Saturday 8 December 2012

PAGI AHAD LEPAS SUBUH

SELALUNYA pagi Ahad lepas subuh akan ada tazkirah di mana-mana masjid dan surau. Sudah ada penceramah khusus untuk program pagi bagi wacana ilmu.
Sedihnya, ada masjid yang gagal menarik bilangan jemaah meski setiap pagi minggu ada ceramah yang dibawakan oleh ustaz tertentu. Ada ustaz yang mampu menarik audien dan ada yang gagal sama sekali.
Kekuangan jemaah pada pagi minggu mungkin ada banyak sebab, antaranya:
  • Mereka sudah ada aktiviti lain pada pagi minggu.
  • Mereka solat di rumah bersama keluarga secara jemaah.
  • Mereka ada urusan penting pagi itu - keluar awal dari masjid setelah selesai solat subuh.
  • Mereka memilih masjid atau surau lain kerana jadual ceramah pagi minggunya lebih menarik.
  • Ada perkara lain yang tidak diketahui.etul
Ada juga masjid yang bilangan jemaahnya setakat itu sahaja, keadaan jemaah membeludak hanya pada hari Jumaat sahaja ketika solat fardu Jumaat. Kebanjiran ini kerana jemaah datang dari luar kawasan, dan kebanyakan yang tidak jenguk masjid akan jenguk masjid kerana solat fardu Jumaat.
Bilangan jemaah sesebuah masjid bergantung kepada bagaimana ahli jawatankuasa masjid itu berinteraksi dengan para jemaah. Pemakmuran masjid bergantung kepada kerjasama jemaah dan AJK yang ada.
Ada AJK masjid yang menganggap diri mereka terlalu istimewa sehingga tidak peduli dengan jemaah yang ada. Bahkan ramai pula golongan kita ini suka dilantik untuk memegang jawatan tertentu agar nama disenaraikan dan diumumkan setiap kali solat Jumaat.
Kemegahan ini tidak ke mana kalau mereka jarang datang ke masjid, atau muncul ketika ada majlis tertentu sahaja.
Bukan tidak ada penceramah yang terdiri dari kalangan imam masjid itu sendiri. Meskipun dia imam di situ, dia masih gagal menarik minat jemaah berkumpul di pagi minggu. Apa punca masalah ini?
Mungkin cara dia memberikan tazkirah tidak ada perubahan, dia suka mengulang cara mingu lepas. Dia masih mengulang-ulang kaedah yang tidak menarik dan membosankan.
Contoh, ada yang cuba mengajar teknik pembacaan al-Quran yang betul, menerangkan mana wakaf dan bagaimana sebutannya yang betul, sayangnya, intonasi yang digunakan untuk menyampaian tidak mengenai sasaran, jemaah tidak faham atau tidak ambil peduli kepada ceramahnya.
Penceramah yang berbicara tentang hukum dalam pembacaan, sebagaimana tajwid, dia kena gunakan alat bantu untuk menjelaskan apa yang dikatakannya, tanpa bantuan itu, keterangan bagaimana giat pun , ia tidak dapat difahami jemaah.
Kalangan jemaah yang berusia 50-an begitu banyak ketika tazkirah, bilangan anak muda langsung tidak ada, atau hanya seorang dua. Orang yang tinggal di sekeliling masjid pun masih ada yang tidak pernah jejak ke masjid atau surau berhampiran. Bayangkanlah. Di mana silapnya kita? Bukan tidak ada usaha mengajak ke masjid atau surau oleh jemaah Tabligh umpamanya, tetapi mereka juga salah ketuk rumah orang. Orang yang memang datang ke masjid diundang untuk ke masjid, sedangkan orang yang tak suka ke masjid tidak diajaknya ke masjid.
Sebenarnya terus terang cakaplah, trend masyarakat kita datang ke masjid hanya bergantung kepada usia. Semakin orang itu berusia, maka mereka cenderung ke masjid untuk membaiki diri, untuk menebus kesilapan dan kealpaan masa lalu yang tak pernah atau tak suka ke masjid.
Jadi, kerajinan datang ke masjid bukanlah suatu gambaran jelas bahawa seseorang itu memang kaki masjid ketika muda. Seseorang itu perlu memupuk kecintaan kepada masjid sejak usia muda. Bukan apabila sudah berusia lanjut, sudah bertongkat, atau tidak mampu solat berdiri lagi, atau ada masalah kesihatan baharulah hendak ke masjid. Ketika ini mungkin akan nampak kewarakannya, hanya seseorang kena muhasabah diri, jangan memandang sinis kepada mereka yang tinggal berhampiran masjid tetapi langsung tak peduli ke masjid.
Suatu perkara yang patut diambil tahu, bahawa sekarang ada penempatan rumah-rumah atau bilik sewaan yang membolehkan orang luar tinggal di situ. Mungkin dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan sebagainya.
Didapati, walaupun bilangan orang luar ramai di kawasan itu, ia tidak memberi sumbangan langsung untuk menambah bilangan jemaah di masjid. Kenapa? Rakyat asing ini hanya mahu tinggal dan tidak peduli dalam urusan keagamaan. Atau mereka membawa budaya yang terbiasa ketika berada di kampung atau di negeri masing-masing.
Jangan hairan kalau meskipun ramai umat Islam tinggal berhampiran masjid, tetapi bilangan jemaah masjid masih orang itu juga yang ada, kesilapan ini kerana umat Islam tidak memahami fungsi masjid. Atau mereka menganggap ibadat hanya untuk golongan berusia sahaja. Orang yang masih muda tidak perlu giat beribadat kerana mereka masih banyak masa. Ada kalangan sikap menjauhkan diri dari masjid ketika muda akan berakhir dengan kebiasaan enggan ke masjid sampai ke tua.
Lihatlah, berapa ramai mendengar tazkirah selepas subuh di pagi minggu ini? []

No comments:

Post a Comment