Sunday 9 December 2012

MUZIK DAN NYANYIAN DIGEMARI

MUZIK dan nyanyian memang digemari masyarakat kita. Dari mana seseorang itu menggemari muzik dan nyanyian? Sebenarnya tidak ada sesiapa mengasuh seseorang untuk menggemari muzik dan nyanyian. Ia datang sendiri. Sejak kecil seseorang itu sudah dihidangkan dengan nyanyian melalui corong radio, dan kemudian apabila ada kemudahan televisyen, maka sudah ada dua alat yang menjadi "guru" kepada mereka.

Hasil daripada pendengaran dan penglihatan, proses belajar berlanjutan, kesannya ada rasa terhibur dan ingin meniru perbuatan penyanyi dan pemuzik yang ada.
Tidak ada sesiapa melarang seseorang untuk menonton televisyen dan mendengar radio. Pilihlah program yang digemari.

Disebabkan tidak ada larangan, maka secara otomatik proses belajar sudah berlaku. Mereka menganggap muzik dan nyanyian tidak ada apa-apa masalah, ia boleh didengar dan dimainkan, boleh dinikmati dan kesannya adalah terhibur.

Kemudian, disebabkan setiap hari sentiasa mendengar muzik dan nyanyian, proses yang berulang-ulang ini menyebabkan timbul rasa minat terhadap lagu dan nyanyian itu. Setiap pagi dia mendengar tajuk lagu itu dan penyanyinya disebut-sebut oleh pengacara program. Maka ia sudah lekat di dalam minda, dia akan ingat sampai bila-bila judul lagu, bagaimana melodinya, bagaimana liriknya meskipun tidak keseluruhannya, dapat rangkap pertama pun sudah memadaikan, atau mengulangi di bahagian chorus lagu.

Di kalangan orang Melayu tidak ada siapa pun tak kenal dengan nama P Ramlee dan Saloma. Dua nama ini memang sudah ada dalam dunia Melayu moden. Era 60-an adalah zamannya, meskipun dunia muzik dan nyanyian itu sudah dipupuk sebelumnya. Pengaruh muzik bandaran yang dibawa dari Barat begitu mengesankan.

Daripada mendengar lagu-lagu yang dihasil dan dinyanyikan oleh artis dari Indonesia, ia kemudian menyemarakkan dunia lagu dan nyanyian tempatan pula. Serentak dengan naiknya nama The Beattles di Barat, maka di negara kita apa kurangnya, muzik dan nyanyian Melayu sudah dipengaruhi oleh ragam Beattles.

Daripada ragam Beattles, keadaan berkembang dan berembuk dengan berbagai muzik dan nyanyian yang datang dari kawasan Barat dan Timur. Muzik Melayu benar-benar dipengaruhi oleh muzik Barat meskipun orang Melayu sudah mengenali lagu-lagu dan muzik klasik mereka.
Lagu keroncong adalah lagu yang dipengaruhi oleh Barat [muzik Portugis dan pengaruh asing Moor asal Afrika dan Sudan/lainnya].
Dondang Sayang adalah nyanyian orang Peranakan di Negeri-negeri Selat.

Kini, lagu Melayu moden benar-benar meniru melodi dan muzik Barat. Nyanyian terus digemari dan bertambah marak. Aliran muzik sentiasa berubah, dari corak agogo rancak, twist, blues, rock, acapella dan sebagainya, warna muzik dan nyanyian Melayu dibentuk oleh pengaruh Barat yang sangat dominan.
Lagu-lagu Melayu sejak zaman P Ramlee hingga zaman sekarang sentiasa berubah-ubah alirannya. Suatu ketika suasana dipengaruhi oleh reggae, dipengaruhi oleh lagu-lagu Hindi, kemudian pengaruh dari Indonesia dengan menyebutnya dangdut, irama Malaysia, irama popular, rock kapak, pop rock dan berbagai pecahannya. Semuanya dari sumber yang sama, hanya setiap kelompok artis mahu menampilkan diri secara berbeza mengikut aliran muzik dan nyanyian yang mereka pilih.

Terus terang, penulis tidaklah tahu sangat dengan bentuk lagu dan penyanyi yang ada sekarang [tahun 2009 - 2013]. Tidak tahu apa lagu yang popular sekarang dan bagaimana lagunya. Kerana baik televisyen atau radio dan sumber hiburan begini telah ditutup terus. Dan diharapkan rumah-rumah muslim tidak kedengaran lagi lagu seperti ini dikumandangkan secara leluasa seperti zaman 70-an dahulu.

Muzik dan nyanyian memang sangat digemari oleh kalangan anak muda. Pengaruh sekeliling, pengaruh kawan-kawan dan media massa menyebabkan mereka tidak boleh lari dari muzik dan nyanyian. Di kalangan anak-anak muda kita, mereka kenal dan tahu menyebut nama-nama penyanyi lelaki popular. Disebutlah satu persatu: Adam, Afee Utopia, Aizat, Akim, Ali Terra Rossa, Alif Sattar, Aliff Aziz, Amir Jahari, Aqasha, Awi Rafael, Azlan & Typewriter, Black, Ezad Lazim, Faizal Tahir, Hafiz, Hafiz Hamidun, Hazama, Imran Ajmain, Jamal Abdillah, Mawi, Nubhan, Shahir dan Tomok.

Manakala di kalangan penyanyi wanita popular pula, antara lain: Adira, Ainan Tasneem, Alyah, Asmidar, Caroline, Dayang Nurafaizah, Diandra Arjunaidi, Jacklyn Victor, Kat Hassan, Liyana Jasmay, Misha Omar, Mizz Nina,Najwa Latif, Najwa Mahiaddin, Nora, Nurul Wahab,  Sharifah Zarina, Shila Amzah, Soo Winci, Stacy, Suki, Wanna Ali dan Yuna.

Di antara nama-nama tersebut, mungkin anak muda Malaysia banyak yang kenal, tetapi penulis tidak tahu pun apa sebab mereka dibariskan sebagai penyanyi. Maksudnya, tidak tahu apa lagu yang mereka nyanyikan, dan kenapa mereka dibariskan sebagai penyanyi popular. Rupa-rupanya ketidaktahuan ini lebih baik daripada kita terlalu ambil tahu perkara yang tidak memberi manfaat bagi kehidupan seorang muslim. Tidak menjadi kerugian kalau kita melupakan program Anugerah Bintang Popular 2012 itu [senarai nama penyanyi tadi diambil daripada paparan akhbar 7 Disember 2012, Berita Harian, naskah percuma yang diletakkan di masjid ketika subuh, kerana penulis tidak membeli lagi akhbar ini sejak tahun 1998].

Kenapa masyarakat Melayu begitu ambil tahu dan fokus amat kepada dunia muzik dan hiburan?
Puncanya, media massa kita sentiasa dipenuhi dengan ruangan hiburan. Perkara hiburan ini memang telah mendominasi keseluruhan aktiviti umat. Masyarakat kita sangat meminati rancangan hiburan, buatlah apa sahaja program realiti yang bercorak hiburan, baik untuk kalangan veteran, kalangan remaja dan kanak-kanak, kita begitu bersungguh-sungguh untuk membabitkan diri dalam perkara hiburan.

Bayangkan sekiranya ada pertandingan nyanyian mengikut berbagai nama, ia tetap mendapat sambutan. Bahkan ada yang menangis kerana tercicir atau kerana gagal ke peringkat pemilihan awal. Para ibu bapa juga sanggup bertangisan semata-mata kerana anak mereka gagal menyertai program itu.
Memang ramai ibu bapa bangga kalau anak mereka terkenal sebagai penyanyi. Ibu bapa masih tidak memandang penting betapa alangkah baiknya jika anak-anak remaja itu diberi pelajaran bercorak keagamaan, menjadi orang yang celik agama, boleh menjadi ustaz atau pekerja yang berilmu. Sayangnya, pengetahuan ke arah itu masih samar-samar di kalangan orang Melayu.
Semuanya bermula dari rumah. Jika ibu bapa mengasuh anak-anak secara bebas, memberi kebebasan kepada anak-anak untuk memilih apa yang digemari, maka begitulah keadaannya. Jika ibu bapa gemar nonton filem Hindustan, maka pengaruh itu melebar kepada anak-anaknya. Jika ibu bapa gemar menyaksikan konsert berbayar, maka anak-anak pun terpengaruh gemar berpusu-pusu nak tengok konsert.
Kutbah Jumaat di masjid selalu menyebut bahawa kehancuran moral anak-anak muda di negara kita adalah kerana hiburan yang berlebihan.

Dunia hiburan yang berlebihan menyebabkan 80% aktiviti umat hanya memenuhi ruang-ruang kosong dalam perkara hiburan. Untuk memenuhi kegemaran mereka kepada hiburan, maka mereka perlukan televisyen yang canggih, memerlukan LCD yang paparannya besar, memerlukan sistem bunyi yang mendengungkan, pendeknya, apa sahaja benda yang mendatangkan kenyamanan dalam berhibur akan dicari. Semuanya akan dibeli. Baik orang tua atau pun anak-anak tidak ada bezanya. Ada orang tua yang hadiahkan anak-anak peralatan yang menjurus kepada hiburan. Anak berjaya di sekolah dihadiahkan alat pemain CD, alat muzik atau dibelikan CD yang terbaru. Atau dihadiahkan CD filem terkini. Mereka lebih suka mencari bahan-bahan bercorak hiburan termasuk membelikan majalah hiburan untuk anak-anak. Mereka tidak terfikir pun hendak membelikan buku tentang Rasulullah sallahu alaihi wassalam. Tentang solat, tentang aqidah, tentang hadis-hadis dan sebagainya.

Jarang ada kitab hadis di rumah orang Melayu kecuali mereka yang mengaji di pondok atau di pusat pengajian tinggi. Jarang ada kitab tambahan tidak kiralah baik yang aslinya atau terjemahan terdapat dalam rak-rak buku rumah orang Melayu. Bahkan rak buku pun tidak mustahak dalam kehidupan, kerana mereka menganggap buku itu hanya untuk orang yang masih belajar, masih sekolah, atau masih belajar di kolej dan universiti. Sebab itulah, tazkirah di masjid dan surau kurang sambutan. Sebab itulah jika ada buku atau kitab-kitab di rak-rak masjid atau surau, halamannya masih melekat, tidak ada siapa sudi membeleknya.
Ghairahnya umat Melayu terhadap hiburan sudah memasuki tahap kecanduan yang berlebihan. Acara hiburan yang terlalu banyak, bilangan anugerah kian meningkat, ada sahaja orang yang ingin mnganjurkan program memberi anugerah kepada mereka. Semuanya cenderung kepada kemasyhuran.

Allah s.w.t. menyatakan kepada iblis musuh kita melalui firman-Nya yang bermaksud:

"Dan hasutlah siapa yang kamu sanggupi di antara mereka dengan suaramu..." [al-Israa': 64]

Mujahid, seorang imam ilmu tafsir menyatakan, dari Ibnu Abbas r.a. dinyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan "suaramu" [suara syaitan] aalah lagu, muzik dan senda gurau. Sementara itu ad-Dhahak menerangkan, suara syaitan yang dimaksudkan itu adalah suara muzik.
[Syaikh Abu Bakar Jabir al-Jazairi, Haramkah Musik dan Lagu, Wala' Press, 1996,h. 15].
Selain itu dalam firman-Nya yang lain, bermaksud:

"Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh adzab yang menghinakan." [Luqman: 6]

"Perkataan yang tidak berguna" [lahwal hadits] yang disebut daslam makna ayat tersebut adalah lagu, nyanyian dan kebatlan yan serupa.
Abdullah bin Mas'ud berkata, "Demi Allah yang tiada Illah kecuali Dia, sesungguhnya lahwal hadits itu maksudnya adalah lagu-lagu atau nyanyian.

Tidak cukup dengan dalil di atas, ada lagi ingatan dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis? Sedang kamu melengahkannya dengan bernyanyi-nyanyi?" [an-Najm: 59-61].

Ikrimah berkata, apabila orang-orang kafir mendengar al-Quran dibacakan, mereka bernyanyi-nyanyi dengan lagu untuk menghalang orang lain dari mendengar al-Quran. Maka diturunkanlah ayat tersebut.
Ingatlah, para ulama salafus salih generasi pertama salih menyebut nyanyian itu dengan istilah yang menakutkan, iaitu Qurannya Syaitan! Apa sebabnya? Ya, kerana lagu-lagu itu digunakan syaitan untuk menentang dan menandingi al-Quran serta menghalang manusia dari mengingat Allah dan mengingat al-Quran.
Celaan Allah terhadap kelakuan mereka yang mentertawakan  dan bernyanyi-nyanyi itu menunjukkan bahawa lagu itu adalah haram.
Imam Qurtubi berkata, sesungguhnya ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa haramnya lagu atau nyanyian.
Dalam perkara muzik dan nyanyian ini kita tidak perlu bertanya kepada komposer atau penyanyi veteran yang sekian lama bergelumang dengan dunia hiburan. Tanyakanlah kepada orang yang berilmu, bukan ilmu di bidang muzik dan nyanyian atau bidang tarian. Berdasarkan daripada rujukan dalil tadi, sungguh menghairankan, hiburan menjadi kecanduan umat Melayu di mana-mana. Lihatlah jika diadakan konsert di stadium umpamanya. Siapakah yang berjejalan ke situ?
Diharapkan akan ada kalangan yang lebih arif di bidang ini membuat kupasan tentang muzik dan hiburan yang seolah-olah terbiar dan tidak disinggung langsung di dalam mana-mana wacana ilmu. Penulis belum pernah mendengar tazkirah yang menyentuh perkara ini. Ada kutbah Jumaat hanya menyentuh hiburan secara umum dan tidak sampai menyebutkan dalil utama seperti di atas. Sebenarnya ada hadis yang terang-terang menyatakan tentang hukum muzik dan nyanyian ini.
Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin berkata, mendengarkan muzik dan nyanyian itu tidak disangsikan lagi akan keharamannya. Telah diriwayatkan oleh para sahabat dan salaf salih, bahawa lagu menumbuhkan sifat kemunafikan di dalam hati. Lagu termasuk perkataan yang tidak berguna.

Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda, maksudnya,
"Akan ada suatu kaum dari umatku menghalalkan zina, sutera, khamar dan alat muzik." [HR Bukhari dari hadis Abu Malik al-Asy'ari].

Ia menyatakan ada di kalangan umat Islam yang menghalalkan zina, khamar, sutera sedangkan lelaki tidak boleh memakai kain sutera, dan kemudian menghalalkan alat muzik. Apabila alat muzik dianggap biasa sahaja, maka memainkannya untuk mengiringi nyanyian dianggap biasa. Sebenarnya pengetahuan tentang sumber dalil dan keterangan dalil ini patut diperincikan dan disebarkan kepada masyarakat Islam. 
Adakah kita tidak berani menyatakan sesuatu yang benar? Mungkin bimbang akan ada bangkangan dari pihak yang taksub dengan dunia hiburan dan muzik. Sukar hendak dibayangkan jika ada pihak yang membangkang meskipun dalilnya sudah nyata. Maka, dengan cara apa lagi hendak memberitahu kepada masyarakat Melayu dan Islam umumnya bahawa muzik yang sekarang menjadi kegilaan umat adalah peniruan dari Barat [baca Yahudi juga], maka kenapa kita tidak merenungkan? Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment