Sunday 9 December 2012

MENCARI NYANYIAN DAN MUZIK DALAM JAMBAN

ANAK MUDA kita pantang mendengar ada acara muzik di mana-mana. Sebutlah acara anugerah muzik di mana pun, mereka pasti memenuhi segenap ruang dewan atau stadium. Suasana hiburan terlalu meriah. Konsert sentiasa diadakan di sana-sini kerana pihak penganjur pun mahu cari makan. Kalau tak ada penganjuran bagaimana syarikat mereka hendak terus hidup?
Selain acara hiburan yang begitu, anak muda biasa, akan mencari hiburan sekadar mendengar radio atau nonton televisyen kalau ada program hiburan, kalau tidak ada nyanyian dan muzik, ada lawak jenaka pun jadilah.
Ada orang bekerja di pejabat sambil mendengar nyanyian. Walaupun perlahan ia sudah sebati dalam jiwa. Tanpa muzik dan nyanyian nescaya mengantuklah atau seperti ada kekurangan. Ini semua kerana faktor kebiasaan. Pengawal keselamatan di pondok kawalan sentiasa mengikuti siaran radio meskipun perlahan tetapi ia menjadi pemangkin semangat, jadi kawan pelingkup kesunyian. Tetapi jika dipasang dengan volume tinggi, ia jadi bahana, orang panjat pagar pun dia tak dengar, orang pecah kereta pun tak dengar, lagi-lagi yang pasang sesuatu di telinga mereka dan suara bass lebih diutamakan. Peti duit dilarikan orang pun dia tak dengar.
Jadi, muzik dan nyanyian amat penting kepada masyarakat moden. Dalam kereta untuk mengelakkan jemu memandu dek kerana banyak lampu isyarat, kereta berjejalan, maka nyanyian dan muzik jadi penyeri.
Ibnul Jauzi berkata, bahawa Ibnu Mas'ud ada menyebut, "Jika seseorang menaiki kenderaan tanpa menyebut nama Allah, syaitan akan menyertainya dan berkata, 'Nyanyilah kamu.' Dan apabila dia tidak memperindahkan syaitan berkata lagi, 'Berangan-anganlah kamu.'" [dikeluarkan oleh Abdul Razzaq, Al-Mushannaf, 10/397, sanadnya sahih].
Dari pejabat sudah dengar, dalam kereta dengar lagi, sampai ke rumah pun sambung dengar lagi, bahkan ketika solat pun masih ada suara nyanyian dan muzik, ketika solat dia tahu siapa penyanyi dan lirik lagu itu, di mana khusyuknya solat, tidak difikirkan pun. Yang penting, lagu dan nyanyian itu telah menghidupkan suasana, membangkitkan semangat, membangkitkan ghairah untuk menggunakan masa seadanya.
Sampai bila meminati lagu dan nyanyian? Kekadang kasihan melihat pemuzik yang telah berumur, rambut sudah putih tetapi masih mentas lagi. Macam orang sibuk dengan teater rebab.
Jika seseorang itu memang minat menyanyi dan main alat muzik, dia akan terus melakukannya tanpa menyemak tentang persoalan itu. Tidak terfikir pun bahawa benda yang digemari itu rupanya penuh dengan pencemaran.
Tidak cukup dengan hiburan yang ada, mereka sanggup keluar rumah, menuju ke tempat-tempat hiburan di dewan tarian, ada berbagai bentuk hiburan yang menjadi pilihan. Masuklah ke mana-mana pusat hiburan, muzik dan nyanyian adalah keutamaan.
Paling murah pun, mereka akan masuk ke dalam bilik karaoke jamban. Bukan hendak berak di dalamnya, tetapi hendak menyanyi, sudah disediakan lampiran senarai lagu, pilihlah, dapatkan token yang banyak, RM10 tidak cukup. Inilah kesukaan orang muda, orang tua pun suka, bahkan yang masih asyik berdua-duaan pun suka masuk karaoke jamban. Bukan nak menyanyi sangat, tetapi itulah ruang untuk bersenda-gurau, bertepuk tampar, alahai, inilah ruang yang paling selamat. Tak pernah dengar orang masuk jamban kena tangkap khalwat. Ini bukan jamban nak berak, tetapi jamban untuk menyanyi walaupun meneran-nerah meniru gaya nyanyian Mus budak kumpulan muzik May.
