Tuesday 11 December 2012

PERUT KERONCONG ATAU PERUT ROCK?

ADA sebuah stesen radio yang asyik mainkan lagu keroncong. Tak henti-henti keroncong. Bilangan lagu keroncong tidaklah banyak. Jadi, lagu itulah yang diputarkan setiap hari. Orang yang minat keroncong tentu menguping, sementara yang tidak suka, akan tutup terus.
Bagi mereka yang berilmu, mereka tidak suka mendengar suara nyanyian dan muzik. Lagu keroncong ini tidak dikenali di negara kita pada zaman dulu. Ia ada kaitan dengan zaman penjajahan lagi.
Orang British tidak main lagu keroncong. Muzik keroncong biasanya diasosiasikan dengan bunyi alat muzik bernama ukelele yang gunakan lima tali. Ia juga pada mulanya dikaitkan dengan gelang yang dipakai oleh penari wanita. Biasanya gunakan 10 gelang, lima kanan dan lima kiri. Apabila digerakkan ia berbunyi seakan-akan: CRONG! CRONG! CRONG!
Khabarnya muzik ini lahir sejak zaman kedatangan Portugis pada abad ke-16. Mereka datang bukan sekadar nak menjajah dan memerangi, tapi di waktu lapang mereka juga mahu berhibur, baik di atas kapal perang atau setelah berada di benteng pertahanan, atau pelabuhan yang mereka kuasai.
Jadi, mereka yang dari keturunan atau peranakan Mustiza atau Murdika atau ada yang menyebutnya Mardjikers menggemari muzik ini. Nama pelik ini dikaitkan dengan kelompok yang menganut agama Kristian, baik dari Afrika, India atau Malaya/Jawa pun.
Dulu, sesiapa yang memeluk agama Kristian akan dianggap Portugis juga. Muzik Portugis dipengaruhi Moor asal Afrika [Sudan]. Dalam abad ke-16 dulu sesiapa yang menganut Kristian akan dipanggil  Moriscos. Jadi kalau orang ini bermain muzik, aliran muziknya disebut Morisko.
Khabarnya, asal mulanya disebut keroncong Morisko adalah kerana orang-orang keturunan ini menggemari alunan muzik sedemikian. Orang Tugu di Jawa pada zaman dulu gemar memainkan muzik ini ketika waktu lapang. Orang Tugu ini difahamkan dari keturunan kacukan India atau Portugis Goa.
Ketika Portugis datang ke wilayah kita mereka ada bawa alat muzik mereka -- biola, seruling, rebana dan gitar kecil. Alat muzik yang dibawa diperbuat daripada kayu "ahorn" terutama gitar jenis kecil. Agaknya ini yang kemudian dikenali sebagai ukelele untuk muzik keroncong. Kenapa Melaka tak ada keroncong Puteri Gunung Ledang atau keroncong Pulau Besar atau keroncong Sungai Melaka?
Alat muzik ukelele juga pernah disebut sebagai Cuk dan Cuk mengikut bunyinya yang diajuk dengan mulut. Asalnya dibuat oleh orang-orang Tugu. Mereka mencipta alat yang dinamai sebagai Macina, Bordang dan Prounga. Alat-alat ini sebagai peniruan kepada muzik Portugal sana.
Lama kelamaan nama-nama itu sudah luput dari ingatan dan yang mantap sekarang adalah ukelele. Sebab itu, mana-mana kelompok muzik keroncong akan menyertaikan ukelele sebagai penghias bunyi. Seingat penulis, dulu budak-budak seniman di Central Market,KL pernah secara suka-suka main muzik keroncong.
Keroncong Morisko pun merupakan tajuk sebuah lagu keroncong yang popular pada suatu ketika. Mus Mulyadi ada menyanyikan lagu ini dan kerap berkumandang di stesen radio yang kerap putarkan lagu keroncong.
Kenapa apabila perut sudah lapar dikatakan perut berkeroncong?
Kenapa tidak dinamakan sahaja perut rock 'n roll, sedang agogo, sedang waltz, sedang blues, sedang rock atau sedang berdondang sayang? Perut yang lapar disebutnya berkeroncong. Mungkin keroncong perut itu ada kaitan dengan zamannya, kalimat itu lahir ketika muzik keroncong sedang popular di Jawa sana. Ia kemudian merambah ke Tanah Melayu.
Kini, muzik keroncong sudah diklasikkan. Secara tak langsung, ia adalah budaya luar yang kita adaptasi. Tapi jangan lupa, muzik dan nyanyian itu banyak yang melekakan umat dari mentadaburi bacaan mulia. Jadi, jangan biarkan minda kita berkeroncongan kerana ketidaktahuan. Kalau lapar, roti canai sekeping sudah cukup, atau nasi lemak bukit [bungkus kecik RM1.20].
Kalau "keroncong" jugak lagi, makankan sebukit nasi dengan lauk dua tiga jenis. Barulah tak keroncong lagi. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment