Sunday 9 December 2012

JALAN ATAS AIR

BIASANYA dalam catatan sejarah masa silam tentang seseorang tokoh wali, ada sahaja khabar, ceritanya, atau menurut sembang seseorang dicatatkan. Antara yang dicatatkan, sesuatu yang berlaku akan dikaitkan dengan tokoh yang berkaitan.
Misalnya, usaha untuk meluruskan Jalan Pudu berhampiran Penjara Pudu ketika ia dibina pada zaman British dulu telah menemui kegagalan kerana jentolak yang digunakan untuk projek pelurusan jalan itu mengalami kecelakaan. Usaha untuk membongkar pokok tua tak dapat dilakukan, jika tidak dapat dilakukan maka jalan itu tidak dapat diluruskan. Tokoh yang dikaitkan dengan peristiwa itu adalah seseorang yang digelar Babul Janah, tidak diketahui nama sebenarnya. Makam tokoh ini dulu dikeramatkan orang, terletak di kawasan surau Babul Janah, sekarang sudah jadi masjid besar di Jalan Hang Tuah itu, hasil usaha Bukhary tauke beras yang kaya raya berkat dukungan dan naungan.
Itu satu contoh nilai keramat yang diceritakan orang.
Setiap orang yang dipertokohkan sebagai keramat maka ia mengundang banyak cerita. Dari pengalaman selaku wartawan misteri, saya kerap bertanya kepada orang yang hampir kawasan makam tentang cerita lisan yang mereka ketahui. Sebelum pergi ke lapangan, saya sudah bersedia dengan cerita yang sebenar yang pernah disembangkan orang.
Di lapangan kita mendengar apa sahaja cerita orang. Sama ada cerita itu betul atau tidak, bukanlah penting kerana kita sudah ada acuan cerita yang dibawa. Begitulah juga ketika berkunjung ke sebuah makam yang dikeramatkan di Kuala Selangor, makam keramat anak dara. Ia hanya replika makam, ada kubur dan orang sering ziarah hanya setakat nak tahu sahaja. Makam itu dikaitkan dengan kehilangan seorang anak dara ketika majlis kenduri perkahwinan. Kehilangannya misteri, kalau mati lemas ia pasti terapung. Ke mana dia menghilang? Bahkan bukan tidak ada lanjutan cerita yang boleh dipanjangkan, konon dia dipelihara makhluk halus di sekitar hutan dan lereng bukit di Bukit Melawati Kuala Selangor. Dia masih wujud dalam bentuk halimunan dan tidak akan mengganggu sesiapa. Tidak perlu dipuja, tidak perlu diingat, ia hanya cerita rakyat di Kuala Selangor.
Ketika berada di pasar karat Petaling Street,Kuala Lumpur baru-baru ini, ada seorang peniaga batu cincin dari Kedah bercerita dia ingin menziarahi makam di Bukit Jugra, Banting. Tentang Bukit Jugra ini pun kisahnya masih samar-samar kerana ia hanya makam yang dikaitkan dengan kerabat diraja. Selalunya nilai kekeramatan pada tokoh berkaitan kerabat tidak menjadi perhatian orang. Bagaimanapun ada rakan yang bercerita tentang pengalamannya tidur di kawasan makam itu dan dia telah mendapat sebilah keris kecil, mendapat batu cincin dan temuan lain.
Mungkin ada orang lain yang menemui benda-benda mistik lainnya yang tidak menceritakan kepada sesiapa memandangkan ia tidak mempunyai nilai berita.
Keramat atau tidak sesuatu tempat itu adalah bergantung kepada cerita yang pernah dicetuskan oleh orang dulu. Jika mereka telah bercerita tentang kelebihan seseorang, maka cerita itu akan tetap disampaikan dari satu generasi ke satu generasi berikutnya, dan sekarang, akhbar, majalah dan televisyen turut sama memperpanjang kisah menjadi meluas.
Seorang tokoh bernama asy-Syadafi, dia pernah beritahu asy-Syafi'e, bahawa kawannya yang bernama Laits bin Sa'ad ada menyebut, "Jika kamu melihat seorang lelaki berjalan di atas air janganlah terpedaya dengannya sehingga kamu padankan keadaannya itu dengan al-Quran dan as-Sunnah."
Kata Imam asy-Syafi'e, "Tidak itu sahaja, semoga Allah merahmati beliau, bahkan jika kamu melihat seorang lelaki berjalan di atas bara api atau melayang di udara, maka janganlah kamu terpedaya dengannya sehingga kamu padankan keadaannya itu dengan al-Quran dan as-Sunnah."
Itulah pandangan para ulama rahimahullah berkenaan dengan masalah keramat seseorang tokoh. Dalam perkara ini, "Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." [an-Nahl: 43].
Para ulama tidak mengingkari akan adanya keramat atau karomah para wali. Ia memang ada dan akan tetap ada pada sepanjang zaman, hanya seseorang yang memiliki kelebihan itu tidak suka pamer, tidak suka pukul canang atau buat iklan mengatakan kehebatannya. Keramat itu hanya diberikan kepada orang yang berjalan di atas shiratal mustaqiim dan di atas sunnah. Dan keramat itu hanya muncul pada diri seorang wali yang arif, alim tentang agama dan diperlukan kaum muslimin sebagaimana keramat yang pernah diriwayatkan daripada para salafus salih.
Makam keramat yang disebut-sebut orang yang ada bertebaran di mana-mana itu pun tidaklah dikenali kekeramatannya kecuali setelah diceritakan orang sejak dahulu kala. Ia cerita nenek moyang.
Kalau ada orang membuat penambahan, menjadikan makam itu sebagai tempat untuk diziarahi dan kemudian membuat cerita baru, itu tidaklah diketahui. Di sinilah kalau di Jawa sana, jurukunci main peranan menceritakan tentang riwayat sesebuah makam. Seorang jurukunci, atau penjaga sesebuah makam biasanya mengetahui cerita itu setakat yang dia dengar daripada jurukunci yang terdahulu. Versi cerita tidak akan ditambah kerana dia bukan ahli dongengan. Kalau dia kreatif mungkin cerita itu jadi panjang. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment