Tuesday 11 December 2012

SAYA JUMPA NABI KHIDIR

KALAU kita membaca kisah tokoh tertentu, kita kerap terbaca bagaimana seseorang tokoh ternama itu pernah ditemui atau menemui seseorang yang tidak dikenali. Sekalipun tokoh itu mendakwa dia tidak kenal dengan siapa orang itu, maka tafsiran ganda di kalangan pengikut, murid atau pendukungnya akan menjadi cerita lain.
Para pendukung begitu cepat membuat kesimpulan, bahawa orang yang ditemui itu adalah Nabi Khidir. Sekalipun kisah Khidir ini adalah kisah yang bersamaan dengan Nabi Musa a.s. yang berpetualangan ke sana-sini sehingga ditegur kerana tidak sabar dan banyak bertanya, sampai sekarang, di mana-mana ada orang yang menyalahgunakan riwayat Khidir ini untuk memposisikan seseorang tokoh.
Syeikh Ali Ahmad Abdul Aal ath-Thahthawi [Fath al-Mannan bi Ahkaam al-Jaan, 2005] memaparkan:
seringkali ada orang melihat "penampakan" dan berkata kepadanya: "Sungguh akulah Khidir." Padahal sesungguhnya itu adalah jin.
Sesungguhnya orang yang melihat penampakan itu kebanyakannya adalah orang-orang jujur dan cerita-cerita ini juga mutawatir.
Kata Syeikh itu lagi, tetapi ada orang keliru dan menganggap penampakan itu adalah Nabi Khidir. Ia sebenarnya dari kaum Jin yang menyamar. Keadaan ini biasa dihadapi oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani di tempat peribadatan mereka. Kalau ia muncul di situ, makhluk itu akan mendakwa dia adalah Nabi Khidir.
Mengenai pengakuan tadi, bukan sekadar mengaku Nabi Khidir sahaja, malah lebih dari itu. Yang paling kerap adalah mengaku dia adalah syeikh-syeikh tertentu.
Fenomena penampakan yang disangkakan sebagai Nabi Khidir adalah terlalu lumrah. Bahkan ada yang malu hendak mengaku jumpa Khidir kerana latar belakang ilmunya yang tidak berpadanan.
Ada dari kalangan orang pesantren dan tarikatan yang mendakwa jumpa Nabi Khidir. Dakwaan itu tidak ada saksi, tidak ada bukti, hanya cerita. Biasanya cerita dari sang guru akan dipercayai oleh muridnya, dan kemudian disampaikan dari satu orang ke orang lain, jadilah cerita yang hebat.
Perihal pertemuan sang guru dengan Nabi Khidir itu lebih difokuskan ketimbang cerita yang lain. Hal yang berkaitan dengan Nabi Khidir ini cukup banyak diceritakan orang. Hanya perlu berhati-hatilah, jangan sampai pak dukun atau paranormal hebat pun mengaku jumpa Khidir juga. Betul kata Syeikh Ali, yang kebanyakan orang jumpa itu adalah jin. Kebanyakan orang yang belajar ilmu hikmah berhajat benar jumpa Nabi Khidir di kawasan lapang yang serba kehijauan. Mereka mengharapkan Khidir datang untuk memberikan berbagai nasihat dan keilmuan hikmah. Wallahu a'lam.[]

No comments:

Post a Comment