Pemilik karaoke jamban mengaut wang yang banyak. Sebuah lagu hanya beberapa minit RM1. Seorang anak muda tidak cukup dengan satu atau dua lagu, paling tidak lima lagu [RM5]. Jika datang dengan pasangan yang aduhai, abang nak tunjuk bakat nyanyian, maka lebih dari RM10 dileburkan.
Deretan jamban untuk meneran suara itu misalnya ada 15 buah. Cuba kira dalam masa 1 jam dia boleh dapat berpuluh ringgit dari sebuah jamban. Kalau 15 jamban berapa "tahi" yang mereka dapat? Itu sebab tauke karaoke jamban sentiasa mencari lokasi baru untuk buat duit. Biarpun dinamakan jamban, orang muda tetap suka masuk jamban.
Pengaruh jamban pun hebat. Di mana-mana sudah ada karaoke jamban. Tengoklah di Johor Bahru, kemudian naik ke Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah, jenguk Kuantan sana, jenguk Kuala Trengganu dan jenguk Kota Bahru, Alor Setar, Georgetown Pulau Pinang, Ipoh, dan di mana sahaja nampaknya hiburan jenis jamban ini memang popular.
Jamban ini dianggap sebagai tempat latihan. Latihan vokal. Jeritlah sekuat manapun yang anda mahu. Hanya tak sampai hati nak kencing dan berak dalam jamban begitu. Jamban ini untuk menyanyi. Kalau dapat berduet dengan pasangan sejiwa lagi bagus.
Pakcik dan Makcik pun ada yang suka masuk jamban. Bila lagi hendak tunjuk bakat terpendam. Mana tahu, di majlis kahwin nanti orang panggil suruh nyanyi? Maka mereka pun carilah lagu-lagu 60-an, atau lagu P Ramlee paling tidaknya.
Bukan apa, apabila singgah di warung tomyam pun, ada kalanya memang disediakan ruang untuk berkaraoke. Jadi, nampaknya nyanyian sudah mewarnai seluruh kehidupan kita. Balik dari surau dan masjid terus nak pergi karaoke. Kekadang tak sempat tukar pakaian pun, terus melalak sampai larut malam.
Inilah kesan pengaruh masuk jamban.
Bukan tidak ada orang kata, mereka yang terkenal hari ini pun dulu suka masuk jamban. Sesiapa yang ingin jadi penyanyi terkenal kena masuk jamban. Kalau melalak di rumah nanti mak marah, bukan ada studio yang kedap bunyi. Nanti jiran pun marah, hari-hari asyik melalak, atau jreng-jreng petik gitar, nak tiru Yuna atau budak baru yang ntah siapa namanya tu.
Kalau ada ulama menegur tentang keburukan hiburan, inilah keburukannya. Masa banyak dihabiskan duduk dalam jamban. Banyak yang meneran kerana lagu-lagu rock. Suara kena tinggi. Pecah atau putus suara pun tak apa, dalam jamban bukan orang luar dengar.
Kesannya, itulah yang ulama kita tegur, lirik lagu dalam jamban telah dihafal, surah al-Ballad tak hafal-hafal pun. Kesannya, boleh solat sambil dengar lagu berkumandang. Boleh baca al-Quran sambil telinga mendengar lagu di luar sana. Jadi, inilah yang dikatakan memperolok-olok. Untuk mengelakkan syubhat, maka kena pastikan rumah kita tidak menjadi sarang muzik dan nyanyian, apalagi hendak dijadikan jamban tambahan selain karaoke jamban yang ada di tempat membeli-belah itu. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment