah Jumaat, mereka hanya "berani" menyebut bahawa kerosakan moral anak muda kita hari ini adalah kerana pengaruh hiburan yang berlebihan.
Sayangnya tidak ada penekanan yang lebih mendalam tentang bentuk hiburan itu. Sudahnya, anak muda kita hanya dengar dan sebaik sampai rumah, muzik rock atau lagu kegemarannya dimainkan lagi. Seisi rumah berdendangan dengan alunan muzik dari sejak subuh sampai ke senja, sambung ke malam, itu belum lagi yang pasang radio 24 jam sehingga hafal, lepas ini lagu apa yang akan diputarkan? Semua sudah diprogramkan.
Apa kata empat ulama makzhab kita?

IMAM ABU HANIFAH
Beliau membenci nyanyian dan menganggap mendengarkan nyanyian itu sebagai suatu perbuatan dosa [Ibnul Jauzi,Talbis Iblis,Darul Kutub al-Arobi, 1405H, h. 282].

IMAM MALIK BIN ANAS
Beliau berkata, "Barangsiapa yang membeli hamba lalu ternyata hamba itu adalah seorang penyanyi, maka hendaklah dia kebalikan hamba itu kerana terdapat 'aib." [Talbis Iblis, h.284]

IMAM ASY-SYAFI'E
Beliau berkata, "Nyanyian adalah suatu perkara yang sia-sia yang tidak kusukai kerana nyanyian itu adalah seperti kebatilan. Siapa sahaja yang sudah kecanduan [kemaruk] mendengarkan nyanyian, maka persaksiannya tertolak." [Talbis Iblis, h.283]

IMAM AHMAD BIN HAMBAL
Beliau berkata, "Nyanyian itu menumbuhkan kemunafikan dalam hati dan aku pun tidak menyukainya." [Talbis Iblis, h.280]

Ada orang berkata, itu dulu. Sekarang sudah berubah, kita perlu ikut peredaran zaman. Akan tetapi para ulama menasihatkan bahawa pengganti nyanyian dan muzk adalah al-Quran. Dengan membaca, merenungi, dan mendengarkan bacaan al-Quran maka hati kita akan hidup dan tersusun, inilah yang disyariatkan. Ingatlah, nasihat mereka lagi, bahawa muzik dan nyanyian itu tidak dapat bersatu dalam satu hati.

Kata Ibnul Qayyim rahimahullah, "Sungguh nyanyian itu dapat memalingkan hati seseorang dari memahami, merenungkan dan mengamalkan isi al-Quran. Ingatlah, al-Quran dan nyanyian  selama-lamanya tidak mungkin bersatu dalam satu hati kerana keduanya itu saling bertolak belakang. Al-Quran melarang kita mengikuti hawa nafsu, al-Quran memerintahkan kita menjaga kehormatan diri dan menjauhi berbagai bentuk syahwat yang menggoda jiwa. Al-Quran memerintahkan untuk menjauhi sebab-sebab seseorang melencong dari kebenaran dan melarang mengikuti langkah-langkah syaitan. Sedangkan nyanyian itu memerintahkan pada perkara yang bertentangan dengan hal-hal tadi." [Ighatsatul Lahfan, Darul Ma'rifah, Beirut, 1395H, 1/248-249]. []

No comments:

Post a Comment