Thursday 13 December 2012

BUAT APA SERU JIN DATANG? TULAH!

BUKAN TIDAK ADA orang yang sengaja belek-belek lembaran lama, dia pun jumpa halaman berupa jampi-jampi kesihiran yang dia tak tahu, kerana rasa ingin tahu, dia pun cuba membaca jampi itu berulang-ulang, dan tanpa dia sedari jin pula yang datang ke rumah.
Jin ini kata Syeikh Usamah al-Audhi kalau mengganggu memang timbulkan masalah. Ia paling bahaya dan jahat. Padahal orang itu menyeru jin tanpa disedari. [Manhaj Qurani fi I'laj al-Massi wa Sihr]
Kalau ada sesiapa beli buku terbitan yang lama-lama, ada jampi-jampi seperti ini [contohnya dalam buku Mujorobat].
Apabila jin sudah datang dan merasuk, sendiri juga yang susah. Jadi, buat apa seru jin datang? Tulah, benda macam ini tak boleh buat main-main.
Sudahnya nanti yang suka cuba-cuba ini akan jadi macam orang tak betul. Orang kata putus kabel atau terkena histeria tak tentu fasal.
Jin ini kata yang empunya ilmu, makhluk halus ini mudah menguasai seseorang andainya ada perkara berikut dalam diri seseorang:
[1]. Ketika seseorang itu terlalu asyik dan leka dengan dunianya, mengikut hawa nafsu, keseronokan menikmati hawa muda, sudahnya lalai dari mengingat Allah subhanahu wa Taala, dengan kata lain, langsung lupa daratan, tak solat pun, buang masa huha-huha ikut kawan, terjebak dalam kemaksiatan.
[2]. Berlakunya kemaksiatan. Ia berupa menghadiri majlis atau acara tertentu yang di dalamnya berlaku percampuran lelaki perempuan, ada tarian, nyanyian, muzik degung-degang, mereka terlalu happy, nak menyambut apa sahaja, termasuk acara yang tidak ada kaitan dengan Islam, acara Yahudi pun sambar juga, dan orang yang begini gembira dan asyik sekali dengan dunia maksiatnya. Inilah peluang jin nak merasuk.
[3]. Apabila berlaku sesuatu yang menyebabkan terlalu sedih, rasa tertekan, berlaku musibah, sehingga semacam tidak redha dengan takdir yang telah ditentukan kepadanya. [semak al-Baqarah: 156-157 tentang masalah ini].
[4]. Makhluk ini juga menyelinap masuk ketika seseorang berada dalam keadaan amat takut kepada sesuatu hingga lupa pergantungannya kepada Allah subhanahu wa Taala. Perangainya sama seperti perkara [1] tadi. Maka inilah ruang untuk jin menyelinap ke dalam dirinya. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment