Sunday 16 December 2012

MITOS DALAM SESEBUAH KEPERCAYAAN

KITA beranggapan secara apriori, mitos itu sesuatu yang tak perlu ada dan bahkan secara frontal dianggap sebagai musyrik, bid'ah, khurafat, tahayul dan sebagainya. Sejarah ilmu pengetahuan moden bermula dari falsafah Yunani. Mitos itu lawannya logos dan dimenangi oleh logos. Mitos dipisahkan dari ilmu pengetahuan moden.
Bahawa manusia itu adalah mikrokosmos di tengah-tengah makrokosmos, ia menjadi kecil di tengah-tengah alam semesta.
Mitos juga boleh direka secara kreatif untuk mengangkat sesuatu keperihalan. Di dalam kitab Sejarah Melayu yang kebanyakan orang menganggap begitu sakral dengan segala macam mitos, maka ia juga bertolak dari kekreatifan seseorang yang menyusun cerita.
Penyusun cerita menjadi dalang bagi sebuah kepercayaan dan kemudian menjadi keyakinan, sentiasa disebut-sebut seperti ia suatu pembenaran yang sanadnya terpenuhi.
Mitos mengenai asal-usul menjadi semacam kemestian pada masa silam. Jika percaya kepada mitos maka asal-usul seseorang itu bukanlah dari manusia biasa kerana pencarikan minda itu amat keterlaluan.
Contoh, naratif asal-usul Raja-raja Samudra/Pasai yang didakwa dari buluh betung dan gajah [baca Hikayat Raja-raja Pasai].
Tentang asal Raja Acheh pula dari keturunan dewa-dewi [baca Hikayat Acheh].
Raja-raja Kedah pula konon dari keturunan Rome [baca Hikayat Merong Mahawangsa].
Raja-raja Jawa Majapahit pula konon berasal dari gergasi [baca Ceritera Palembang].
Raja-raja Perak pula bernasabkan Iskandar Zulkarnain [baca Misa Melayu].
Juga mitos Raja Kechil [dalam Hikayat Siak].
Mitos yang dimaksudkan di sini adalah perkara ajaib yang dikaitkan dengan tokoh tertentu, yang kebenarannya diragui, ia seperti tradisi asal-usul, pengalaman-pengalaman aneh, unsur-unsur mimpi yang seolah-olah kebetulan.
Kenapa ada mitos?
Setidak-tidaknya hendak menguatkan seseorang tokoh, bagi menggambarkan ia bukan orang biasa, kedudukannya istimewa kerana ia berbeza dari orang lain.
Soal siapa yang memulakan mitos itu, tidak pula dikaji secara terperinci, padahal pada zaman moden ini, sudah sewajarnya pembetulan dilakukan terhadap mitos-mitos itu agar orang berfikiran secara logos.
Cerita mitos yang dikarang sedemikian rupa memang disedari secara pintar dan memang sengaja dijalin begitu bagi tujuan tertentu pada masa akan datang.
Setidak-tidaknya, bimbang berlaku pertikaian tentang asal-muasal sesuatu ritual atau peradatan yang telah diperadatkan.
Apakah ia memang wajar untuk seseorang tokoh kalau asal-usulnya tidak tentu arah dan serba absurd itu? Apakah memang ada manusia yang asal-usulnya begitu kecuali kalau ia dari keturunan bukan manusia atau dari jenis bota atau jin?
Dalam pengertian yang paling mudah di zaman moden ini mitos itu boleh jadi memperkaitkan, mempertalikan seseorang tokoh masakini dengan cerita masa silam, dengan mengatakan bahawa tokoh sekian adalah keturunan daripada bangsawan umpamanya, dia memang keturunan raja bagi mengangkat keistimewaannya yang sudah diistimewakan massa.
Dalam cerita, mitos adalah penyendal, atau iklan, atau selingan, kalau siaran langsung televisyen selalu mengatakan, "Jangan ke mana-mana, ikutilah seterusnya..." 

MITOS YANG MISTERI
Mitos menyebabkan cerita itu menjadi panjang berjela.
Ada sahaja idea yang lebih merupakan cerita misteri campur mistik, kepercayaan nenek moyang yang tidak berakar umbi kepada dasar agama pun.
Bayangkanlah, sekiranya tidak disebut bahawa Raja-raja Melaka itu keturunan Zulkarnain, maka alangkah goyahnya kehadiran mereka.
Ada dua kemungkinan kenapa mitos itu sengaja dimasukkan.
Pertama: tokoh itu hanya rakyat biasa, hanya dia mempunyai keberanian mengangkat dirinya sebagai pelakon utama.
Kedua: dia tidak ada keyakinan diri kerana tiada siapa memayungi kehadiran atau kedatangannya ke negeri yang hendak dibuka.
Ketiga: pada masa dulu orang tidak tahu siapa Iskandar Zulkanain pun, bahkan hingga sekarang, Iskandar Zulkarnain itu masih dipertikaikan. Ia malah tidak ada kaitan dengan Zulkarnain yang disebut di dalam al-Quran [al-Kahfi: 83 dan seterusnya].

TANGGAPAN MASA DULU
Bagi menggambarkan betapa hebatnya pengaruh keturunan ini, seseorang itu akan menggeletar gerun kerana daulatnya apabila disebut nama Zulkarnain.

"Maka titah baginda Raja Akil, 'Tiada boleh seseorang hendak membinasakan hambanya, jikalau tiada dengan izin Allah taala, tiada boleh itu. Maka kita mudik ke hulu ini, kita tiada takut akan segala yang bernyawa. Jikalau tiada seperti kata itu, bukanlah kita pancaran Sultan Iskandar Zulkarnain.' Maka Panglima Putih pun menangis, menggeletar tulangnya." [Hikayat Siak].

Paling mudah, ia umpama ijazah, perakuan dari seseorang untuk meningkatkan status seseorang tokoh. Kalau rakyat biasa pun mungkin dia akan kata, "Saya ni anak mantan ketua kampung."
Dengan berkata begitu dia sudah dihormati oleh orang sekeliling.
Atau: "Saya ni sudah banyak kali masuk penjara jangan awak tak tahu." Maksudnya agar dia ditakuti, digeruni dan jangan dipengapakan.
Dan apabila seseorang raja itu dikatakan keturunan dari gergasi, memang orang masa silam amat takut kepada apa yang dinamai sebagai gergasi.

KELEMBAI
Sama halnya dengan orang kita yang takut hendak bercakap lebih tatkala berada di tengah hutan kerana bimbang Sang Kelembai mendengar suara kita. Takut ditegur oleh Sang Kelembai yang merupakan sejenis hantu juga mengikut kepercayaan orang-orang zaman dahulu.
Asal-usul yang dibawa oleh watak Kelembai pun cukup banyak, penangan magik Sang Kelembai begitu dahsyat sekali, kata-katanya berbisa mengalahkan mukjizat.
Inilah perlu dibetulkan terutama dalam cerita kanak-kanak tentang mitos Kelembai yang kemampuannya amat luar biasa.
Tidakkah ini memberi kesan sampingan kepada keyakinan kanak-kanak yang membacanya? Ada juga makhluk yang hebat begitu, tegur sahaja sudah jadi batu. Lembu ditegur jadi batu. Semuanya jadi batu.
Atau, Kelembai itu memang tidak wujud pun.
Apabila orang melihat batu yang besar-besar, maka mereka pun mengasosiasikan bentuk batu itu kepada kewujudan yang nyata. Maka diperhatikan baik-baik batu itu, adakah ia menyerupai haiwan misalnya. Jika seperti gajah, maka dikatakan dulunya gajah itu ditegur oleh Kelembai hingga jadi batu.
Kalau menyerupai ikan, maka ikan itu konon ditegur oleh Kelembai juga hingga jadi batu. Asalkan ada gunung, bukit atau batu menyerupai haiwan atau makhluk lain, maka ia dikaitkan dengan sumpah atau teguran Kelembai.

