Saturday 8 December 2012

KULIAH BILIK ANGGERIK, PERKIM JALAN IPOH

SEJAK saya jenguk bilik kuliah di ibu pejabat Perkim Jalan Ipoh,KL ini, keadaannya seolah-olah makin malap. Bayangkanlah, daripada 76 yang hadir mengikuti kuliah mingguan terutama hari Ahad [dari pukul 10.00 pagi - 1.00 tengah hari] bilangan orang lelaki yang sudi hadir mengikuti kuliah tidak seramai mana.
Kalau tidak lapan orang, bilangannya merosot jadi enam, lima atau empat orang sahaja.
Ustaz yang bagi kuliah pun bukan biasa-biasa, ada yang selalu muncul dalam program tv. Nampaknya orang pun tidak peduli dengan tv. Sebab itulah, kehadiran mengikuti kuliah di Perkim macam itu juga tak berubah.
Kadang-kadang terasa juga apabila bilangan orang lelaki yang jenguk tempat itu hanya ada dua orang termasuk saya, mana yang lain.
Peliknya, di luar sana ketika kuliah berlangsung, ada sekumpulan orang lelaki dari kaum Melayu majoritinya, sibuk berjejal menunggu di tangga depan pejabat Perkim semata-mata nak dapatkan nasi campur atau nasi lemak.
Bilangan mereka ada kalanya ramai ada masanya kurang. Semua ini bergantung kepada keadaan di Chow Kit. Golongan gelandangan ini patut dibantu. Kalau ada orang rasa malu melihat gelandangan yang ramai, itu bukan tugas orang yang pergi kuliah Perkim.
Bukankah khabarnya ada pihak berwewenang yang menggunakan slogan rakyat diutamakan tetapi tidak peduli pun dengan golongan gelandangan ini.
Kaum gelandangan datang ke Perkim semata-mata nak dapatkan makanan sahaja. Disuruh masuk dengar kuliah percuma tak mahu, padahal sesiapa yang ikuti kuliah dan ikut solat berjemaah Zohor di situ, selepasnya mereka boleh menjamu selera. Tikar dibentangkan di lantai, boleh duduk ramai-ramai macam kenduri kampung.
Agaknya, mereka cukup risau kalau disuruh solat. Agaknya kalau disuruh dengar kuliah lagilah gerun. Kebanyakan orang fikir, siapa yang datang Perkim adalah saudara baru semuanya. Dalam soal cari ilmu, tidak kira saudara baru atau lama. Bahkan yang lahir Islam pun banyak tak tahu. Dalam bab solat, bab aqidah dan berbagai persoalan umat. Mereka banyak tak tahu.
Tidak mahu pergi Perkim tak ada masalah kalau mereka rajin jenguk masjid atau surau di tempat masing-masing. Beberapa rakan sudah saya pelawa jenguk kuliah Perkim kalau tak ada halangan. Seorang pun tak ada yang sudi. Tetapi agaknya kalau saya ajak mereka tengok program tarian atau nyanyian, agaknya awal-awal sudah datang! []

No comments:

Post a Comment