Wednesday 18 December 2013

KISAH ANAK JIN DARI ARAB DAN RUMAH AGAM DI KALIMANTAN

SESIAPA yang membaca sebuah majalah kemisterian dari Jakarta [MISTERI, edisi 571, 2013] pasti telah menatap paparan tentang kisah berkaitan jin.
Kisah pertama tentang bagaimana seorang wanita yang dalam perjalanan yang merentas Jawa untuk bertemu dengan seorang kyai telah dipergoki seorang anak jin ketika berhenti di suatu tempat. Wanita yang fikirannya sedang kebingungan kerana sang suami berselingkuh dengan wanita lain, telah diajak oleh si anak jin masuk ke dalam hutan Ketonggo.
Mungkin ada yang sudah lupa, bahawa hutan Ketonggo ini ada kaitan dengan Al-Arqam yang telah diharamkan. Bukankah Alas Ketonggo sentiasa disebut-sebut setiap kali orang berbicara tentang sejarah silam Al-Arqam?
Di hutan itu ada sebuah pondok bertiang tinggi. Terletak di dalam hutan yang sepi. Kanak-kanak perempuan itu tinggal seorang diri di situ. Dia makan apa yang ada di hutan itu. Dia berkebolehan mencari dedaun hutan yang boleh dimakan, dia boleh menjerat kancil, napuh dan mencari buah-buahan hutan.
Kanak-kanak perempuan ini berani tinggal seorang diri di tengah hutan. Apabila wanita yang tidak punya anak itu diajak masuk hutan dia tidak teragak-agak mengikutnya. Dia kasihan dengan kanak-kanak yatim piatu itu.
Ketika diajak naik ke pondok yang terpencil itu, si wanita melihat ada gambar lama yang diletakkan di pondok itu. Gambar yang sudah agak pudar, gambar kanak-kanak perempuan itu bersama kedua orang tuanya yang telah lama pergi.
Kanak-kanak perempuan itu kemudian diajak naik kereta dan akan diasuh sebagai anak sendiri. Wanita itu kebingungan kerana kanak-kanak itu tidak tahu berbahasa Indonesia.
Ketika diajak bertemu Pak Kyai Mukran Makmun, di Mataram, budak perempuan yang telah diberi nama Kartika itu diperkenalkan kepada Pak Kyai.
Budak perempuan itu langsung tidak dapat berkomunikasi dengan si wanita kerana dia hanya boleh berbicara dalam bahasa Arab. Ketika bertemu Pak Kyai, dia petah berbicara dalam bahasa Arab.
Si wanita yang mahu menjadikan Kartika kanak-kanak itu sebagai anak angkat terkejut apabila diberitahu bahawa Kartika yang tinggal seorang diri di Alas Ketonggo adalah anak jin!
Terkejut bukan main wanita itu. Anak jin tetapi boleh berhubungan dengan manusia tanpa perlu memasuki alam jin terlebih dulu. Inilah yang menganehkan dia.
Melalui perbualan dengan budak itu, tahulah bahawa budak Kartika ini kedua orang tuanya adalah dari bangsa jin Muslim. Kuburnya adalah di Alas Ketonggo. Dan Pak Kyai akan membersihkan kanak-kanak itu agar jadi manusia biasa, boleh dijadikan anak angkat oleh wanita yang memang berhajatkan seorang anak kerana perkahwinannya tidak membuahkan hasil.
Kisah yang dialami oleh isteri kepada Adi Wijaya ini memang pelik. Budak Kartika itu sudah menjadi manusia biasa. Dia bukan anak jin lagi.
Berkaitan dengan budak Kartika itu lagi, kerana dia memang anak jin Arab, maka dia suka menyanyi lagu Arab. Kalau setakat lagu-lagu MAGADIR, YA ANNAA, HABIBI dan lagu-lagu Arab yang lain, memang dia mahir.
Yang memelikkan, Kartika telah merakamkan lagu-lagu berbahasa Arab yang kita selalu sebut sebagai nasyid. Diharap wartawan hiburan tempatan dapat melacak cerita tentang Kartika kerana dialah satu-satunya penyanyi cilik yang berasal dari keturunan jin!

RUMAH AGAM
Ada orang kaya yang hanya mempunyai dua anak perempuan yang khabarnya mengikuti kuliah secara jarak jauh [Universiti Boston, Amerika]. Rumah agam milik orang kaya ini terletak di kawasan hutan yang jauh dari hiruk-pikuk kota, setepatnya di Kg Teluk Seketi, Kalimantan Barat.
Hebat atau tidaknya, ketika rumah agam yang dilengkapi dengan kolam renang mewah, tempat kuda baka import, kolam ikan arowana, tempat pendaratan helikopter dan kemudahan lainnya. Ketika rumah agam itu dirasmikan, mereka mengadakan acara besar-besaran, mengundang artis, kumpulan band dari Pontianak, tetamu datang bawa badan sahaja, semuanya ditanggung oleh orang kaya pemilik rumah agam itu.
Tetamu dihiburkan dengan nyanyian dan mereka dibenarkan berjoget semahu-mahunya. Bukan sekadar makanan mewah termasuk kambing golek, mereka juga disajikan dengan minuman keras, sengaja dibiarkan agar mereka yang suka minum terus mabuk. Dan apabila sudah mabuk tentulah di rumah agam itu akan terjadi bermacam maksiat lainnya.
Padahal pemilik rumah agam itu masih ada hubungan keluarga dengan Hasan Mahmud, pemilik tanah yang dibeli dengan harga murah kerana orang itu perluka duit nak pergi ke Makkah.
Dipendekkan cerita, mereka yang diundang ke pesta perasmian rumah mewah itu dijemput dengan helikopter ulang-alik dari lapangan terbang Supadio International Pontianak ke rumah mewah itu. Ada yang tidur di rumah mewah dan ada yang tidur di hotel mewah Mahkota Hotel di Pontianak.
Ketika majlis tari menari dan berhibur sedang rancak, datanglah seorang lelaki tampan yang tidak diundang. Konon lelaki tampan itu memberikan hadiah berupa sehelai selendang biru kepada isteri tuan rumah.
Setelah menyerahkan selendang, lelaki itu terus menyelinap entah ke mana. Siapakah lelaki itu?
Lelaki itu sebenarnya adalah jin yang menyamar. Khabarnya, lelaki jin itu datang dari sebatang pokok tua yang sudah ratusan tahun di kawasan hutan tidak jauh dari rumah agam itu.
Jin itu khabarnya sudah berumur lebih 1 000 tahun! Dia tinggal di atas pokok mahoni tua.
Apa yang terjadi setelah pesta hebat itu? Seperti yang diceritakan oleh Cik Puan yang memiliki rumah agam itu, suaminya yang kaya, yang hebat, yang mempunyai kenalan dari golongan elitis dan kaya telah mati diserang makhluk halus. Dia dicampakkan ke dalam danau. Suaminya mati lepas dikerjakan makhluk halus. Bukan dia sahaja, malah penjaga kuda yang mahir di rumah agam itu juga dicampakkan oleh makhluk halus ke dalam kolam ikan arowana.
Dua orang menjadi korban kemewahan. Itu belum lagi peristiwa misteri penemuan mayat terapung di kolam mandi. Itu bangkai arwah penunggu hutan Seketi seperti yang diberitahu oleh orang-orang Dayak.
Tanpa rasa menyesal mengadakan pesta maksiat di rumah agam, Cik Puan sebaliknya hanya mengutamakan lelaki jin yang katanya tampan, seperti pelakon Hollywood!
Disebabkan ketampanan makhluk jin itu, dia kena berterima kasih kerana selendang pemberian jin di majlis perasmian rumah agam itu rupa-rupanya ada nilai magisnya. Kalau menghadapi masalah, dia hanya perlu kibaskan selendang itu ke arah mana sahaja, maka lelaki tampan itu akan muncul. Dialah jin yang sampai sekarang, menurut keterangan Cik Puan ini, dia tetap menyediakan umbo rampe: kuih-muih yang dibeli di pasar, bunga kantil, bunga mawar, dan bunga melati. Semua sajian perlu diletakkan di bawah pokok mahoni tua itu.
Selain itu Cik Puan juga menghadiahkan al-Fatihah, dan zikir 99 asmaul husna dengan harapan agar Allah SWT mengampuni dosa-dosanya dan menempatkan lelaki tampan dari keturunan jin itu di kedudukan yang selayaknya.
Kisah rumah agam ini menggambarkan betapa hebat dan megahnya orang yang berduit.Mereka anggap rumah agam itu sebagai syurga dunianya. Tetapi disebabkan tidak berhati-hati, semuanya musnah. Adakah cerita ini hanya khayalan Cik Puan itu? Wallahu a'lam. []