HIDUP
Jadi, disebabkan mitos inilah, kita sekarang menjadi semakin hidup. Hidup dengan berbagai cerita. Tanpa mitos rasanya seperti mati idea. Orang kata mati kutu. Daripada mitos inilah setidak-tidaknya orang boleh cari makan dengan membuat benda-benda atau produk yang boleh dipasarkan secara leluasa. Mitos pun boleh dijual. Jangan fikir mitos itu suatu khayalan. Di dalam bentuk buku cerita, ia masih merupakan produk. Dalam bentuk rajah-rajah, ia masih diperlukan oleh orang yang suka kepada rajah-rajah [untuk tangkal azimat misalnya].
Dengan kerana mitos inilah, maka ada tenaga utama diperlukan untuk memindahkan makhluk halus dari satu tempat ke tempat yang lain. Boleh kita mencari guru sejati yang ilmunya segudang.
Kita boleh ajak orang yang pintar untuk menarik harta pusaka di dalam tanah, atau harta pusaka dari dunia ghaib, boleh pula orang pintar memanggil khadam [dengan berbagai jenis khadam dan tugasannya].
Dengan sumber mitos itu kita boleh melakukan raga sukma, meranjau dan merayau ke kawasan penempatan jin sekadar membuat tinjauan bagi melaksanakan projek mega untuk kaum jin [misalnya], dan yang penting, kerana mitos tadi, kita bersungguh-sungguh mencari ilmu untuk memecahkan mitos. Itu belum menyentuh bab metafizika.

ANAK JIN
Mitos yang sengaja direkacipta secara berani adalah apa yang dikaitkan dengan Raja Kechil yang pernah berperang untuk merebut kedudukan. Ia semacam perang antara Minangkabau dengan Bugis di Johor.
Lihatlah apa yang Raja Kechil Siak telah lakukan. Dia menyuruh orang mengkhabarkan bahawa dia adalah orang istimewa. Dia tidak ada waris untuk memegang takhta di Johor. Maka direkalah cerita berikut:
  • Diceritakan asal-usulnya, sejak lahir dari siapa.
  • Di masa kanak-kanak keistimewaannya sudah menyerlah, berbeza dari kanak-kanak lain.
  • Ketika remaja, pengalamannya aneh-aneh.
Yang lebih utama dia didakwa sebagai anak Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
Dalam Tuhfat al-Nafis [bukan kitab agama] diceritakan bahawa Raja Kechil Siak itu adalah anak lelaki Marhum Mangkat Dijulang, terbunuh di Kota Tinggi, oleh Megat Seri Rama. Ibunya [iaitu isteri kepada Marhum Mangkat Dijulang] bernama Encik Pong [atau Cik] yang merupakan anak Laksamana.
Yang peliknya dalam kisah mitos ini, Encik Pong ini telah "makan" air mani Marhum Mangkat Dijulang. Ketika bila? Iaitu ketika baginda sedang asyik berahikan seekor peri [makhluk jin maksudnya].
Maksudnya, Mahmud Mangkat Dijulang ini tidak "berkahwin" dengan manusia biasa, tetapi dengan makhluk halus dari jenis jin atau puteri-puteri jin [seperti Puteri Gunung Ledang, Ratu Kidul misalnya].
Disebabkan Encik Pong menelan air mani baginda, maka dia telah bunting. Dan hasil dari pembuntingan itulah lahirnya Raja Kechil Siak. Dia datang ke Kota Tinggi menuntut haknya sebagai pewaris takhta.
Kisah asal-usul Raja Kechil ini pun menarik, apalagi kisah ibunya Encik Pong. Sayangnya tidak ada riwayat yang khusus mengenai bab ini.
Kesimpulannya: Dalam kebanyakan buku yang bercorak sejarah masa silam, unsur mitos tidak dilupakan, ia malah menyebabkan cerita jadi cantik berkembang dan pengarang dengan leluasanya menyelinapkan kisah itu seperti kisah nyata jadinya. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment