Saturday 8 December 2012

MISTIK DALAM KEPELBAGAIAN

SETELAH menyiapkan sebuah buku berjudul MISTIK DALAM KEPELBAGAIAN DI NUSANTARA [terbitan Jahabersa JB, 2012], ada sesuatu yang rasanya perlu dilonggokkan lagi di dalam kandungan buku itu.
Sedari awal ketika memulakan manuskrip itu, iaitu tentang mistik, nampaknya bidang ini cukup luas. Pertama saya telah siapkan manuskrip tentang JIN DAN SAKA yang merupakan daftar isi buku mistik yang induk. Dan kemudian menyusul buku tentang PERSUGIHAN MISTIK yang menjadi kegilaan dan permainan kalangan mereka yang menggemari kemistikan.
Dunia mistik ini ada kepelbagaian sebenarnya. Ia tidak dapat dipaparkan hanya dengan beberapa ratus halaman sahaja. Malah kalau dikerjakan sungguh-sungguh ia boleh menjangkau hingga 1000 halaman tebalnya. Kalau begitu tebal sangat nanti.
Akhirnya, buku tentang mistik sudah jadi tiga:

1. JIN DAN SAKA
2.MISTIK DALAM KEPELBAGAIAN DI NUSANTARA
3.JIN DAN PERSUGIHAN MISTERI

Meskipun sudah berakhir dengan tiga buku, kata MISTIK masih mempunyai keluasan makna yang perlu dibeberkan pada masa yang lain.
Memang menarik kalau kita kumpulkan apa sahaja yang dikira mistik di dalam pemikiran orang Melayu termasuk di wilayah Nusantara ini. Ia sudahnya menjadi semacam kitab induk kalau boleh dikatakan begitu. Akan tetapi ia bukanlah sebuah karya ilmiah kerana ia bukan sebuah desertasi pun, melainkan kompilasi bahan tentang mistik yang dibukukan. Jadi, ia tidak tersusun dengan kemas sebagaimana sebuah buku ilmiah yang biasa orang baca.
Sebenarnya menulis, menyusun dan menjadikan ia sebuah bentuk buku adalah suatu kepuasan. Tanpa pengalaman membuat majalah, akhbar tabloid politik, buat kerja penyuntingan teks keagamaan, teks buku sekolah, teks sastera, kritikan, cerpen dan puisi tentulah penulis tidak mampu menerokai dunia buku.
Mistik bukanlah bidang ghaib.
Tidak ada sesiapa yang mengetahui alam ghaib selain apa yang telah dijelaskan menurut keterangan al-Quran dan as-Sunnah. Selainnya pengalaman peribadi, pengalaman dari pembacaan, kajian dan penyelidikan, campur temuramah, melihat benda-benda mistik yang menjadi temuan atau jumpaan dari Pak Raden Puji Masono yang banyak membantu penulis mendobrak dunia mistik.
Daripada beliau, penulis dapat melihat bahawa kegiatan mistik dapat menghadirkan benda-benda mistik yang tidak diketahui apa dan bagaimana kegunaannya.
Contoh, melalui beliau penulis pernah melihat bagaimana rupanya makhluk misteri yang kemungkinan dipanggil makhluk UFO yang mendarat di Kelantan sekitar tahun 2003 yang lampau. Pak Raden ada menyimpan gambar mayat makhluk itu, dan kemudian mayat makhluk UFO ditanam di rumahnya di Kuala Krai, Kelantan.
Tidak lama kemudian kuburan itu dikorek untuk melihat bagaimana tulang belulang makhluk UFO itu. Jelas, ia bukan makhluk seperti manusia. Tulangnya hancur seperti haiwan, jadi ia bukan dari jenis manusia.
Buktinya mahluk UFO itu boleh disimpan di rumah selama lebih seminggu tidak membusuk.
Penulis juga dapat melihat perolehan berupa batu terapung dari UFO, sejadah mistik dari wali, keris Cemeti Usul yang dikatakan pemberian dari wali 9, melihat bentuk rantai babi secara dekat, cemara babi, duit mistik dari dana ghaib yang gagal dipulihkan, harta karun dalam busut dari Bukit Tujuh, Kuala Lipis, Pahang.
Dan melalui beliau juga penulis mulai mengetahui betapa Ratu Kidul juga boleh berinteraksi dengan orang Malaysia dan tinggal di Bukit Bintang, KL.
Banyak lagi perkara mistik yang belum terungkai. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment