Saturday 8 December 2012

PASAR CHOW KIT KUALA LUMPUR

PASAR Chow Kit Kuala Lumpur, dari dulu sampai sekarang [Disember 2012] masih macam itu juga. Deretan peniaga ikan, udang, ketam, sayur-sayuran dan barang keperluan lain termasuk buah-buahan ada di sekitarnya.
Pasar ini sudah saya jengah sejak tahun 70-an lagi. Keadaan macam itu juga, yang ada berubah sedikit sahaja. Para peniaga bertukar ganti, dulu tak ada warga dari seberang, sekarang cukup banyak, semua bertutur dalam bahasa Jawa Timur yang difahami, tetapi saya tidak pernah bertutur dalam bahasa ini.
Pelanggan yang biasa datang sini adalah dari golongan yang berpendapatan kecil dan sederhana, manakala yang kaya raya, tidak mahu singgah ke sini kerana mungkin keadaannya kotor, sempit, merimaskan, tidak ada perubahan, mereka ada pasar basah lain yang digemari.
Untuk dikatakan istimewa, pasar Chow Kit tidaklah istimewa kerana di sini tidak menyediakan ikan yang mahal-mahal seperti yang orang fikirkan. Yang dijual ikan biasa, ikan tenggiri, senangin, dan ikan yang biasa dicari orang, entah ikan cencaru, tongkol, kerisi, kembong, sardin, pari, senaling, sembilang laut, keli afrika, keli malaysia, siakap, atau ikan merah.
Orang kata, di sini tidak ada ikan yang standard dijual. Tengoklah, banyak yang jual longgok, selonggok sardin RM3 kalau beli dua longgok RM5 sahaja. Begitu juga ikan yang sudah siap potong selonggok RM5.
Bagi mereka yang berpendapatan kecil memang Chow Kit sesuai untuk diterjah.
Bilangan pelanggan dari benua Afrika pun boleh tahan. Mereka suka membeli daging lembu, ayam, dan barang keperluan lain. Kedai runcit untuk mereka pun ada. Mereka pun ada yang sudah pandai berniaga di situ.
Pasar Chow Kit masih jadi tumpuan orang yang tinggal berdekatan dengannya. Mungkin dari sekitar Keramat, Kampung Bahru, Kampung Pandan, Gombak, Setapak, Segambut atau dari arah Seputih.
Sebenarnya di mana-mana sudah ada pasar pagi yang menyediakan barang keperluan dapur bagi sesiapa yang tidak mahu datang ke Chow Kit.
Situasi Chow Kit sudah kehilangan seri. Daripada kawasan yang dulunya ada beberapa pasar raya, kini Chow Kit semakin mengecil, hanya ada Uda Ocean sahaja yang gah. Kalau tidak mahu masuk pasar basah Chow Kit, masuklah ke Uda Ocean. Tidak ada saingan bagi Uda Ocean selain Cold Storage di The Mall yang tidak jauh dari situ.
Pun begitu, bagi yang kaki jalan, mereka boleh jengah Maju Junction, kerana di situ ada pasar raya Giant di lantai bawah, manakala jalan ke depan sedikit ada kompleks Sogo yang tidak kurang hebatnya, sering jadi tumpuan orang dari segenap penjuru.
Meski KL sekarang sudah berubah, Sogo tetap jadi tumpuan. Lokasi ini ada kelebihan kerana ia sejalur dengan Dataran Merdeka, lokasi yang selalu menjadi hangat dengan berita dan laporan yang bersifat nasional. Sogo dibangunkan di atas runtuhan China Insurance Building berhampiran Pertama Kompleks. Bangunan Mara yang berwarna biru pudar itu tidak berubah keadaannya, tidak mampu bersaing dengan bangunan moden yang lain, meskipun sudah ada bangunan baru di tepinya, tetapi bilangan pengunjung ke situ masih kurang. Mungkin bangunan itu kalah apabila bersaing dengan Pertama Kompleks dan Sogo.
Orang yang biasa cari ikan di Chow Kit akan pergi ke situ dua hari sekali atau setiap hari. Hanya yang menjadi kehairanan orang, kenapa pasar Chow Kit itu sudah jadi pasar Jawa. Apabila anak-anak dari Jawa Timur ngobrol dalam bahasa mereka, maka ia tidak lebih seperti bandar Klang yang juga jadi tumpuan orang-orang Jawa seberang, manaka bilangan orang tempatan yang berkeliaran semakin kurang kalau tidak ada keperluan yang mendesak.
Pasar Chow Kit menampung suka duka penduduk di sekitar Kampung Bharu, Kampung Periok, dan dulu ada kawasan setinggan Kg.Semarang, iaitu Bangunan Maju Junction yang ada hari ini. Dulu kawasan itu kosong, pernah diadakan pementasan band rock sebelum orang kenal muzik rock secara menggila.
Dulu orang pergi Chow Kit sebab nak jenguk Batu Road Supermarket. Kini ia tinggal kenangan.
Dulu orang pergi Chow Kit sebab nak tengok orang jual ubat, ramai sungguh orang jual ubat di sepanjang lorong dan kawasan Keramat Supermarket [sekarang hotel baru].
Satu-satunya masjid yang ada di Chow Kit adalah Masjid Jamek Pakistan. Kalau ada sesiapa yang datang KL pada hari Jumaat, jangan risau tak ada tempat solat Jumaat. Masjid itu mempunyai 3 lantai, naiklah ke lantai paling atas, selalunya di atas kosong dan tidak jadi tumpuan.
Sebelah masjid itu itu adalah sebuah sekolah rendah [Jalan Raja Muda] dan saya pernah mengajar sekejap di situ. Seorang murid dari kaum Singh yang saya ingat namanya Balbinder Singh. Dia suka menyanyi lagu Hindustan. Seingat saya, lagu yang dia nyanyikan masa itu dipetik dari filem Bobby. Kemudian di sekolah itu ada seorang petugas yang suka menyanyi, dia kerap tampil dalam program nyanyian di RTM.
Chow Kit sudah kematian panggung wayang. Dulu tempat ini megah kerana ada Panggung Federal dan pangung Capitol. Sekarang tinggal kenangan. Yang masih ada hanya Federal, itupun percubaan untuk menghidupkan panggung itu menemui jalan berliku. Zaman sudah berubah. Panggung wayang sudah berhijrah ke bangunan moden di Times Square, di sana ada panggung, atau ke Pavillion Bukit Bintang.
Bagi yang menjaga agama, panggung wayang adalah perkara yang tak penting dalam kehidupan, begitu juga nyanyian lagu Hindi, lagu rock atau lagu klasik.
Chow Kit, dulu sering dikaitkan dengan Lorong Haji Taib. Ada beberapa lorong yang menggunakan nama Taib. Kini dekat Chow Kit sudah ada Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut. Sudah nampak kemajuan parti ini, daripada tidak ada bangunan, kini sudah ada bangunan, seperti juga Umno megah mempunyai PWTC yang juga dekat Chow Kit.
Pasar malam Chow Kit berada di sekitar Lorong Haji Taib. Di situ juga sudah ada balai polis. Jika dulu kawasan itu terkenal sebagai tempat persundalan kelas bawahan dengan lampu remang merah jambu dan merah, kini ia sudah pupus. Semua tempat sudah dijadikan stor buah-buahan, kedai pemborong berbagai barangan bagi peniaga pasar pagi, pasar malam dan peniaga larut malam.
Walaupun Chow Kit sudah kehilangan seri sebagai tempat tumpuan orang membeli-belah, kawasan ini dikelilingi pasar raya besar di sana-sini. Pelanggan tinggal memilih, mana yang digemari.[]

No comments:

Post a Comment