Thursday 13 December 2012

KHAMIS MALAM JUMAAT YANG DITUNGGU

KENAPA Khamis malam Jumaat ditunggu-tunggu oleh setengah kelompok umat di mana-mana? Ya, sudah menjadi kebiasaan pada malam ini ia dipilih sebagai wadah masa yang sesuai untuk melakukan ritual apa pun baik yang mengikut jalan lurus atau jalan bengkok.
Maksudnya, malam malam ini dipilih untuk pergi ke mana-mana bagi tujuan duniawi semata. Maka walaupun tadinya elok berjemaah Maghrib semua, habis solat, mereka pun siap-siap capai kunci kereta atau motosikal. Nak ke mana kita?
Ada yang ke selatan, ada yang ke utara dan ada yang ke tengah. Semuanya mahu bertemu orang pintar. Memang sebutan orang pintar ini kurang difahami oleh setengah orang. Maksudnya adalah pak dukun, pawang atau apa sahaja panggilan bagi mereka yang "bijaksana" melaksanakan sesuatu bagi memenuhi permintaan orang yang datang dari jauh.
Dan yang memasuki kelompok ini tidak mengira siapa, ada yang sekadar suka-suka, ikut kawan, temankan kawan, atau ingin tahu, atau ingin tumpang persen kalau dapat, kalau tak dapat pun tak apa.
Maka, tujuan mereka datang bersila di depan orang bijaksana itu adalah semata-mata duniawi. Dengan kata yang mudah, mereka akan meminta itu dan ini kepada orang itu.
Mereka yang berbuat demikian tidak pernah pun memikirkan boleh atau tidak sebagai Muslim kita jumpa pak dukun atau orang bijaksana ini di hari Khamis malam Jumaat? Apa mistiknya malam itu dipilih untuk melakukan segala upacara?
Ini adalah dunia kelam yang ramai tak tahu. Acara yang mereka tempuh dilakukan pada sebelah malam, tak siapa tahu maksud dan tujuan mereka.
Jangan marah kalau dikatakan pada malam itu juga ada yang datang bersila mengadu hal di depan "Datok Baba" atau "Datuk", bersila depan nyonya, depan dukun Orang Asli atau Tuk Batin mereka.
Ada yang datang membawa barang-barang sarana yang sudah diberitahu awal dulu. Atau dengar cakap kawan-kawan.
Jangan lupa bawa duit, bawa lesung tembus, bawa kain kuning, bawa apple jin, bawa setanggi, kemenyan, bawa keris boleh menyanyi, keris boleh berdiri dan duduk, keris boleh berputar dan macam-macam lagi kehendak yang direka-reka. Ini tidak termasuk ayam cemani, ayam bulu terbalik, ayam hitam, ayam putih, ayam hijau, ayam kuning dan macam-macam.
Biasanya, hajat yang paling dominan adalah untuk kekayaan. Maksudnya bukan nak jadi jutawan. Nak jadi jutawan masuk parti politik yang berkuasa, untung sabut timbul, kalau batu tenggelam terus.
Banyaklah benda-benda mistik yang mereka cari. Untuk dapatkan benda mistik sebagai prasyarat jumpa orang bijaksana ini pun melampau-lampau. Ada yang sejak dulu sampai sekarang tak jumpa-jumpa pun. Apa yang dicarinya?
Bagaimana nak jumpa, benda yang dicari pun dia tak kenal. Tak pernah tengok pun. Hanya dengar temberang orang dan sembang di gerai.
Maka pada Khamis malam Jumaat diadakanlah ritual untuk tarik duit misalnya. Tempat dipilih adalah kawasan yang angker, menyeramkan, tempat yang dipercayai ada kaitannya dengan lokasi makhluk halus.
Ada yang buat kerja mengarut ini semata-mata nak dapatkan empat digit. Mana tahu boleh tepat tekaan nombor yang dipertaruhkan. Maaflah. Cerita main nombor begini memang sudah jadi mainan masyarakat bawahan, terutama orang yang pendapatannya pas-pasan. Mereka berangan hendak memiliki duit banyak. Orang kaya, orang politik pun berangan juga apa lagi yang tak ada duit.
Sekiranya ada sesiapa yang menawarkan ilmu berniaga satey gagak di kubur pun orang itu akan lakukan. Kena pula kubur depan rumah, maka dia pun beranilah berniaga satey gagak dengan harapan di pasar malam itu akan banyak pelanggan membeli satey gagaknya.
Atau sesiapa yang berhajatkan benda-benda bertuah, sanggup duduk sambil berwirid [?] di atas lempengan batu dalam gua, maka konon malam itu akan datanglah harimau putih yang menakutkan, datang ular anaconda yang menggelikan, datang syaitan menari-nari di depan mata, dan akhirnya datanglah lelaki berjubah [imej Islamik menurut pandangan mereka] dan lelaki itu akan menyerahkan sesuatu, baik duit, senjata lama, benda-benda bertuah, sabuk atau benda-benda lain yang kita tak pernah fikirkan.
Atau ada orang yang pergi panjat gunung atau bukit semata-mata melayani "mimpi" minggu lepas, yang menyuruh dia panjat bukit atau gunung kerana ada "Tuk Ayah" nak jumpa dengan cucu.
Maka sebagai cucu, dia pun patuh duduk di suatu tempat, bertemankan nyamuk dan serangga malam, dia tetap betah duduk menunggu kedatangan Tuk Ayah yang dijanjikan. Hairannya, semua tokoh yang diharapkan itu datang dari alam lain, alam yang tidak dijangkakan. Luar biasa. Ada kalanya dia datang seperti yang dijanjikan, ada kalanya tak datang pun.
Di suatu tempat yang dipanggil Gunung A ada orang yang bermalam duduk seorang diri dalam perigi buta semata-mata memenuhi kehendak Tuk Ayah. Ini macam program realiti Ekstrim! Duduk dalam perigi buruk buat apa? Kalau datang pembelit bagaimana? Ditelannya hidup-hidup kan menyusahkan semua? Dan menurut salah seorang pelaku dia telah mendapat wang kertas yang banyak hasil pemberian Tuk Ayah. Ini macam ritual kekayaan, nak sugih kata orang Jawa dan Banjar.
Kenapa saya kata Khamis malam Jumaat? Sebabnya, dulu, sekitar tahun 90-an saya kerap jumpa kelompok ini santai di kawasan masjid Pakistani Chow Kit, KL. Mereka sibuk menunggu seseorang yang dijanjikan. Selalunya kalau ditanya nak ke mana? Oh, nak ke Bukit Jugra, Banting. Nak ke Bukit Malawati, Kuala Selangor. Nak ke Linggi, Melaka. Nak ke Tanjung Tuan. Nak ke JB. Jadi, masing-masing sudah ada lokasi yang terbaik untuk dituju pada Khamis malam Jumaat.
Dan esok Jumaat, mana-mana yang telah berusaha untuk melakukan ritual yang bukan-bukan, ada yang hampa, ada yang menguap sepanjang masa, ada yang tergolek tak ada apa, ada yang happy, ada yang mengharap dan tak kurang nak pergi lagi minggu depan. Maknanya, walaupun acara yang ditempuh itu tidak menjanjikan apa-apa, orang seakan-akan seronok dapat melakukan aktiviti malam begitu. Tak dapat tak apa, yang seronoknya dapat melihat sandiwara depan mata, dan mereka turut berlakon walaupun tak ada siapa nak bayar. Mereka berlakon tanpa skrip.
Jadi, ingat ya Khamis malam Jumaat ini ada acara dan ritual tau! []

No comments:

Post a Comment