Saturday 29 December 2012

MAKAN LEBIH UTAMA DARIPADA IBADAT

SETIAP kali datang ke Masjid Pakistani Chow Kit, Kuala Lumpur, saya lihat ada beberapa orang lelaki yang wajahnya biasa dilihat di mana-mana. Maksudnya, saya tidak melihat dia di masjid itu sahaja, bahkan ketika di ibu pejabat Perkin Jalan Ipoh, saya melihat orang yang sama. Ketika berada di depan Masjid India, Jalan Masjid India, juga ada watak yang sama di situ. Itu belum lagi bab Masjid Jamek LRT yang sekarang ditutup untuk kerja renovasi [tak tahu bila siapnya].
Apa yang nak dicatatkan di sini ialah tentang bab makan.
Di KL bab makan lebih utama daripada yang lainnya.
Pendeknya pantang ada acara atau majlis tertentu yang ada bab makan, maka pastilah orang-orang yang suka makan akan datang meskipun tidak diundang.

JANGAN BERKIRA
Dalam pandangan Islam, soal makan jangan berkira, berilah makan kepada orang yang kelaparan. Beri makan lebih afdal daripada beri duit.
Kalau duit nanti mereka beli yang bukan-bukan termasuk rokok.
Bagi mereka kenyang, sebab matlamat duniawi orang bekerja adalah untuk cari makan. Dapat duit untuk beli makanan. Beli beras, ikan, bawang, gula, tepung dan sebagainya. Kalau tak ada duit nak beli makanan apa?
Itulah yang saya nak sentuh.
Di KL ada sekelompok manusia yang tidak berumah, tidak berharta, tidak berpenghasilan, dan tidurnya di merata-rata. Amat disayangkan, masjid dan surau sudah tutup pagar setelah solat Isyak. Maka mereka yang tak ada rumah, tak ada tempat isitrahat akan memilih bawah pokok, kawasan taman dekat Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dalam kolong, bawah jambatan, atas jejantas, kaki lima kedai dan bangunan, asalkan boleh lelap sudah. Yang paling berani tidur di perhentian bas atau teksi. Janji hilang ngantuk sudahlah.
Begitulah kehidupan yang mereka jalani setiap hari.

PUTARAN HIDUP
Esok pagi, masuk masjid atau surau atau tandas awam, bayar berapa sen sangat untuk berak dan mandi. Pakai baju dan seluar yang sama.
Bayangkan, betapa baunya, masam dan hapak, siapa yang mengalami kehidupan tragis ini pasti mengakui catatan sedih ini.
Apakah mereka tak ada keluarga di kampung? Ada.
Mereka berasal dari kampung entah dari ceruk mana pun. Ada yang jadi peminta-minta.
Dan ada yang jadi jaga kereta haram. Ada yang harapkan belanja kawan-kawan yang dia kenal.
Dan istimewanya di KL ini ada bab makan percuma.
Ada masjid dan surau sediakan makanan. Itupun bukan disediakan pihak masjid, melainkan hantaran daripada orang yang pemurah, beli nasi bungkus dan diserahkan kepada mereka yang berhajat. Berebutlah mereka mendapatkan nasi bungkus begitu. Kena ingat, mereka bukan saja-saja hantar nasi kalau bukan kerana tujuan tertentu.
Ada hari tertentu kelompok dari puak Kristian atau Buddha yang menyediakan makan percuma kepada mereka.
Saya lihat semua orang berbaris. Yang pakai tudung pun berbaris. Yang pakai kupiah atau songkok pun berbaris.
Mereka sudah tidak peduli dari sumber mana tangan yang memberi makanan itu. Kalau penyedia kata halal, maka mereka pun anggap halal.

BAB LAPAR
Dalam perkara lapar ini, mereka tidak fikir halal atau haram makanan itu, asalkan ayam ia halal, bukan babi. Soal siapa yang masak, daging dari mana itu bukan hak yang lapar nak menyelidik. Jika begitu alamat kebulurlah!
Jadi, di Masjid Pakistani pun begitu juga. Beberapa orang lelaki menunggu kedatangan pembawa nasi bungkus untuk diagih-agihkan.
Mereka menunggu di kawasan masjid semata-mata untuk dapatkan nasi bungkus.
Yang sedihnya, mereka hanya mengharapkan nasi bungkus sahaja, bukan soal solat zuhur, asar atau maghribnya.
Hanya yang bukan dari jenis kelaparan yang mengerjakan solat, manakala yang selalu mengharapkan makanan percuma ini mengabaikan solat.
Datang ke masjid semata-mata untuk dapatkan nasi bungkus.
Setelah dapat, semuanya tinggalkan masjid.
Bagaimana cara nak menarik mereka agar sama-sama mengimarahkan masjid? Agar menambah pahala dengan mengerjakan solat berjemaah?

ADA ALASAN
Kena faham, bayangkan, kalau pakaian itulah yang sejak semalam dipakainya. Sudah tentu ia bernajis. Itulah alasan mereka tidak solat. Jadi jangan marah! Itu urusan dengan manusia. Bagiamana urusan dengan Alah subhanahu wa Taala?
Itulah bahayanya perut lapar dan ketidakadaan sesuatu.
Hidup sebatang kara. Tidur tidak menentu. Kerja tak ada. Jangan nak ketawakan mereka. Kita kena simpati. Cari penyelesaian. Beri lowongan kerja yang sesuai dengan bakat mereka.
Disebabkan saya sudah lama di KL, saya kenal amat dengan orang-orang ini.
Mereka datang ke masjid hanya untuk dapatkan makanan percuma. Setelah dapat, mereka bertebaran. Episod ini juga saya lihat di lantai bawah bangunan Perkim kalau ada majlis ilmu di hari Minggu. Mereka datang secara berkumpulan, tidak kurang 20 hingga 30 orang! Semuanya menagih makanan dan minuman.
Di kalangan mereka, tidak ada pula yang mahu ambil kesempatan ini untuk sama-sama solat di surau pun. Sebab mereka sudah diasuh datang untuk makan.
Ini adalah KESAN daripada tradisi rumah terbuka di KL. Muka itu juga yang datang. Setakat nak makan memang tak habis pun. Tak bengkrap bagi makan kepada si miskin. Hanya satu pendidikan perlu diberi kepada golongan ini agar tidak menjadikan bab makan sebagai keutamaan! Wallahu a'lam. []

BULU CENDERAWASIH BERKHASIAT KATANYA

ADA kawan yang bawa bangkai burung cenderawsih di dalam begnya. Bangkai burung itu dibungkus dengan kain kuning, dibubuh wangian attar agar semerbak. Bangkai burung itu entah dibawa dari mana, mungkin dia beli dari seorang agen yang memang kerjanya bawa bangkai burung. Maknanya mereka menjalankan perniagaan bangkai burung. Burung sudah mati. Dan tidak mungkin mereka akan bawa burung cenderawasih yang boleh taruh dalam sangkar macam burung merbuk.
Biasanya orang percaya sangat kepada kelebihan memiliki bulu cenderawsih ini. Daripada mana mereka tahu bahawa bulu burung itu bermanfaat, tidak ada kitab shahih pun yang boleh dijadikan rujukan.
Jadi, selama ini, rujukan mereka adalah cerita lisan yang dituturkan oleh orang perseorangan. Kawan kita tadi kata bulu burung cenderawasih boleh dijadikan minyak pengasih, atau penambat cinta. Itupun masih diragui, kenapa perlu cenderawasih, bulu burung merak tak bolehkah? Bulu ayam di dalam reban kita itu tak bolehkah?
Inilah yang dikatakan mistik.
Kepercayaan seseorang kepada sesuatu benda hanya berdasarkan cerita atau bawaan seperti kes kawan tadi yang mendengar cakap orang bahawa bulu cenderawsih berkhasiat.
Kalau nak semak balik, cerita cenderawasih ini banyak yang tak masuk akal, seperti juga kisah mitos yang dimuatkan dalam buku Sejarah Melayu atau Hikayat Hang Tuah itu.
Cerita cenderawsih lagi mengarut.
Apa tidaknya, konon ada seorang perempuan tua [tak tahu berapa usianya] masuk ke hutan untuk mencari buah-buahan hutan bertemankan seekor anjing betina. Dia jumpa pokok pandan [?] berbuah lebat. Dia petik dan diberikan kepada anjingnya.
Mana ada anjing makan buah-buahan macam itu? Mungkin ini anjing pelik sudah diajar makan apa sahaja yang tuan dia boleh makan.
Setelah makan buah itu, perut anjing betina makin besar seolah-olah bunting. Anjing boleh bunting makan buah, kalau orang makan buah itu tentu bunting juga seperti anjing.
Maka perempuan itu pun makan buah pandan dengan harapan boleh bunting. Harapannya menjadi, dia bunting dalam beberapa hari sahaja dan kemudian melahirkan seorang bayi lelaki diberi nama Kweiya.
Apabila anak itu besar sikit, dia ajak ke hutan untuk buat huma dan berkebun. Bakaran daun kering ketika berladang menyebabkan asap berkepul ke udara. Datanglah seorang pemancing ke situ. Dia tanya itu dan ini, kemudian pinjamkan kapak untuk menebang kayu di situ.
Budak lelaki itu ajak pemancing balik ke rumah. Dia cadang nak kahwinkan pemancing itu dengan ibunya si perempuan tua tadi. Ibunya setuju.
Kahwin cara dia senang sahaja, tak payah itu ini. Janji duduk bersama sudah dikira kahwin. Kahwin mengikut kaum paganis begitulah agaknya. Hasil daripada perkahwinan itu, lahir dua anak pula seorang lelaki dan seorang perempuan. Campur dengan Kweiya, sudah ada tiga anak di rumah itu.
Kweiya jadi budak yang dicemburui oleh dua adiknya. Ketika ibu bapa berkebun, dua beradik itu telah membuli si abang. Dibeduknya Kweiya hingga benjol-benjol. Tetapi semua itu dirahsiakan.
Akhirnya Kweiya jadi budak bodoh. Hari-hari dia kena dera oleh adiknya. Dia sabar dan mengalah. Tidak repot pada ibu bapanya. Polis apa lagilah.
Dia menyorok dalam rumah. Berlindung di sebalik tikar dan batang tebu yang disandarkan. Ketika itulah Kweiya memintal benang untuk dijadikan semacam tali. Keadaannya berumbai-rumbai. Ada yang warna-warni. Dia berangan-angan nak tinggalkan rumah itu. Dia tak tahan kena dera oleh adik-adiknya.
Maka dia memintal benang itu secara senyap-senyap. Semuanya disorokkan.
Perbuatan Kweiya yang  menyendiri itu menyebabkan ibu bapanya tanya. "Mana abang kamu?"
"Tak tahu!" itulah yang boleh budak dua beradik itu jawab.
Yang peliknya, hasil dari pintalan benang untuk buat tali itu, Si Kweiya telah mencipta semacam kepak. Dan kepak itulah kemudian digunakan untuk meniru-niru cara burung.
Dia melompat dan mengepak ke atas bumbung. Dari bumbung dia melompat ke pokok. Maka jadilah dia seekor burung.
Si ibu melihat anaknya sudah boleh terbang, maka dia pun nak ikut sama. Minta tali yang digunakan oleh si anak untuk terbang juga.
Ini pintalan tali ajaib. Lainlah kalau dia buat kepak betul-betul seperti buat kepak layang-layang burung misalnya.
Sudahnya Kweiya menyelinap jadi burung. Ibunya pun ikut sama kerana tak menyangka, Kweiya dibenci oleh dua beradik itu. Si ibu ingin mengikut jejak anaknya. Iaitu anak yang lahir hasil dari makan buah pandan yang ajaib. Itulah asal-usul burung cenderawasih mengikut cerita lisan orang Papua Barat.
Kini, setelah sampai ke tangan paranormal, dukun atau peminat benda mistik, ia sudah jadi cerita lain. Versi yang diperbaharui, bulu cenderawasih boleh taruh dalam botol, buat minyak pengasih. Yakin boleh jadi, tak yakin jangan.
Kebetulan ketika mengunjungi pasar karat di Petaling Street bulan Oktober 2012 lalu, saya terserempak seorang peniaga kaki lima. Dia kata dia ada bawa secarik bulu cenderawasih. "Banyak khasiatnya bang!" katanya kepada saya.
Lihatlah: perempuan tua, anjing betina, buah pandan, lahir budak anak pokok pandan [asalnya dari buah pandan, ia cucu pokok pandan], didera adik beradiknya, merajuk, memilin benang tanpa tujuan, akhirnya jadi kepak burung, boleh terbang, jadi burung. Itulah cenderawasih!
Biarlah orang Papua Barat itu dengan kepercayaannya. Itu cerita lisan. Buat apa nak percaya sangat. Tetapi yang menghairankan, bagaimana bulu burung cenderawasih itu begitu berkhasiat sekali? Fikirkan. []

SYIAH VERSI MELAYU, APAKAH TIDAK MUNGKIN?

Dalam tazkirah di masjid ada disebut tentang bahayanya Syiah di kalangan umat Melayu. Sayangnya, tidak ada perincian oleh ustaz berkenaan, bahaya dalam bentuk bagaimana? Tetapi antara yang disebut adalah kes minta cerai dari pasangan yang salah satunya penganut Syiah.
Kita tidak tahu orang Melayu yang mengikut ajaran Syiah itu belajar daripada siapa, dan apakah "mazhab" pegangan yang mereka katakan sebagai Syiah itu? Syiah ada berbagai versi, yang diamalkan oleh para Mullah di sana tentu tidak sama dengan Syiah di Pasaman, Sumatera Barat.
Syiah yang diamalkan oleh orang Melayu kita tidak diketahui, Syiah Zaidiyah, Imailiyah, Jaafariyah atau yang lainnya.
Sedangkan dalam bab ahlus sunnah wal jamaah [ASWJ] pun kita belum mengaji habis, tiba-tiba nak pakai "jubah" cara Mullah. Maka ia sudah menjadi versiri Syiah baru, Syiah Melayu.
Kata orang, kalau nak tahu bentuk ajaran Syiah yang sebenar, tidak cukup sekadar baca buku. Tak cukup sekadar baca pemikiran Ali Syariati, tidak cukup nak pelajari falsafahnya dengan menatap tulisan Suhrawardi, tak cukup dengan menatap buku Imam Khomeini, atau tokoh Syiah lainnya.
Sekadar mengkaji pemikiran tokoh Syiah belum membolehkan seseorang itu menjadi seorang penganut Syiah.
Bahkan sampai ke peringkat solat dengan membawa batu Karbala pun ia belum menjadi Syiah yang sempurna. Lagipun hakikat dirinya adalah berbasis kepada ahlus sunnah sebagaimana orang lain, hanya pada suatu tahap kecintaan mereka kepada ajaran Syiah begitu menebal sehingga akhirnya mereka mengakui sebagai orang Syiah.
Ada orang kata, untuk jadi Syiah, kita tidak ada akar umbi yang kuat. Syiah kemudian dianggap Syiah tempelan, atau Syiah versi Melayu yang terkini.
Ia mungkin tidak sama dengan Syiah yang ada di Bandung sana, atau Syiah di Pakistani, Syiah di Acheh, Syiah di Sulawesi.
Puncanya kerana mereka semuanya mempunyai teks dan "pendakwah"nya sendiri. Ilmu para pendakwah mereka tidaklah menyamai ilmu para Mullah.
Bagaimana mereka hendak berdakwah kepada umat yang belum kenal Syiah? Di mana mereka hendak perkenalkan ajaran Syiah?
Inilah yang kita tidak tahu. Kadang-kadang bukan tidak ada orang yang buat kesimpulan, mereka hanya menyukai Syiah dalam bab kahwin Mut'ah sahaja. Itu yang timbul isu cerai tadi.Dikatakan seorang isteri dari mereka yang cenderung kepada Syiah minta cerai kepada suaminya kerana tabiat suaminya yang menggemari "anal sexs" - - atau dalam bahasa kasarnya suka meliwat isteri.
Dan inilah salah satu kelemahan Syiah yang selalu disebut orang. Mereka seperti membenarkan sesiapa sahaja melakukan perbuatan ini. Tazkirah dalam bab "amalan" yang pelik di kalangan penganut Syiah ini seperti ada sesuatu yang tidak dapat didedahkan dengan tuntas. Mungkin kurang rujukan sumber, atau memang orang takut nak pegang buku Syiah -- bimbang dituduh sebagai penganut ajaran Syiah. Wallahu a'lam. []

LU CAKAP TAK SERUPA BIKIN - ASH-SHAFF

PAGI tadi ada tazkirah kecil di sebuah masjid di Jalan Gombak.
Apa yang diperkatakan oleh pentazkirah adalah isu biasa yang orang anggap tak ada apa-apa. Ia berkaitan dengan dialog yang sering kita ucapkan di mana-mana:
CAKAP TAK SERUPA BIKIN.
Perkara ini jika diperhatikan baik-baik menyebabkan seseorang jadi takut nak bercakap.
Pengajarannya, jangan bercakap tentang sesuatu yang kita sendiri tak mampu nak laksanakan.
Dalam bab ilmu umpamanya, janganlah kita bercakap tentang sesuatu yang kita tak pernah buat, atau kita sendiri malas melakukannya. Contoh dalam bab solat berjemaah. Kita suruh orang lain mengerjakan solat berjemaah di masjid atau surau, sedangkan yang menyuruh itu sendiri leka dengan urusan duniawinya, dan tetap solat sendirian.
Kita menyuruh orang lain jaga anak isteri jangan sampai masuk ke neraka.
Kita sendiri tak faham apa maksudnya. Anak tak tutup aurat pun kita biarkan. Isteri tak tutup aurat pun kita diam. Sudahnya nanti timbul fitnah.
"Hai anak ustaz sendiri pun tak tutup aurat bagaimana?"
Atau, "Nampak isteri ustaz bukan main bergaya shopping di Sogo petang semalam?"
Jadi dalam bab CAKAP TAK SERUPA BIKIN ini, ia bukanlah kata-kata kosong. Ia memberi kefahaman paling mudah untuk orang yang tak faham. Itulah bahasa paling mudah orang nak faham. Jangan gunaan bahawa akademik dan kiasan berbelit-belit.
Ustaz yang bagi tazkirah pagi tadi menyentuh tentang maksud dalam surah ash-Shaff [barisan, macam barisan dalam solat yang selalu imam ingatkan setiap kali nak mulakan solat berjemaah].
Dalam surah itu ada ayat yang berkaitan CAKAP TAK SERUPA BIKIN.
"Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tiada kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan." [ash-Shaaf: 2-3]
Justeru, kalau ketika tazkirah ustad menyebut kita kena kurangkan tengok televisyen yang tidak bermanfaat programnya, atau tidak tengok langsung. Tetiba anak dan isteri ustaz di rumah asyik menonton persembahan nyanyian artis hingga luput waktu solat.
Inilah yang bahawa dalam bab mengatakan sesuatu yang tidak dibuat. Di kalangan pendidik pun banyak begitu. Menyuruh orang suruh buat baik, sedangkan dia sendiri tak mampu nak buat baik.
Itu sebab ada orang kata, kalau guru kencing berdiri, maka murid akan kencing berlari.
Kata-kata ini mungkin timbul daripada perbuatan setengah kalangan guru yang suka kencing berdiri. Sekarang pun banyak tandas untuk kencing berdiri di mana-mana.
Perbuatan yang dikatakan menyerupai "cakap tak serupa bikin" ini selalu disebut ketika ceramah politik apabila menyatakan seseorang, walau tak sebut nama, orang sudah sedia maklum. Wallahu a'lam. []

Thursday 27 December 2012

MUHASABAH DIRI - DOSA-DOSA SEBESAR UHUD

ADA orang yang mengambil jalan mudah dalam perkara dosa. Ya, mana ada orang yang terhindar dari melakukan dosa? Jika tanpa dosa bagaimana kita hendak berdoa agar diri kita diampuni dari dosa? Dosa mesti ada dalam diri seseorang. Jika seorang hamba telah terhindar dari segala macam dosa besar, ia tetap ada dosa kecil yang tidak disedari.
Ada sebuah hadis yang menarik untuk disorot. Iaitu yang bermaksud:
"Demi dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya kalian tidak pernah berbuat dosa, nescaya Allah akan menggantikan kalian dengan mendatangkan satu kaum yang kemudian kaum tersebut berbuat dosa, kemudian mereka meminta ampun kepada Alah, dan Allah akan mengampuni mereka." [Hadis riwayat Muslim].
Bukanlah maksudnya lebih baik melakukan dosa daripada tidak melakukan langsung. Ia memberi gambaran akan kemurahan Allah kepada hamba-Nya, bahawa seseorang yang telah melakukan dosa itu, mereka boleh meminta ampunan kepada Allah. Allah akan mengampuni dosa mereka. Jadi, tidak perlulah meminta ampun kepada makhluk-Nya, kecuali dosa yang dilakukan sesama manusia, itu mereka kena jumpa dan minta maaf dengan cara yang baik.
Dalam bab dosa ini, tidak ada siapa tahu berapa banyak dosa yang telah ditanggung oleh seseorang. Memang orang menilai daripada kelakuan seseorang. Dosa sebanyak mana pun mereka tidak tahu. Selagi masih bernafas, dosa menggelayut di mana-mana, kerana iblis sudah berikrar mahu menyesatkan manusia dari segenap penjuru. Ini sudah diikrarkan dan Allah subhanahu wa Taala membenarkan sang iblis berbuat apa yang dia mahu.
Dalam bab dosa ini, tidak ada orang yang mencatatkan dalam diarinya, apakah dosa yang telah dilakukan pada hari itu. Umpamanya pada hari ini, dosa apakah yang telah aku lakukan? Tanyakan pada diri sendiri.
Oh, aku telah mengghibah seseorang yang aku kenali. Boleh jumpa dia minta maaf. Atau ghibah itu digantikan dengan pujian terhadap si fulan. Atau aku telah mengambil hak milik orang lain walaupun benda yang kecil dan dianggap tidak apa! Di tempat kerja umpamanya, kita suka mengambil sesuatu untuk dibawa balik. Akhirnya ia jadi simpanan di rumah. Tanyalah kepada diri, benda apakah itu? Bolehkah digantikan?
Selalunya kita anggap ringan sahaja. Tak ada apa. Bukannya curi, kita hanya ambil sahaja. Memang kita berprasangka begitu, tetapi di sisi Allah subhanahu wa Taala bagaimana? Kita melihat dari sudut tafsiran yang berbeza. Begitulah juga dengan suatu kaum yang wujud di bumi tanpa melakukan suatu dosa, maka mereka akan digantikan dengan kaum lain yang melakukan dosa dan kemudian mereka meminta keampunan kepada Allah subhanahu wa Taala.
Meminta ampunan ketika telah melakukan sebuah dosa adalah lebih bermakna daripada tidak ada dosa langsung. Manusia mana yang dapat menghindar diri dari dosa? Sedangkan dalam majlis ilmu yang dikatakan sebagai taman-taman syurga pun akan ada dosanya. Dosa riyak. Dosa ghibah. Memang ada ghibah yang dibenarkan dengan tujuan pengajaran, kena sebut contohnya supaya jadi jelas, tetapi berapa banyak yang tidak dapat mengawal nafsunya ketika berwacana?
Tentang dosa pula, orang hanya fokus kepada dosa membunuh, mencuri, menyamun, merompak, merogol, rasuah, riba, makan harta anak yatim, memutuskan silaturrahim, derhaka kepada ibu bapa, dan sebagainya.
Jarang di antara kita memikirkan tidak tutup aurat itu satu dosa. Sebab itulah, bilangan wanita yang menjadi penghuni kejiranan kita masih ramai yang tidak tutup aurat. Mereka masih menunggu hidayah. Lepas itu baru nak hijrah.
Kemudian setelah dedah aurat, sudah tentu kaum lelaki akan mendapat saham dosa kerana melihatnya baik dengan secara langsung atau tidak. Membuatkan orang terkata-kata tentang kelakuannya itu. Ya, dosa mata, dosa syahwat, semuanya diumbar-umbar. Ada yang tutup rambut tetapi mempamerkan bentuk tubuh yang aduhai. Sepatu yang berfesyen penuh gaya.
Tutup rambut tetapi masih suka mendengar muzik dan nyanyian. Masih bergoyang-goyang mengikut rentak muzik. Sedangkan inilah bahana yang kita abaikan. Puncanya? Sejak kecil dahulu kita sudah didedahkan kepada muzik dan nyanyian. Tidak ada seorang cikgu pun tegur kita bahawa dengar muzik dan nyanyian itu tak boleh atau diharamkam.
Lantaran itu, sejak dulu sampai sekarang, kefahaman terhadap isu ini masih belum jelas. Orang anggap dibolehkan. Sebenarnya, kita terlalu berhati-hati untuk bercakap tentang sesuatu. Kita terlalu menekankan unsur-unsur Islam sahaja, sedangkan apa itu unsur Islam pun kita tidak faham. Mana yang ditegah dan mana yang disuruh pun kita masih tidak faham. Atau kita tidak mahu menyinggung mana-mana pihak. Dan kita mengatakan mubah kepada perkara yang tidak baik itu. Wallahu a'lam. []

MENCARI KISAH YANG HEBAT: TAK JUMPA LAGI

CARILAH apa kisah legenda atau mistik yang menarik di negara kita?
Jawabnya, memang tidak ada. Kenapa boleh jadi begitu?
Di tempat lain, maksudnya di negara lain, kisah yang berbau mistik ini dinaungi oleh pihak istana, ada adat istiadat yang dilakukan setiap tahun. Ia disertai kalangan rakyat yang percaya atau tidak percaya kepada sesuatu itu.
Yang menjadi pertanyaan, kenapa di Malaysia tidak ada upacara seperti itu? Maksudnya upacara seperti memperingati seseorang tokoh masa lampau yang tidak wujud seperti Puteri Laut Selatan itu. Dan yang menyamai statusnya di negara kita adalah Puteri Gunung Ledang.
Bezanya dengan kita, meskipun kita memiliki garis yang bersambungan kepada "tradisi" Majapahit [baca Jawa], meski ada watak Parameswara yang dikatakan berasal dari Palembang, dia seorang penganut Hindu versi Jawa, tetapi di bumi Melaka, semuanya telah dicuci bersih. Tidak ada keyakinan yang dibawa dari masa silam, dari Majapahit atau dari Palembang.
Kenapa penyusun cerita SEJARAH MELAYU begitu bersungguh-sungguh memasukkan episod meminang Puteri Gunung Ledang?
Adakah memang ada makhluk bernama Puteri Gunung Ledang? Atau penyusun cerita itu sendiri tidak tahu siapa sebenarnya nama Puteri Gunung Ledang itu?
Perlu dicatat, nama Puteri Gunung Ledang yang begitu masyhur, hinggakan ada filem tentangnya dikeluarkan dengan kos yang berjuta-juta, tetapi impak terhadap kehadiran Puteri Gunung Ledang seperti tidak dipedulikan orang.
Masyarakat Malaysia tidak peduli kepada Puteri Gunung Ledang.
Kenapa terjadi demikian?
Sebenarnya kita telah berjaya memutuskan hubungan masa silam dengan masa kini. Kita telah berjaya membuang segala keyakinan dan kepercayaan yang berlebihan yang tidak sesuai dengan pegangan agama yang kita anuti.
Tidak mungkin sebagai orang yang menjaga agama mahu berwacana tentang makhluk yang tidak tentu wujudnya atau tidak. Ia hanya rekaan pujangga masa silam. Dalam kes ini penulis SEJARAH MELAYU adalah pujangga istana. Dia diminta menulis cerita bersejarah, terpulang hendak menulis dalam bentuk bagaimana. Pihak istana sendiri tidak tahu menulis. Maka kerja menulis itu diserahkan kepada seseorang yang tahu menyulam cerita.
Jadi dalam cerita SEJARAH MELAYU dimasukkan segala elemen yang bertentangan dengan minda kita. Ia benar-benar mencarik adat.
Elemen yang tak patut dimasukkan di dalam catatan sejarah itu adalah kisah meminang puteri dari makhluk halus itu. Tidak ada kajian terperinci mengenai kedudukan puteri itu, apakah ia wujud atau hanya rekaan sahaja.
Memang, dalam dunia kemistikan, ramai yang bercakap tentang Gunung Ledang. Ramai yang mendakwa telah bertemu dengan puteri tersebut. Ramai yang mendapat benda-benda bertuah dari tempat "pertapaan" yang entah bagaimana ia dilakoni.
Hakikat sebenarnya, Puteri Gunung Ledang bukanlah watak yang hebat. Dia adalah watak perempuan yang pemalu. Pasif. Tidak siapa tahu siapa namanya. Gelaran yang diberi hanyalah Puteri Gunung Ledang kerana dia bertakhta di gunung itu. Di situ kemungkinan ada sebuah kerajaan lelembut sebagaimana di Jawa, di mana setiap gunung ada kerajaannya sendiri. Kerajaan lelembut dengan berbagai nama gelaran, dan anehnya, ada paranormal boleh mengetahui siapa nama wong alus itu. Nama penunggu, nama penguasa dan boleh tahu sejarahnya secara terperinci atau sedikit catatan yang berkaitan dengannya. Inilah yang dikatakan hebat.
Sebaliknya di Malaysia, Puteri Gunung Ledang itu masih samar.
Ia hanya rekaan pujangga masa silam ketika diminta membuat catatan yang dinamakan SEJARAH MELAYU.
Maka ketika dia menulis, dia mungkin telah meniru catatan orang lain. Maka dimasukkanlah bab mitos, tentang asal-usul seorang manusia mengikut acuan yang tidak selayaknya. Ini termasuklah mengaitkan kehebatan tokoh tertentu kepada salasilah keturunan yang tidak masuk akal.
Jelas, Iskandar Zulkarnain yang dikaitkan dalam SEJARAH MELAYU bukanlah Zulkarnain yang orang fahami berdasarkan tafsir surah al-Kahfi itu. Mahu dikatakan dia adalah Alexander the Great pun bukan.
Membina jambatan kehebatan seorang tokoh untuk sesebuah cerita bukanlah perkara mudah.
Sejarah yang dicatat oleh pujangga itu bukan mengikut kronologi seperti pensejarahan moden. Mereka mencatat dan merunut sejarah menurut acuan mereka sahaja, asalkan apa yang dicatat itu akan menggembirakan tuannya. Siapa tuannya itu? Dialah yang menyuruh sang pujangga menuliskan SEJARAH MELAYU. Dan jangan lupa masukkan sekali kisah Puteri Gunung Ledang.
Kenapa begitu?
Agar di tempat kita juga ada makhluk halus perempuan yang ternama, setanding dengan Ratu Kidul itu. Kalau kita semak, hanya pada tahun bila SEJARAH MELAYU ditulis oleh pujangganya? Sedangkan sejarah kerajaan Mataram sudah diketahui, cerita Senopati membuka kerajaan dapat bantuan makhluk halus juga sudah diketahui. Apakah orang-orang Jawa yang hijrah ke Melaka tidak bersembang tentang Ratu Kidul di bumi Melaka?
Dan kebetulan sang pujangga turut mendengar ocehan anak-anak Jawa di tepi Sungai Melaka. Mereka bercerita tentang Ratu Kidul di Laut Selatan.
Kalau begitu apa kata kita buat cerita yang serupa. Hanya sayangnya, pihak istana Melaka langsung tidak peduli dengan Puteri Gunung Ledang.
Tidak ada acara membawa sajian berupa makanan kepada makhluk halus di Gunung Ledang itu. Yang ada adalah perbuatan orang tertentu yang membuang ancak untuk sesuatu tujuan. Atau ada orang menyembelih haiwan bagi tujuan memuaskan hati golongan jin dan syaitan.
Kita tidak perlu berdukacita kalau Puteri Gunung Ledang tidak mahu beraksi dan bereaksi seperti Ratu Kidul. Tradisi kita berbeza. Kita seperti membuang segala kekotoran kepercayaan dan keyakinan yang tidak berfaedah itu. Itu kepercayaan kaum pagan. Tidak usah ditiru. Biarkan Yogyakarta dan Surakarta mengadakan pesta tahunan untuk Sang Ratu. Biarkan mereka buat persembahan kepala haiwan untuk Sang Ratu di Parangkusuma dan Paranggupita.
Biarkan mereka mempercayai bahawa pada waktu bulan purnama datanglah Sang Ratu ke istana untuk berwacana dengan tokoh istana. Bahkan lebih jauh dari itu boleh berasmaradana hingga lewat pagi sebelum Sang Puteri berangkat pulang masuk ke dalam laut semula.
Memang suka bagi kita hendak memahami dunia Sang Ratu di Jawa kerana kita melihat dari jauh. Kita tidak mendalami apa hakikat Kejawen itu. Kalau setakat pembacaan teks pun belum dikira telah memasuki dunianya. Kita hanya mendapat maklumat sahaja.
Memang Kejawen itu dipengaruhi oleh Hinduisme dan islam. Dalam kehidupan Kejawenan mereka percaya bahawa kehidupan ini ada beberapa tahap: tahap kadewan, alam Nabi, alam wali, alam manusia dan alam adil. Di mana Sang Ratu hendak diletakkan di dalam tahapan itu?
Berbalik kepada cerita Melaka, meskipun ada watak yang menyamai Sang Ratu, Puteri Gunung Ledang langsung tidak menyerlah. Namanya telah dilupakan orang meskipun Tiara Jacqeulina cuba mengangkat ke tingkat yang tinggi. Tidak cukup dengan filem dia mementaskan pula cerita itu. Namun tetap tenggelam juga.
Puncanya, kita bukan golongan yang mengutamakan legenda dan mitos. Kita mahu berpijak di bumi nyata. Bukan tidak ada orang yang fanatik terhadap nama Puteri Gunung Ledang. Bahkan mereka boleh beritahu siapa nama puteri itu yang sebenar.
Bahkan siapa yang rajin temubual pak dukun, paranormal, pawang dan siapa sahaja yang menggemari keilmuan hikmah, mereka kerap menuturkan tokoh Puteri Gunung Ledang ini. Ada yang kata selalu jumpa puteri itu. Pernah jumpa puteri di kawasan perkelahan, atas gunung ketika berkhemah atau ketika bertapa.
Apa pun cerita itu tidak ada pembuktian.
Jadi, kalau kita hendak cari tokoh halimunan seperti Sang Ratu Kidul memang tidak jumpa. Bukan tidak ada orang yang bercakap bahawa selain Puteri Gunung itu ada puteri lain bernama Cik Siti Wang Kembang. Dia boleh diseru dan sedia datang jika sesuai dengan hajatnya.
Tidak hairan suatu ketika dulu, seorang Raden ketika "bertapa" di dalam perigi buruk di Gunung Tebu, Terengganu, dia telah dihadiahi sebuntil wang kertas bercap "Cik Siti Wan Kembang" - sayangnya wang itu hanya dijadikan benda mistik dan tidak boleh dibelanjakan untuk beli apa pun!
Nah, kalau kita nak cari tokoh hebat macam Ratu Kidul di Malaysia memang tidak ada. Jadi janganlah cuba-cuba nak bawa Ratu Kidul ke Kuala Lumpur, takut nanti ada yang bilang, "Wah, sudahlah tarian pendet Bali dicuri, tarian Reog Ponorogo dicuri, lagu Rasa Sayang pun dicuri, kini Ratu Kidul pun mahu dicuri?..." []

Friday 21 December 2012

SEKADAR CATATAN: ANTARA SYIAH DAN WAHABIYAH

KETIKA memuncak Revolusi Islam Iran, dalam tahun 70-an, orang tidak memikirkan sangat apakah ajaran Syiah yang sebenarnya. Yang orang lihat dari luar adalah kemampuan rakyat Iran bangkit bagi menumbangkan sistem monarki yang dianggap kebal, unggul dan akan menguasai Iran selagi keturunan mereka masih ada. Kini legasi Shah Iran sudah dilupakan orang, dan bukan tak ada percubaan dari kerabat yang berada di Eropah ingin kembali ke Iran untuk merebut haknya. Akan tetapi percubaan apa pun menjadi sia-sia. Orang tertarik dengan Revolusi Iran kerana ia pewatak penting dalam drama pertelingkahan antara kuasa kecil dengan kuasa besar - Iran dan Amerika Syarikat. Ketika itu orang tidak peduli dengan percaturan politik yang ada ketika itu. Bahkan masyarakat luar tidak ambil peduli pun tentang apa ajaran Syiah yang sebenarnya.
Nama Iran masih bermain di pentas dunia. Selepas berjaya menumbangkan sistem monarki timbul pula soal pertelingkahan di antara dua negara berjiran - Iran dan Iraq. Berlakulah perang yang di antara keduanya dengan masing-masing kuasa besar berada di belakangnya. Perang kedua negara ini tidak dipandang sebagai suatu strategi masa depan ketika itu. Strategi yang sebenar, Iran selaku negara Syiah, ingin mendapatkan tanah Karbala dan makam-makam penting yang mereka muliakan. Makam itu jadi penting kepada penganut Syiah di Iran kerana dengan mengunjungi makam mereka mendapat pahala ganjaran yang lumayan, apalagi kalau dapat tidur di kawasan makam itu semalaman. Ganjaran yang disebut di dalam kitab rujukan mereka memang lumayan sungguh. Ia tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadis pegangan Ahlu Sunnah Wal Jamaah [ASWJ].
Apabila perang sudah didamaikan, timbul perang lagi apabila Iraq menceroboh Kuwait. Percubaan oleh Saddam Hussein ini dikira suatu tindakan berani. Akhirnya, pasukan Iraq dipaksa keluar dari bumi Kuwait dengan bantuan negara perkasa dalam tentera. Ketika itu orang asyik bicara tentang peluru berpandu Scud milik Iraq. Selesai masalah Kuwait, pihak Amerika yang licik itu berjaya mencipta alasan baru pula apabila adanya pewatak baru di pentas dunia - watak pengganas yang dilabelkan kepada umat Islam, seluruh dunia mengatakan Islam itu ganas. Al-Qaeda dijadikan sasaran. Hari-hari berita tentang Usama bin Laden. Ketika tentera asing masuk ke bumi Iraq, ia bagai permainan yang sengaja direncana oleh pihak Iran. Iran yang Syiah amat mengalu-alukan rejim Saddam digulingkan. Dengan bantuan tentera asing akhirnya Saddam dimalukan di tanah airnya sendiri. Ramai orang bersorak kerana rejim Saddam telah tumbang, dan dia menjadi buruan. Paling menyedihkan, dia dihukum gantung dalam keadaan yang menghinakan sekali.
Dan penting dalam pergulatan kuasa besar di bumi Iraq, ia bukan soal peralihan kuasa semata, tetapi cita-cita besar Iran untuk mendapatkan Karbala tempat suci bagi ziarah orang-orang Syiah sudah terbuka luas. Kelompok yang dikuasai Syiah telah berkuasa di Iraq, jalannya terbuka lebar. Inilah matlamat jangka panjang Syiah yang sebenar.
Saya tertarik dengan pengakuan Kang Jalal [Jalaluddin Rahmat, tokoh penting Ikatan Jamaah Ahlul Bait Indonesia - IJABI] dalam temubual dengan agensi berita Vivanews, Forum, tidak lama dulu. Dia mengakui bahawa pada masa ini 90% umat Islam di seluruh dunia adalah Sunni, manakala Syiah hanya 10% sahaja. Syiah katanya berpandukan kepada ajaran Nabi Muhammad s.a.w. dan ahlul bait atau keluarga Nabi s.a.w., iaitu Ali bin Abi Thalib sepupu/menantu Nabi s.a.w. Fatimah az-Zahra anak Nabi s.a.w. dari isteri pertama Khadijah. Hassan dan Hussein bin Ali adalah dua cucu Nabi s.a.w. dari pasangan Ali dan Fatimah.
Meskipun pada tahap awal masyarakat Nusantara tidak kenal apa itu Syiah, peliknya bak kata Pak Said Aqil Siradj, Ketua Umum Pengurus Besar Nahdatul Ulama mengatakan, tradisi ziarah kuburan, upacara tahlilan semua adalah tradisi Syiah yang awal diamalkan oleh umat Islam atau mungkin Kejawen di Nusantara.
Dikatakan bahawa sejak zaman Abbasiyah lagi Syiah sudah ada di bumi Nusantara. Pertama kali bertapak di Acheh, pada zaman ar-Raniri, ulama Acheh yang menjadi penasihat kepada Sultan Iskandar Tsani adalah Sunni. Walaupun Syiah sebenarnya sudah ada di Acheh, mereka hadir tetapi bersembunyi. Atau mereka bertakiyah?
Menurut Kang Jalal, ada tiga gelombang bagi mengindikasikan kehadiran Syiah di Indonesia.

Gelombang pertama:
Syiah dipelihara di kalangan habib [keturunan Nabi s.a.w.] dari keluarga al-Mukhdor, kemudian yang lainnya para habib banyak yang bergabung dengan Sunni. Kamus Al-Munjid yang menjadi rujukan pelajar di mana sahaja, menyebut penduduk Hadramaut bermazhab Syafie, padahal kata Kang Jalal mereka adalah Syiah. Mereka masuk ke Nusantara untuk sebarkan Islam. Peliknya para habib ini kemudian seperti lupa, bahkan mereka "menyerang" Syiah pula.

Gelombang kedua:
Setelah berlaku Revolusi Iran. Seperti yang saya sebut di awal tulisan tadi. Dengan pembiayaan dari "negara baru" Iran, Syiah menyebar ke segenap pelusuk. Di Indonesia dan Malaysia kalangan inteletualnya, terutama di universiti dan pusat pengajian tinggi lainnya, mereka tertarik dengan pemikiran Syiah, pemikiran revolusioner Iran. Ketika itu semua orang mahu membaca dan menelaah pemikiran Ali Syariati, sosiolog Iran yang terkenal di bidang sosiologi agama. Kelompok yang tertarik kepada pemikiran beliau, iaitu pemikiran Syiah itu tidak memikirkan apa aqidah Syiah, yang mereka tertarik adalah pemikirannya, ketika itu semua orang sibuk ingin membicarakan pemikiran Suhrawardi, dan cerdik pandai Iran yang berpusat di Qom. Ketika itu majalah yang menyiarkan kisah revolusi, pemikiran tokoh-tokoh mereka mendapat perhatian masyarakat. Saya juga tertarik dengan Jurnal Al-Hikmah, sebuah jurnal yang memuatkan bahan-bahan kajian ilmiah termasuk memuatkan pemikiran tokoh-tokoh Syiah, termasuk catatan Kang Jalal dan kawan-kawannya sekali. Sampai pada tahap ini, kecenderungan anak muda dan inteletual kita memiliki buku-buku tentang Syiah hanya fokus pada pemikirannya. Hanya pada kemudiannya sahaja, ajaran tentang keyakinan Syiah itu dijabarkan kepada peminatnya. Maknanya ia berlangsung secara berperingkat, tidak terus menjadi.

Gelombang ketiga:
Masih dari para habib juga yang belajar sebelum revolusi. Jika pada gelombang kedua orang tertarik kepada pemikiran Syiah, akan tetapi pada gelomban ketiga ini mereka mulai ingin tahu bentuk fiqih Syiah. Sejak mereka mempelajari dan memperdalami fiqh Syiah, barulah timbul apa yang dinamakan sebagai konflik antara Sunni dan Syiah. Sekadar bab pemikiran dan pandangan sosiologi masih boleh diterima kerana ia hanya tugasan akademik, tetapi apabila sudah menyentuh bab fiqh, maka terjadi pertembungan di antara dua regu Syiah - Sunni. Bukan tidak ada usaha untuk mendamaikan regu ini seperti umpamanya dengan kelahiran Dialog Sunnah Syiah [terj.Al-Muraja'at yang disusun oleh A.Syarifuddin al-Musawi, Mizan Bandung: cet. pertama 1983]

Menurut Kang Jalal, penganut Syiah di Indonesia ada kira-kira 500 ribu orang [ jika dibanci semua sekali ada yang mengatakan 2.5 juta lebih bahkan mencecah 5 juta umat]. Kenapa? Syiah masih suka bersembunyi. Tidak mahu tunjuk muka. Ramai yang jadi ustaz memberikan kuliah di sana-sini. Yang kenal siapa Syiah adalah orang-orang Syiah sendiri.
Bagaimana di Malaysia? Dari pengalaman saya yang pernah menyunting buku-buku susunan seorang ahli akademik dari Universiti Malaya ketika bertugas dengan Pustaka Ilmu Raya, Kuala Lumpur, tahun 80-an. Idea-idea tentang Syiah tidaklah menarik perhatian saya. Lagipun tugas hanya buat penyuntingan teks bukan pembetulan fakta. Memang syarikat ini banyak menerbitkan buku-buku yang "cenderung" kepada Syiah tanpa ambil pusing pun tentang bagaimana Syiah beramal dalam keseharian hidup mereka.
Ketika zaman Revolusi Iran sedang memuncak, saya sekali lagi bersahabat dengan seorang habib yang memang "gila habis" dengan risalah Al-Quds. Setiap hari Jumaat dia sebarkan risalah di masjid Negara atau Masjid Jamek LRT Kuala Lumpur. Habib ini orang Johor.
Dan dia kalau solat dekat saya, dia letakkan sebutir batu yang saya sudah agak tentunya batu Karbala! Saya tidak ambil pusing pun. Dan ketika itu habib ini meminta saya ikut menyemak dan menyunting bahan yang dibekalkan dari kedutaan Iran, terjemah dan paparkan dalam tabloid yang kami kendalikan. Dengan bertindak begini, apakah saya jadi Syiah? Jauh sekali tidak. Sama seperti orang yang cenderung kepada pemikiran Ali Syariati atau Khomeini para peringkat awalnya dulu.
Kini, khabarnya keyakinan dari ajaran Syiah semakin melebar. Sudah ada kelompok umat Melayu Syiah di negara kita. Hanya lokas tepatnya tidak ada data. Di Indonesia kata Kang Jalal mereka banyak di Bandung, Makassar dan Jakarta. Di Malaysia tentunya di pusat-pusat bandar yang ada tempat pengajian. Di Indonesia mereka ada yang berpegang kepada Syiah Itsna Asyariyah [12 Imam keyakinan mereka]. Imam mereka bermula dari Ali bin Abi Thalib dan terakhirnya Imam Mahdi al-Muntazar yang mereka yakini akan muncul nanti untuk menegakkan keadilan sebelum kiamat.
Jadi, ada yang menganut ajaran Syiah Ismailiyah, terutama yang tinggal di Bali, Sulawesi terutama dari mereka yang berketurunan India dan Pakistan. Ismailiyah imamnya tidak terbatas kepada 12, malah lebih lagi. Syiah dapat berkembang kerana mereka sudah dididik agar tidak melawan pihak lain. Tidak bertindak balas, kecuali kalau mereka disakiti atau diserang secara keterlaluan. Tidak ada kes Syiah menyerang Sunni kata Kang Jalal. Sebaliknya Sunni pula yang buat provokasi menyerang perkampungan Syiah. Sedangkan Syiah yang dianut mereka bagaimana tidak ketahuan lagi. Atau hanya nama sahaja yang Syiah, kalau ditanya lebih dalam mereka tidak tahu apa.
Barangkali kita tidak perlu menyelidik lebih jauh tentang pegangan ajaran Syiah mereka. Kenapa? Syiah adalah ajaran baru. Selama ini mereka semua adalah berpegang kepada Sunni. Apabila datang ajaran Syiah, mereka belajar hanya aspek luaran. Kebetulan kalau di Jawa sana, ajaran Syiah lebih mengutamakan ziarah makam wali, maka itu bukan barang baru. Ia sudah sebati sekian lama, tak payah disuruh-suruh. Begitu juga acara-acara lain.
Kalau menurut kebenaran untuk berpegang kepada ajaran Syiah ini, pihak Majlis Fatwa Kebangsaan [fatwa 1996] kita pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ada dua ajaran Syiah yang dbenarkan di Malaysia iaitu, Syiah al-Zaidiyah dan Syiah al-Jaafariyah. Hanya, bagaimana bentuk ajaran dan pegangannya tidak diketahui sangat oleh masyarakat kita.
Bukan tidak ada pengelompokan tertentu yang dikatakan penganut Syiah atau bukan. Kalau mereka menulis novel atau kritikan, mereka akan dikatakan berkarya menurut pandangan Syiahnya. Bagi Syiah yang tidak dilahirkan sebagai Syiah, tetapi memakai baju Syiah kerana seronok dan asyik dengan karya-karya mereka, ia belum layak dipanggil orang Syiah. Jadi, siapa yang mengaku dia Syiah sepenuhnya? Kecuali yang sejak lahir memang itu yang diajar oleh ibubapanya secara Syiah, maka ia akan membesar sebagai orang Syiah.
Sama seperti orang menuduh seseorang itu sebagai Wahabi atau bukan. Hanya kerana suka merujuk kitab karangan Ibnu Taimiyah, Ibnul Qayyim, Syeikh Abdul Aziz Baz, Nasaruddin al-Albani, Syeikh Saleh Uthaimin dan Syeikh Saleh Fauzan al-Fauzan, mereka bukanlah Wahabi.
Dan sejak akhir-akhir ini umat Melayu seperti diingatkan betapa bahayanya dua kelompok ini, Syiah dan kelompok Wahabi.Isu Wahabi ini telah menjadi medan konflik dalam bahasan ilmu, masing-masing melontarkan pendapat dan pandangan menurut yang mereka temui dalam kajian teks rujukan utama. Disebabkan gelanggang bahasan ini terbuka, semua pihak ingin membelek kitab-kitab itu guna memantapkan lagi wacana yang hendak dipaparkan bagi menjawab atau mengulas sesuatu isu.
Sudahnya, apa yang orang kata sebagai perpecahan di kalangan umat itu hanya berpunca dari pandangan yang berbeza itu sahaja. Atau hanya kerana memilih kelompok dalam kepartaian tertentu. Apakah ini kita namakan sebagai perpecahan di kalangan umat? Apa pun ini sekadar catatan penulis sahaja. Wallahu a'lam. []

Sunday 16 December 2012

ORANG BAGAIMANA LAYAK MENGUSIR SYAITAN?

Berkatalah Ibnul Qayyim al-Jauziyah, nak mengubat orang dirasuk jin atau makhluk halus bukan kerja senang. Bukan semua orang boleh nak ubatnya, kerana orang itu kena berinteraksi dengan syaitan yang terkutuk lagi jahat. Kalau orang tak ada semangat melawan, tak hebat, tidak digeruni oleh syaitan, maka dia tidak mampu melakukannya. Oleh kerana jahatnya makhluk itu, Allah memerintahkan kita berlindung darinya, Nabi sallahu 'alaihi wassalam juga berlindung darinya dan memerintahkan kita buat begitu.
Nak mengusir makhluk jahat ini macam kita pergi berperang. Nak perang kena ada senjata. Kalau tak ada senjata tidak bolehlah kita hendak melawannya.
Nabi sallahu 'alaihi wassalam hanya berkata: "Keluarlah hai musuh Allah, aku Rasulullah!"
[Zad al-Ma'ad, 4/67]
Dan kalau seseorang itu hendak mengikut cara itu, cukupkah dengan menyebut: "Keluarlah hey musuh Allah, aku Pak Kelambit," misalnya. Syaitan pun agaknya tidak ambil peduli, gerun pun tidak, kerana tidak ada persiapan dalam diri mu'alij [orang yang nak mengusir syaitan ini].
Kata Ibnul Qayyim, seseorang yang nak mengubati orang kena rasuk, dengan maksud nak menghalau syaitan dari tubuh seseorang sehingga orang itu dirasuki, maka ada syaratnya, bukan asal dia orang panggil bomoh, dukun atau pawang.
  1. Hendaklah orang itu merealisasikan tauhid kepada Allah. Tidak boleh melakukan perang terhadap syaitan itu kalau dia melakukan kesyirikan [ berdoa kepada selain daripada Allah, buat sembelihan untuk makhluk dan perbuatan lainnya]. Dia hendaklah faham aqidah ahlussunnah yang benar sehingga syaitan tidak meragui aqidahnya pula.
  2. Orang yang meruqyah itu meyakini bahawa kesembuhan ada di tangan Allah, dengan Daya dan Kekuatan-Nya, bahkan ada yang telah melakukan berkali-kali tetapi Allah belum mengizinkan kesembuhannya.
  3. Agar tawajuh orang yang meruqyah dan yang diruqyah itu kepada Allah semata-mata, dengan penuh ketundukan, dan merendah serta doa yang murni kepada-Nya agar Dia mengangkat ujian tersebut, menghilangkan gundah, susah dan sedih, serta memberi kesembuhan. Bahawa manfaat dan mudarat hanyalah di Tangan Allah [baca Yunus: 107].
  4. Orang yang meruqyah itu adalah dari ahlus sunnah, penampilannya sebagai ahlus sunnah, memelihara solat jemaah, memelihara ibadah yang lain seperti puasa, solat malam, zakat mal, sedekah, haji dan umrah bagi yang mampu melakukannya.
  5. Yang meruqyah itu kena membentengi dirinya dengan melakukan dzikir-dzikir yang ma'tsur yang sahih, baca al-Quran, banyak istighfar, tasbih, tahmid, takbir, dan tahlil.
  6. Agar orang yang meruqyah itu menjauhi dosa dan maksiat, bid'ah, dan perbuatan mungkar. Tidak bergaul dengan orang fasiq, tidak bepergian ke lokasi yang menimbulkan fitnah, dan sebagainya.
  7. Agar yang melakukan ruqyah itu gigih melakukan solat nafilah, dan itu termasuk yang menguatkan hati dan badannya dan membantu menundukkan pandangannya.
  8. Menjauhi  dusta, curang dan ucapan batil, agar syaitan tidak mempermainkan dirinya ketika meruqyah nanti.
  9. Berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk makan yang halal, mengelak perkara yang menmbulkan syuhbat.
  10. Ikhlas niat kepada Allah subhanahu wa Taala semata, melakukannya dengan ikhlas demi mengharapkan Wajah Allah.
Amanah - iaitu menjaga rahsia pesakit yang diruqyahnya.
Berdasarkan poin-poin yang dinyatakan di atas, bagaimana pula kalau seseorang itu boleh mengajak bomoh atau dukun yang sebarangan, tidak diketahui latar belakangnya, bahkan ada yang mengundang seumpama Tuk Batin, Tuk Sami atau Tuk Dukun untuk melakukan tugas memerangi syaitan. Ia bukanlah ruqyah lagi namanya. Bukan tidak ada, orang mendatangi dukun atau pawang untuk mengubati orang terkena sihir, sedangkan pengubat itu sendiri mengamalkan sihir juga. Jadi, dalam bab ini, nampaknya sihir digunakan untuk melawan sihir. Akhirnya, ia akan jadi seperti drama bersiri. Itu yang orang selalu kata, "Kami dah berubat dengan macam-macam bomoh tapi tak jadi juga." Jangan fikir jadi pengubat itu mudah. Serba-serbi nak kena jaga, amalan, budi pekerti, pergaulan, kesehariannya dan mengelak syubhat. Inilah senjata yang berguna untuk memerangi syaitan, bukan pistol, keris, atau panah beracun.
Wallahu a'lam. []

MISTIK MAKHLUK HALUS ADA-ADA SAHAJA!

Cerita mengenai makhluk halus ini memang mengasyikkan. Betapa tidak ia adalah cerita yang tidak akan habisnya, meskipun cerita mistik begini kalau nak ibaratkan air yang melekat pada jari yang kita celup pada lautan, maka cerita ini tak sampai sekuku pun!
Daripada berbagai versi penceritaan yang merakyat, maka ada beberapa kesimpulan bagaimana makhluk halus ini berkembang biak.
  • Makhluk ini ada lelaki dan perempuan, ada dalilnya, maka mereka pun berkembang biak hasil daripada perkahwinan di antara mereka, dalam adat istiadat, dan mengikut cara mereka. Kita tidak mengetahui bagaimana.
  • Ada cerita yang menyebut bahawa makhluk yang baik mereka berkahwin menurut yang disyariatkan, sedangkan yang kafir maksudnya, mereka berbuat sesuka hati mereka termasuk bersekedudukan, berkhalwat sepanjang masa, berzina dan saling memperkosa, maka lahirlah anak-anak mereka yang berkembang biak, tetapi tidak ada yang dicampak dalam tong sampah, dalam jamban atau di belakang hospital seperti yang dilakukan manusia biasa.
  • Ada cerita mengatakan makhluk jenis peri atau pari-pari itu berkembang biak hasil suka mengendap orang melakukan maksiat [baca zina] terutama di kawasan hutan, tepi air terjun, tasik, tepi laut dan sebagainya. Makhluk ini menunggu masa untuk menjilat segala peninggalan yang dilakukan oleh dua insan bercinta tadi [ini seperti kes Marhum Mangkat Dijulang, di mana Cik Apong memakannya sehingga dia bunting, tetapi adegan ini ada kaitan dengan hubungan terlarang manusia dengan jin perempuan].
  • Ada cerita mengatakan makhluk puntianak [versi Palembang] hidup berkelompok sesama mereka, dan mereka juga berkembang biak menurut caranya yang tidak diketahui manusia.
Ada sebuah pulau pula menurut orang yang pernah gunakan ilmu bagi menarik tabir mistik di situ, mereka bergantung kepada bau wangi-wangian untuk membiak.
Nama pun mistik, ia suatu paparan yang mungkin benar dan mungkin tidak. Apa pun orang memang suka kepada cerita yang berbentuk begini sebagai pelerai minda. Wallahu a'lam. []

WUJUD ATAU TIDAK ORANG KENIT?

Cerita Awang Kenit sudah jadi bahan bacaan kanak-kanak sejak masa silam lagi.
Dinamakan Awang Kenit atau nama lain pun boleh. Si Tenit, Si Kenit atau Kenit pun boleh.
Konon budak kenit ini hanya sebesar ibu jari kita.
Cuba tengok ibu jari kita tu, besar mana? Sebesar itulah budak kenit itu.
Bayangkan, tinggi setakat 1 inci. Kecik sungguh. Boleh letak atas tapak tangan, boleh masukkan dalam poket jalan-jalan ke Chow Kit, tengok wayang tak payah bayar tiket tambahan, naik kapal terbang pun boleh, naik monorail, bas rapid pun tak payah tiket, hanya duduk dalam genggaman atau dalam poket.
Dek kerana istimewa, ada orang berangan-angan nak jadi budak kenit.
Jadi, ikut cerita dulu, Si Kenit telah dapat mengalahkan gergasi yang besar dan hebat.
Ia semacam sindiran, bahawa golongan yang di bawah [rakyat biasa] kalau ada akal dia boleh kalahkan pihak atas yang sangat berkuasa dan zalim.
Dalam konteks ini gergasi itu zalim sebab setiap hari melahap makanan yang ada di rumah Si Kenit. Kenit makan sedikit, gergasi makan satu kawah misalnya.
Kerana marah sangat kepada gergasi yang digeruni oleh seluruh penghuni kampung termasuk ibunya sendiri, maka Kenit bertekad hendak kalahkan gergasi.
"Hek...eleh, kamu kecik macam ibu jari aku nak kalahkan gergasi?" kata jirannya sambil menjeling kepada ibu Kenit.
"Siapa kata tak boleh? Nyamuk pun kecik boleh masuk telinga, mati dibuatnya?" kata Kenit.
Maka emak Kenit pun membisikkan sesuatu kepada anaknya. "Jangan bimbang, emak ada idea. Emak baru tengok dalam FB ada maklumat bagaimana nak kalahkan gergasi tuh!"
"Apa dia mak?"
"Ada nampak jarum tak?"
"Ntah, mak letak mana?"
"Dalam bekas benang jahit tak ada ke?"
"Carilah..." maka setelah ditemui, maka kata emak Kenit, bawalah jarum sebatang itu tatkala hendak bertarung dengan gergasi.
"Kalau gergasi bawak besi runcing bagaimana mak?" tanya Kenit.
"Hisss, apa susahnya, kamu tu kan Kenit? Kamu panjat badan dia, masuk dalam telinga dia pun boleh, kalau dia nak ngap kamu pun tak apa, ditelannya kamu, bukan dia gigit dan kunyah!" ujar ibunya.
Kenit tertawa.
"Idea yang bagus!"
Seperti yang dijangkakan, gergasi pun datang ke dapur rumah Kenit. Dia tolak pintu. Sengaja dibiarkan pintu tidak berselak. Maka gergasi pun terus melahap makanan yang ada. Tak cukup dengan melahap makanan, gergasi nampak Kenit yang mengada-ngada, gedik bukan main. Maka ditangkapnya Kenit dan gergasi pun nganga mulut.
Ngappp! Kenit ditelan hidup-hidup oleh gergasi.
Tamatlah riwayat Kenit kalau begitu.
Tetapi untuk dijadikan sebuah cerita yang menghiburkan, maka Kenit yang berada dalam perut gergasi itu berada di alam dunia yang gelap. Mana ada lampu dalam perut gergasi. Dengan senjata jarum jahit yang dibawanya itulah, dia cucuk sekuat-kuat hatinya perut gergasi.
Ketika dicucuk begitu gergasi rasa lain macam. Rasa sakit pula perut. Ini mungkin melantak banyak sangat. Habis kari dan sambal dicampur. Air kopi tahi musang campur milo sekali. Campur rempah kari yang disangkanya serbuk minuman yang sedap.
Maka, menggelupurlah gergasi. Rasa nak berak pun ada. Gergasi menahan rasa sakit perut. Menyucuk-nyucuk. Apa tidaknya, dalam perutnya sudah ada kuman nama baru bernama "jarumkenit", yang tidak ada istilahnya dalam buku perubatan pun.
Dalam bab sakit perut, kuman ini tidak diketahui lagi. Satu penyelidikan perlu dibuat.
Akibat cucukan jarum dari Kenit yang juga hampir kelemasan kerana gelap gelita dalam perut gergasi, maka gergasi itu meraung kesakitan. Seisi kampung mendengarnya. Suara gergasi meraung, semua orang kecut nak keluar.
Emak Kenit sudah lari tinggalkan rumah, takut nanti gergasi mengamuk sakan. Satu kampung kosong kerana mendengar raungan gergasi. Khabarnya jeritan gergasi itu boleh didengar hingga 5 kilometer.
Akhirnya gergasi mati terlentang di halaman rumah Kenit. Kerana tidak ada gerakan lagi, maka Kenit dengan susah payah merangkak dalam perut gergasi. Mujur mulut gergasi ternganga, jadi ada udara masuk dalam perut, dapatlah Kenit bernafas.
Kenit keluar dari perut gergasi. Ketika keluar, Kenit tengok orang kampung sudah berkerumun. Siap krew televisyen semua, pihak perubatan, bomba dan semuanya datang berkerumun.
Kenit keluar sambil membersihkan badannya yang comot kena keladak yang menyendal dalam perutn gergasi. Baunya satu kampung. Kenit dimandikan. Satu cawan air pun cukup. Satu botol mineral pun sudah boleh bersihkan Kenit.
Inilah versi terbaru cerita Si Kenit. Ceritanya lain dari yang lain, belum pernah dibukukan. Jadi, kalau orang tanya wujud atau tidak orang kenit? "Hanya fiksyen sahaja! Yang kenit itu adalah haiwan, bukan dari jenis manusia!" Mungkin gergasi ini hanya perlambangan pihak yang berkuasa dan zalim, dan Kenit lambang kepada rakyat kecil lagi kenit. Wallahu a'lam. []

MITOS DALAM SESEBUAH KEPERCAYAAN

KITA beranggapan secara apriori, mitos itu sesuatu yang tak perlu ada dan bahkan secara frontal dianggap sebagai musyrik, bid'ah, khurafat, tahayul dan sebagainya. Sejarah ilmu pengetahuan moden bermula dari falsafah Yunani. Mitos itu lawannya logos dan dimenangi oleh logos. Mitos dipisahkan dari ilmu pengetahuan moden.
Bahawa manusia itu adalah mikrokosmos di tengah-tengah makrokosmos, ia menjadi kecil di tengah-tengah alam semesta.
Mitos juga boleh direka secara kreatif untuk mengangkat sesuatu keperihalan. Di dalam kitab Sejarah Melayu yang kebanyakan orang menganggap begitu sakral dengan segala macam mitos, maka ia juga bertolak dari kekreatifan seseorang yang menyusun cerita.
Penyusun cerita menjadi dalang bagi sebuah kepercayaan dan kemudian menjadi keyakinan, sentiasa disebut-sebut seperti ia suatu pembenaran yang sanadnya terpenuhi.
Mitos mengenai asal-usul menjadi semacam kemestian pada masa silam. Jika percaya kepada mitos maka asal-usul seseorang itu bukanlah dari manusia biasa kerana pencarikan minda itu amat keterlaluan.
Contoh, naratif asal-usul Raja-raja Samudra/Pasai yang didakwa dari buluh betung dan gajah [baca Hikayat Raja-raja Pasai].
Tentang asal Raja Acheh pula dari keturunan dewa-dewi [baca Hikayat Acheh].
Raja-raja Kedah pula konon dari keturunan Rome [baca Hikayat Merong Mahawangsa].
Raja-raja Jawa Majapahit pula konon berasal dari gergasi [baca Ceritera Palembang].
Raja-raja Perak pula bernasabkan Iskandar Zulkarnain [baca Misa Melayu].
Juga mitos Raja Kechil [dalam Hikayat Siak].
Mitos yang dimaksudkan di sini adalah perkara ajaib yang dikaitkan dengan tokoh tertentu, yang kebenarannya diragui, ia seperti tradisi asal-usul, pengalaman-pengalaman aneh, unsur-unsur mimpi yang seolah-olah kebetulan.
Kenapa ada mitos?
Setidak-tidaknya hendak menguatkan seseorang tokoh, bagi menggambarkan ia bukan orang biasa, kedudukannya istimewa kerana ia berbeza dari orang lain.
Soal siapa yang memulakan mitos itu, tidak pula dikaji secara terperinci, padahal pada zaman moden ini, sudah sewajarnya pembetulan dilakukan terhadap mitos-mitos itu agar orang berfikiran secara logos.
Cerita mitos yang dikarang sedemikian rupa memang disedari secara pintar dan memang sengaja dijalin begitu bagi tujuan tertentu pada masa akan datang.
Setidak-tidaknya, bimbang berlaku pertikaian tentang asal-muasal sesuatu ritual atau peradatan yang telah diperadatkan.
Apakah ia memang wajar untuk seseorang tokoh kalau asal-usulnya tidak tentu arah dan serba absurd itu? Apakah memang ada manusia yang asal-usulnya begitu kecuali kalau ia dari keturunan bukan manusia atau dari jenis bota atau jin?
Dalam pengertian yang paling mudah di zaman moden ini mitos itu boleh jadi memperkaitkan, mempertalikan seseorang tokoh masakini dengan cerita masa silam, dengan mengatakan bahawa tokoh sekian adalah keturunan daripada bangsawan umpamanya, dia memang keturunan raja bagi mengangkat keistimewaannya yang sudah diistimewakan massa.
Dalam cerita, mitos adalah penyendal, atau iklan, atau selingan, kalau siaran langsung televisyen selalu mengatakan, "Jangan ke mana-mana, ikutilah seterusnya..." 

MITOS YANG MISTERI
Mitos menyebabkan cerita itu menjadi panjang berjela.
Ada sahaja idea yang lebih merupakan cerita misteri campur mistik, kepercayaan nenek moyang yang tidak berakar umbi kepada dasar agama pun.
Bayangkanlah, sekiranya tidak disebut bahawa Raja-raja Melaka itu keturunan Zulkarnain, maka alangkah goyahnya kehadiran mereka.
Ada dua kemungkinan kenapa mitos itu sengaja dimasukkan.
Pertama: tokoh itu hanya rakyat biasa, hanya dia mempunyai keberanian mengangkat dirinya sebagai pelakon utama.
Kedua: dia tidak ada keyakinan diri kerana tiada siapa memayungi kehadiran atau kedatangannya ke negeri yang hendak dibuka.
Ketiga: pada masa dulu orang tidak tahu siapa Iskandar Zulkanain pun, bahkan hingga sekarang, Iskandar Zulkarnain itu masih dipertikaikan. Ia malah tidak ada kaitan dengan Zulkarnain yang disebut di dalam al-Quran [al-Kahfi: 83 dan seterusnya].

TANGGAPAN MASA DULU
Bagi menggambarkan betapa hebatnya pengaruh keturunan ini, seseorang itu akan menggeletar gerun kerana daulatnya apabila disebut nama Zulkarnain.

"Maka titah baginda Raja Akil, 'Tiada boleh seseorang hendak membinasakan hambanya, jikalau tiada dengan izin Allah taala, tiada boleh itu. Maka kita mudik ke hulu ini, kita tiada takut akan segala yang bernyawa. Jikalau tiada seperti kata itu, bukanlah kita pancaran Sultan Iskandar Zulkarnain.' Maka Panglima Putih pun menangis, menggeletar tulangnya." [Hikayat Siak].

Paling mudah, ia umpama ijazah, perakuan dari seseorang untuk meningkatkan status seseorang tokoh. Kalau rakyat biasa pun mungkin dia akan kata, "Saya ni anak mantan ketua kampung."
Dengan berkata begitu dia sudah dihormati oleh orang sekeliling.
Atau: "Saya ni sudah banyak kali masuk penjara jangan awak tak tahu." Maksudnya agar dia ditakuti, digeruni dan jangan dipengapakan.
Dan apabila seseorang raja itu dikatakan keturunan dari gergasi, memang orang masa silam amat takut kepada apa yang dinamai sebagai gergasi.

KELEMBAI
Sama halnya dengan orang kita yang takut hendak bercakap lebih tatkala berada di tengah hutan kerana bimbang Sang Kelembai mendengar suara kita. Takut ditegur oleh Sang Kelembai yang merupakan sejenis hantu juga mengikut kepercayaan orang-orang zaman dahulu.
Asal-usul yang dibawa oleh watak Kelembai pun cukup banyak, penangan magik Sang Kelembai begitu dahsyat sekali, kata-katanya berbisa mengalahkan mukjizat.
Inilah perlu dibetulkan terutama dalam cerita kanak-kanak tentang mitos Kelembai yang kemampuannya amat luar biasa.
Tidakkah ini memberi kesan sampingan kepada keyakinan kanak-kanak yang membacanya? Ada juga makhluk yang hebat begitu, tegur sahaja sudah jadi batu. Lembu ditegur jadi batu. Semuanya jadi batu.
Atau, Kelembai itu memang tidak wujud pun.
Apabila orang melihat batu yang besar-besar, maka mereka pun mengasosiasikan bentuk batu itu kepada kewujudan yang nyata. Maka diperhatikan baik-baik batu itu, adakah ia menyerupai haiwan misalnya. Jika seperti gajah, maka dikatakan dulunya gajah itu ditegur oleh Kelembai hingga jadi batu.
Kalau menyerupai ikan, maka ikan itu konon ditegur oleh Kelembai juga hingga jadi batu. Asalkan ada gunung, bukit atau batu menyerupai haiwan atau makhluk lain, maka ia dikaitkan dengan sumpah atau teguran Kelembai.

HIDUP
Jadi, disebabkan mitos inilah, kita sekarang menjadi semakin hidup. Hidup dengan berbagai cerita. Tanpa mitos rasanya seperti mati idea. Orang kata mati kutu. Daripada mitos inilah setidak-tidaknya orang boleh cari makan dengan membuat benda-benda atau produk yang boleh dipasarkan secara leluasa. Mitos pun boleh dijual. Jangan fikir mitos itu suatu khayalan. Di dalam bentuk buku cerita, ia masih merupakan produk. Dalam bentuk rajah-rajah, ia masih diperlukan oleh orang yang suka kepada rajah-rajah [untuk tangkal azimat misalnya].
Dengan kerana mitos inilah, maka ada tenaga utama diperlukan untuk memindahkan makhluk halus dari satu tempat ke tempat yang lain. Boleh kita mencari guru sejati yang ilmunya segudang.
Kita boleh ajak orang yang pintar untuk menarik harta pusaka di dalam tanah, atau harta pusaka dari dunia ghaib, boleh pula orang pintar memanggil khadam [dengan berbagai jenis khadam dan tugasannya].
Dengan sumber mitos itu kita boleh melakukan raga sukma, meranjau dan merayau ke kawasan penempatan jin sekadar membuat tinjauan bagi melaksanakan projek mega untuk kaum jin [misalnya], dan yang penting, kerana mitos tadi, kita bersungguh-sungguh mencari ilmu untuk memecahkan mitos. Itu belum menyentuh bab metafizika.

ANAK JIN
Mitos yang sengaja direkacipta secara berani adalah apa yang dikaitkan dengan Raja Kechil yang pernah berperang untuk merebut kedudukan. Ia semacam perang antara Minangkabau dengan Bugis di Johor.
Lihatlah apa yang Raja Kechil Siak telah lakukan. Dia menyuruh orang mengkhabarkan bahawa dia adalah orang istimewa. Dia tidak ada waris untuk memegang takhta di Johor. Maka direkalah cerita berikut:
  • Diceritakan asal-usulnya, sejak lahir dari siapa.
  • Di masa kanak-kanak keistimewaannya sudah menyerlah, berbeza dari kanak-kanak lain.
  • Ketika remaja, pengalamannya aneh-aneh.
Yang lebih utama dia didakwa sebagai anak Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
Dalam Tuhfat al-Nafis [bukan kitab agama] diceritakan bahawa Raja Kechil Siak itu adalah anak lelaki Marhum Mangkat Dijulang, terbunuh di Kota Tinggi, oleh Megat Seri Rama. Ibunya [iaitu isteri kepada Marhum Mangkat Dijulang] bernama Encik Pong [atau Cik] yang merupakan anak Laksamana.
Yang peliknya dalam kisah mitos ini, Encik Pong ini telah "makan" air mani Marhum Mangkat Dijulang. Ketika bila? Iaitu ketika baginda sedang asyik berahikan seekor peri [makhluk jin maksudnya].
Maksudnya, Mahmud Mangkat Dijulang ini tidak "berkahwin" dengan manusia biasa, tetapi dengan makhluk halus dari jenis jin atau puteri-puteri jin [seperti Puteri Gunung Ledang, Ratu Kidul misalnya].
Disebabkan Encik Pong menelan air mani baginda, maka dia telah bunting. Dan hasil dari pembuntingan itulah lahirnya Raja Kechil Siak. Dia datang ke Kota Tinggi menuntut haknya sebagai pewaris takhta.
Kisah asal-usul Raja Kechil ini pun menarik, apalagi kisah ibunya Encik Pong. Sayangnya tidak ada riwayat yang khusus mengenai bab ini.
Kesimpulannya: Dalam kebanyakan buku yang bercorak sejarah masa silam, unsur mitos tidak dilupakan, ia malah menyebabkan cerita jadi cantik berkembang dan pengarang dengan leluasanya menyelinapkan kisah itu seperti kisah nyata jadinya. Wallahu a'lam. []

Saturday 15 December 2012

TANGKAL KEBAL 13 MEI

KETIKA membelek buku catatan lama, saya terjumpa catatan begini:
Ketika 13 Mei 1969 dulu, ada empat orang kyai di Kampung Bahru, Kuala Lumpur yang dikatakan telah mengedarkan beberapa sarana penting yang dipercayai dan diyakini pada ketika itu, iaitu: pengambilan air jampi dan tangkal kebal.
Tidak diketahui bagaimana bentuk tangkal kebal yang dimaksudkan, adakah ia berupa benda yang telah dipotong-potong ikut saiz tertentu, kemudian dibungkus dan dijahit dengan cermat. Biasanya kain warna hitam, merah atau kuning.
Di mana benda itu dipakai? Menurut sahabat yang menceritakan Pak Jamal [Jalaluddin Rahmat asal Kg. Bharu] ia diikat pada pinggang. Jangan diperlihatkan kepada orang lain.
Manakala air jampi itu berupa air mineral sekarang. Air yang telah didoakan dengan sesuatu maksud tertentu.
Tidak cukup dengan sarana ghaib itu yang mebolehkan seseorang jadi kebal, malah bukan tidak ada cerita yang mengatakan orang itu boleh terbang. Ini yang dinamakan mencarik adat. 
Bahkan, ada yang menggerunkan, ada orang cerita, ketika itu banyak terjadi parang terbang. Dan bukan keris terbang.
Apa pun yang diceritakan itu bukanlah parang itu terbang sendiri. Sekiranya tidak dilemparkan oleh seseorang, maka parang itu tidak akan terbang.
Tidak cukup dengan cerita yang ditokok-tambah itu, ada pula yang mengatakan ada kelompok tertentu yang menggelar diri mereka sebagai tentera sabil. Pasukan tentera ini konon datang dari Sungai Manik, Perak nak masuk ke Kuala Lumpur, tapi mereka dihalang dari memasuki zon panas itu.
Kemudian tidak cukup dengan hal itu ada lagi cerita tambahan, adanya kelompok yang dinamai sebagai tentera selempang merah, datang dari Muar dan Batu Pahat.
Hakikatnya ia hanya cerita yang digembar-gemburkan oleh kalangan tertentu sahaja, terutama mereka yang ketika itu gemar kepada macam-macam ilmu.
Bahkan seorang kawan lain mengakui, pernah berguru di Negeri Sembilan dan Melaka, dan dia mengakui ada mengamalkan ilmu semacam kebal begitu. Pernah tunjuk aksi ketika zaman pancaroba dan pernah melarikan diri ke Johor dan menumpang di rumah bekas pegawai polis berpangkat [Dato Zaman Khan]. Semua ini tinggal kenangan belaka.
Ditanya, adakah itu rusuhan kaum? Dia mengakui tidak. Benda itu spontan terjadi, bukan kerana perkauman, tetapi ketika itu masih banyak kumpulan samseng di sana-sini. Dan di sekitar KL sendiri, macam cendawan tumbuh lepas hujan. Kumpulan samseng aktif di sana-sini. Sebut mana jalan dan lorong, ada sahaja kelompok yang aktif. Dan kawan saya tadi juga mengakui menganggotai salah satu kumpulan samseng. Kini dia sudah taubat dan yang susahnya ada susuk yang tak dapat nak buang, masih ada dalam badan. Susuk apa? Kebal, katanya. Begitulah ceritanya. Wallahu a'lam. [Majalah Intisari].

BAJANG, APA DIA SEBENARNYA?

KALAU sesiapa semak kamus [DBP] bajang itu adalah sejenis hantu berkuku panjang yang konon suka kacau perempuan hamil atau kanak-kanak. Itu adalah gambaran tentang Si Bajang, tetapi tidak dipastikan apakah gambaran ini dari penglihatan seseorang yang pernah terserempak dengan hantu tersebut? Tidak dipastikan lagi.
Kawan saya dulu, Dharmala NS ada tulis buku bertajuk BAJANG PELIHARAAN, terbitan Mulya Utama, Taman Seri Gombak, Selangor. Dia gunakan nama samaran Tuk Awang Ngah. Ilustrasi buku itu dibuat oleh Masden, Pak Ngah yang orang anggap penjaga atau jurukunci di Tasik Pedu dulu [andong misnon.blogspot.com].
Hal hantu bajang ini sebenarnya ada banyak versi. Lain orang lain ceritanya. Lagipun penampakan hantu ini adalah sesuatu yang sukar diceritakan, lainlah kalau ada sesiapa yang dapat menyimpan gambarnya baik dengan kamera telefon tangan atau kamera digital yang canggih.
Menurut yang empunya cerita, hantu bajang ini perlu diwarisi. Jadi ia adalah salah satu saka di kalangan orang kita. Jika tidak ada pewaris, pemilik atau tuannya akan sengsara hingga jadi macam bangkai bernyawa. Ketika meninggal mayatnya berbau busuk dan jika ditanam, [konon] ia akan bangun semula.
Dan kalau dia sudah bangun semula, maka dia akan datang ke dapur dan menyelongkar makanan yang ada, dia makan dengan lahapnya.
Kisah ini kalau difilemkan maka banyak bumbu yang ditokok-tambah untuk mengasyikkan supaya ia lebih menyeramkan.
Apa sebenarnya bajang?
Menurut cerita, ia asalnya daripada pemujaan, iaitu memuja mayat bayi yang mati ketika dilahirkan. Bagaimana hendak memujanya? Adakah dia kena larikan mayat bayi itu atau korek kubur bayi itu setelah ditanam? Tidak diketahui. Kemungkinan mengorek, itulah jawapan yang selalu ada.
Dalam bab ini tidak ada risalah tentang bagaimana hendak menghasilkan seekor bajang.
Sudah tentu ada syaratnya, ada kaedahnya, bukan terus jadi hanya dengan mengambil mayat bayi. Kalau bayi dicampak dalam tong sampah atau dalam tandas boleh atau tidak?
Nampaknya, kitab ilmu tentang bagaimana mencipta seekor hantu bajang tidak ada di pasaran. Kalau ada berebutlah orang memiliki. Jika ada pun, orang tak pasti ia sahih atau tidak, boleh dipakai atau tidak, atau rekaan semata-mata?
Kemudian kata yang empunya cerita, apabila sudah siap dipuja, maka ia jadilah hantu bajang. Rupa hantu bajang itu sendiri orang tak tahu, kecuali apa yang kamus nyatakan tadi. Berkuku panjang, suka kacau perempuan hamil.
Dalam cerita hantu kita banyak sangat hantu yang suka bayi dan perempuan hamil. Kenapa?
Mungkin ia ada kaitan dengan kepercayaan orang zaman dulu. Proses kehamilan dan kelahiran dianggap sangat penting, lebih-lebih lagi kelahiran bayi. Ia seperti dikeliling berbagai pantang larang semata-mata kerana banyaknya hantu yang berkeliaran yang dikaitkan dengan kelahiran bayi.
Hantu anak kerak di Siam pun gunakan bayi juga.
Bagi mereka yang telah memiliki hantu bajang, dia kena simpan hantu itu dalam ruas buluh. Ada sejenis daun digunakan untuk menutup hantu bajang itu dalam ruas buluh.
Nah, jadi kalau ada ruas buluh di rumah, berhati-hatilah, takut kawan-kawan anggap kita simpan hantu bajang pula. Ia macam buluh buat lemang juga.
Sebenarnya cerita hantu macam ini sudah hampir lupus dari masyarakat kita. Ia hanya cerita kosong yang tidak berfaedah. Lagipun, Islam telah menghapuskan amalan karut seperti ini. Jika ada bajang pun apa gunanya? Adakah ia memberi manfaat kepada pemiliknya? Dan penghasilan bajang pada peringkat awal pemujaan, atas tujuan apa? Mungkin pada zaman dulu, sesiapa yang ada bajang dalam peliharaan ia seperti memiliki seekor anjing garang yang boleh jaga rumah. Atau itulah senjata ghaibnya, andai diri dan keluarganya diganggu orang lain.
Kenescayaan itu ada pada tujuan ini. Iaitu untuk pagar keselamatan dari gangguan orang lain. Bukankah dulu zaman tak tentu hala? Kanun Acara Jenayah pun belum dikenali? Wallahu a'lam. []

KEJAWEN APA SEBENARNYA, TAK FAHAMLAH

KEJAWEN apa bendanya?
Banyak yang tak faham, terutama mereka yang berada di luar Jawa, bahkan orang Jawa sendiri pun tak faham.
Kejawen sebenarnya kepercayaan atau mungkin dikatakan sebagai  "agama" yang terutama dianut di Pulau Jawa oleh suku Jawa dan suku bangsa lain yang tinggal di Jawa.
Secara etimologi, kejawen dari kata Jawa, kaa benda yang bermaksud segala yang berkaitan dengan adat dan kepercayaan Jawa [kejawen]. Kejawen bersifat umum sebab bahasa pengantarnya menggunakan bahasa Jawa. Kejawen juga merupakan bahagian daripada agama lokal Indonesia [oleh Greetz, Kejawen disebut "Agama Jawi."].
Justeru jangan hairan kalau penganut Kejawen dengan seenaknya "beribadah" mengikut cara leluhur mereka seumpama ada sekelompok kecil yang membawa keris untuk ritual tertentu di Candi Ceto misalnya. Kejawen dalam pendapat umum berasaskan seni, budaya, tradisi, ritual, sikap cita falsafah orang-orang Jawa, kerana ia juga mempunyai spiritualisasi suku Jawa yang khas.
Orang Jawa tidak menganggap Kejawen sebagai agama, tetapi sebagai cara pandang dan nilai-nilai yang disertai tindakan mirip ibadah. Ajaran tidak terpaku ketat tetapi ada konsep keseimbangan.
Bukan tidak ada kajian yang mengatakan bahawa Kejawen ini mirip dengan Konfusiusisme atau Taoisme, namun ajarannya berbeza.

SIMBOL
Di dalam dunia Kejawen ada semacam perlambangan yang selalu ada bagi menghidupkannya. Simbol-simbol dalam laku praktis Kejawen umpamanya mesti ada benda-benda mistik ini: keris, wayang, mantera dan penggunaan bunga-bunga yang simbolik. Hal ini menurut kajian telah mengasosiasikan Kejawen dengan amalan klenik dan perdukunan.
Ada juga yang mengatakan bahawa ajaran kejawen ini bervariasi, mengadopsi, mengadaptasi ajaran agama besar - hinddu, buddha, Islam dan kristian. Telah berlaku apa yang dinamai sebagai sinkretisme yang dianggap telah memperkaya cara pandang terhadap tentangan zaman yang berubah.
Jadi dalam kejawen ada berbagai aliran tertentu, antaranya yang terkenal ialah Padepokan Cakrakembang; Sumarah; Budi Dharma; Maneges dan ajaran Sabdapalon [Syeikh Siti Jenar].

Mutakhir, para dai di Jawa sudah berjaya mendidik golongan muda untuk menganalisis apakah pandangan budaya dan keyakinan Kejawen itu sesuai dan selaras dengan ajaran Islam yang syumul? Maka, telah berlaku anjakan paradigma di kalangan umat untuk mencari kejernihan. Fakta yang dibicarakan ini mungkin tidak tepat dan perlu diperbaiki. Insya-Allah. []

KISAH CALON ARANG DARI PULAU BALI

RATNA MANGGALI nama anak dara Si Calon Arang.  Calon Arang di sana dikenali sebagai seorang perempuan yang mengamalkan ilmu hitam. Kelebihan ilmu hitamnya itu konon boleh mempengaruhi hasil tanaman mereka, sawah mereka subur atau diserang bena perang atau wabak lainnya adalah berpunca daripada ilmu hitam Calon Arang ini.
Maka, oleh sebab si emak amal ilmu hitam, anak daranya Si Ratna Manggali tak laku-laku. Orang tak berani nak masuk meminang. Padahal dia memang cukup cantik mengikut ukuran gadis Bali pada zamannya.
Calon Arang tentu tak sedap hati, sebab pada zaman dulu, kalau ada anak dara tak laku, orang tua juga yang dapat malu. Ke mana pergi orang akan tanya, bila Ratna nak nikah? Tak ada soalan lainkah? Lama kelamaan Calon Arang naik geram dan menyampah dengan soalan dan gosip keliling kampung.
Maka, sebagai pengamal ilmu hitam, Si Calon Arang telah berkira-kira hendak mencolek seorang anak dara untuk dikorbankan di sebuah kuil. Dia nak korban anak dara orang itu untuk persembahan Dewi Durga yang dia yakini dan imani.
Kebetulan apabila dia telah melaksanakan korban itu, berlakulah banjir besar di sekitar Pulau Bali. Apabila banjir melanda, banyak yang mati dan bangkai bertaburan, wabak penyakit pun menjadi-jadi.
Mengetahui perkara yang terjadi maka Raja Airlangga minta bantuan penasihatnya Si Empu Baradah. Raja Airlangga suruh Empu Baradah jumpa Calon Arang, bisik pada telinga perempuan tua itu bahawa Empu Baradah sedia untuk carikan calon yang layak berkahwin dengan anak dara Calon Arang yang jelita itu. Dia adalah Empu Bahula. Pesta perkahwinan diadakan tujuh hari tujuh malam. Tak dapat dibayangkan bagaimana keadaannya kalau zaman sekarang.
Maka, apa tujuan perkahwinan ini?
Ia sebenarnya ada muslihat terbesar. Bukan soal kahwin dengan anak dara Calon Arang sahaja, tetapi pihak istana sudah arahkan agar setelah berkahwin, dan tinggal bersama Calon Arang, Empu Bahula hendaklah masuk ke bilik pemujaan Calon Arang. Cari buku daras yang menjadi pegangan dia. Ilmu Calon Arang itu ada dalam kitab itu. Kitab induk ilmu Calon Arang.
Buku yang dimiliki oleh Calon Arang ini umpama kitab pegangan ilmu Ghaib mereka. Maka, setelah jadi menantu Calon Arang, Empu Bahula pun menekuni ilmu sihir dari ibu mertuanya, itulah ilmu mistik Calon Arang.
Dia belajar dan belajar sehingga tamat. Kira dia bertalaqqi dengan Calon Arang.
Ikut cerita, setelah tamat pengajian, maka buku mistik Calon Arang [masa dulu mana ada mesin fotostat] maka kitab induk itu dibawa keluar dari rumah Calon Arang. Kitab itu diserahkan kepada Empu Baradah atas arahan istana.
Apa sudah jadi? Rahsia keilmuan Calon Arang sudah diketahui oleh istana, maka dengan kemampuan ilmu tanding ilmu, Calon Arang sudah kalah. Dia tidak sedar, bahawa dengan kerana perkahwinan anaknya itu, ilmunya telah dapat dibocorkan. Tidak ada rahsia lagi. Peliknya Dewi Durga pun tidak tolong Calon Arang untuk melawan tindakan istana.
Akhirnya Calon Arang dan anaknya membawa diri ke kampung Ghirah, kerajaan Daha atau Kediri.
Sejak kekalahan di segi perang ilmu itu, maka ketakutan orang kepada Calon Arang sudah merundum di Pulau Bali.
Apa sebabnya orang gerun kepada nenek Calon Arang ini?
Mengikut cerita dia ini memang hebat dalam ilmu teluh, ilmu tenung. Dia mahir baca mantera tulah untuk mengenakan orang.
Apa yang berlaku setelah pindah ke Daha (Kediri?), disebabnya namanya sudah busuk, ke mana dia pergi, selalu dikaitkan dengan keburukan. Apabila di tempat baru itu juga terjadi musibah penyakit dan wabak, maka Calon Arang dan anaknya dipersalahkan. Kata yang empunya cerita, ketika di rumah Calon Arang boleh berubah wajah, dari cantik menjadi buruk dan cantik semula. Ia mengikut bulan mengambang.
Dari kisah ini kesimpulan yang boleh diambil, untuk mengalahkan orang yang berilmu, kita kena pelajari ilmunya baik dengan apa cara sekalipun, termasuk kepandaian bermuslihat. Tetapi kalau ilmu hitam buat apa kita curi untuk mempelajarinya? Adakah sihir nak digunakan untuk melawan sihir?  Wallahu a'lam. []

KERAMAT TIOMAN APA PULA?

KONON  ada sepasang naga [suami isteri] tinggal di Tasik Chini, Pahang.
Keduanya pergi ke Laut China Selatan melalui Sungai Pahang sebab nak pergi makan angin di Pulau Tioman.
Dalam perjalanan itu naga betina teringat pada kain cindai yang mistik. Apabila teringat kain itu, dia rasa tak sedap hati, nak balik semula ke Chini. Dia nak ambil kain itu.
Tetapi, cukupkah masa nak patah balik ke Chini dan kemudian meneruskan perjalanan ke Tioman itu?
Bukankah mereka sudah mengetahui, kain cindai ini ada syarat pembawaannya, kalau boleh jangan sampai kedengaran ayam berkokok. Itulah pantangnya. Ini pantang bagi naga, bukan pantang untuk manusia.
Maka, si betina pun patah balik nak ambil cindainya.
Boleh dikatakan usaha dia ambil kain cindai di Chini itu tercapai, hanya, untuk sampai ke garisan penamat, iaitu hampi pulau Tioman itu, terdengarlah suara ayam jantan berkokok.
Apa sudah jadi?
Dia kira sudah langgar pantang naga. Mengikut etika naga, benda-benda mistik atau mustika naga tidak boleh dikeluarkan sebarangan. Ada time yang kena dipatuhi. Jangan sampai cindai terlepas ke tangan manusia. Nanti manusia jadi naga perangainya.
Kesan daripada pantang tadi, konon naga betina telah menjadi Pulau Tioman.
Naga jantan pula jadi Gunung Nenek Mukut.
Jadi, kalau sesiapa pergi Tioman pasti melihat ada gunung Nenek Mukut.
Kalau orang tanya, apa asal-usul kejadian pulau itu, inilah ceritanya. Itu cerita. Pulau ini bukan dari naga atau ular besar pun, Allah s.w.t. dah jadikan pulau itu begitu cantik dan indah. Jadikan sebagai tarikan bagi memuji kebesaran Alah bukan nak jadikan pulau itu tempat lepak dan mabuk-mabuk atau tempat tengok orang telanjang.
Di Pulau Tioman pun ada benda keramat iaitu kubur keramat di Bukit Datuk yang orang panggil DATUK BUKIT. Gunung Nenek Mukut puncaknya kembar bersama Gunung Batu Siman di selatan Tioman. Yang kembar inilah dikatan sebagai tanduk naga, atau tanduk puteri naga tadi.Wallahu a'lam. []

TENTANG ISTILAH JAWA KUNO

Ada beberapa istilah yang orang bisa temui tatkala membaca artikel tentang Jawa dan budayanya [P.J Zoetmulder, 1995, Kamus Jawa Kuno-Indonesia, Jakarta:Gramedia].
Antara yang kerap kita temui adalah seperti berikut:

padepokan - maksudnya asrama
jenggala - gurun
jumantara - langit
kama - cinta
mitra - teman; rakan
moksa - kelepasan dari sengsara
pranala - pautan
punggawa - perajurit
samsara - lahir semula di dunia
tirta - air
tuna - kehilangan; tidak mempunyai [bukan ikan tuna yang kita faham]
tuna netra - buta
tuna rungu - tuli
tuna wicara - bisu
tuna daksa - tanpa tangan dan kaki
tuna laras - kelainan perilaku
tuna grahita - kelainan mental
tuna wisma - tidak punya rumah [di Malaysia wisma untuk bangunan]
tuna karya - penganggur
tuna aksara - buta huruf
tuna susila - tindakan amoral
widya - pengetahuan; ilmu atau pembelajaran
atma - jiwa
atmaja - anak
banaspati - pokok besar [dalam mistik disebut hantu banaspati]
biksu - rohaniawan Buddha
brata - tapa [bertapa]
butala - bumi
buta - raksasa
adipati - raja agung
cakra - roda
yoni - rahim; vagina
yogya - sesuai tatakrama
yuda - perang
kunarpa - mayat; bangkai
krida - tindakan terpuji
cula - tanduk
citra - gambar
ancala - gunung
antariksa - angkasa lepas

[banyak lagi istilah yang menarik, ada di antara istilah ini dijadikan nama samaran di kalangan penulis dan seniman, nama syarikat, penerbitan dan sebagainya].

KERAMAT TANJUNG TUAN

DULU kalau di sebut Tanjung Tuan, orang ingat pada keramatnya, selain keramat Sungai Udang.
Tanjung Tuan dulu disebut-sebut kerana di situ konon ada makan milik Parameswara, raja Melaka yang mula-mula.
Kemudian Tanjung Tuan juga popular sebagai tempat orang berkunjung terutama yang percaya dengan mistik. Konon di situ mereka boleh menurun, minta itu dan ini pada "keramat" akan tetapi permintaan yang paling agung dan pupular ialah minta empat digit.
Selain itu, ada juga yang mempercayai kekeramatan makam di situ kerana hiasan kain kuning dan alatan untuk ritual yang mereka lakukan. Letakkan apa sahaja, orang yang kemudian akan bertambah gerun dan psikologinya langsung "membesarkan" area itu sebagai keramat.
Bukan soal keramat itu yang nak diceritakan, tetapi kenapa dipanggil Tanjung Tuan?
Tuan siapakah? Ia mungkin ada kaitan dengan orang putih yang berkunjung ke situ. Rumah Api yang didirikan di situ jadi mercu tanda dari arah laut.
Sudah tentu Tuan yang dimaksudkan bukan sesiapa lagi kalau bukan orang putih. Dia tuan, dan kita hamba. Sikap memuliakan orang putih dengan panggilan Tuan sudah jadi kebiasaan. Dan sekarang, baharulah kita tahu, bahawa kita juga adalah Tuan.
Dalam surat menyurat kita dibahasakan Tuan/Puan, Encik dan sebagainya.
Tanjung Tuan dulunya terkenal dengan sebutan Cape Richardo. Sudah tentu itulah tuan yang dimaksudkan.
Kehebatan Tanjung Tuan ini pada zaman dulu ada kaitan dengan cerita lisan konon ada nelayan pantai yang dapat melepasi kawasan pusaran air di tengah laut bersetentangan Tanjung Tuan.
Orang yang mampu mengelak dari terkena pusaran air itu dianggap orang hebat, atau orang ada ilmu, orang ada keramat.
Khabarnya, pusaran air itu sangat merbahaya, tarafnya macam Tiga Segi Bermuda sana.
Semua nelayan takut hendak tempuh kawasan air pusaran di situ, jadi mereka cukup berhati-hati takut sampannya ditelan air pusaran.
Salah seorang nelayan kampung apabila menempuh kawasan air pusaran itu pada waktu bulan mengambang dikatakan telah berjaya merentasi halangan maut itu. Dia dapat berkayuh di kawasan air pusaran tanpa terkena apa-apa bala pun.
Kehebatan orang ini khabarnya ada kaitan dengan kubur Tuk Keramat Lela yang orang kunjungi sebagai makam keramat. Kehebatan nelayan yang dapat melepasti air pusaran itu, konon menyebabkan setelah dia meninggal, kuburnya dikeramatkan. Dia adalah orang keramat kerana hanya dia yang berani memasuki zone bahaya -- air pusaran yang bersetentangan dengan Tanjung Tuan. Wallahu a'lam. []

SEJARAH LELUHUR NAJIB, BETULKAH?

DI SULAWESI SELATAN ada permakaman Raja-raja Gowa.
Makam yang terletak di Bukit Tamalate, Kelurahan Katangka, Somba Opu, Gowa. Di situ ada makam Sultan Hasanuddin Raja Gowa ke-16.
Menurut catatan sejarah, I Mallombusi Dieng Mattawang Karaeng Bonto Mangape Muhammad Bakir, bergelar Sultan Hasanuddin, mempunyai anak, iaitu Raja Gowa ke-19, I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Sultan Abdul Djalil Tumenonga ri Lakiung.
Salah seorang anak lelaki  Sultan Abdul Djalil ini kemudian merantau ke Pahang. Dia yang merantau ke Pahang inilah kemudian menjadi leluhur kepada Najib sekarang.
Tidak diketahui kenapa ahli sejarah begitu bersungguh-sungguh mahu menyelusuri sampai ke Bukit Tamalate ketika Najib mengadakan lawatan ke Sulawesi tidak lama dulu.
Lawatan sebegini sangat ditakuti oleh Tun Razak pada masa dulu kerana ada isu besar mengenai siapa pendatang. Bagaimanapun isu itu sudah lenyap.
Ketika itu Tun Razak hendak pergi ke Beijing, dan sepulangnya dari sana Barisan Nasional pun disebut orang. Sebelumnya hanya Perikatan sahaja.
Jika benarlah itulah leluhurnya, maka tidak salah orang menggolongkan dia sebagai elitis bangsawan di kalangan Melayu yang mahu meneruskan legasi berkuasa dan menguasai orang lain, diangkat menjadi pemimpin di kalangan partinya. Mungkin ada sanggahan baru dalam soal sejarah. Wallahu a'lam. []

Thursday 13 December 2012

MISTERI JUGAKAH DI MASJID INI?

SELALUNYA kalau pagi Jumaat di masjid itu ada satu ikat akhbar Berita Harian diletakkan dekat tangga nak naik ke tingkat atas. Terpulanglah siapa nak baca, ambillah satu, nak ambil lebih buat apa, cerita serupa juga berita dan laporan semalam, setengahnya dah dipaparkan dalam laman sesawang pun.
Yang musykilnya, daripada satu ikat akhbar percuma itu ketika saya ke masjid saya dapati hanya tinggal 3 naskah sahaja lagi. Peliknya? Kalau tinggal tiga, maknanya pagi Jumaat ini ramai orang solat. Seorang ambil satu, satu bundle habis. Ini sudah baik.
Kebetulan ketika saya sampai, bilal pun baru nak naik tangga. Seorang jemaah ambil akhbar berkenaan dan disorokkan di celah tempat air panas dan sejuk. Nanti dia nak ambil selepas solat subuh.
Sampai di lantai atas, tak ada orang pun. Hanya dua orang sedang solat sunnat. Maknanya, akhbar yang percuma itu bukan dibawa naik ke atas ruang solat, sebaliknya "ghaib" yang entah dilakukan siapa.
Rasanya inilah kali ke tiga yang saya sedari perkara misteri ini berlaku.
Musykilnya, ke mana akhbar Berita Harian yang tak laku itu dibawa?
Ada beberapa kemungkinan:
[1]. lebih baik akhbar itu dibuang sahaja daripada diberi percuma kepada jemaah masjid kerana isinya asyik membantai pihak pembangkang tak habis-habis, dan sebab itulah pasarannya merundum, atau bahkan akan tutup kedai suatu ketika nanti.
[2]. akhbar itu telah dikaut oleh seseorang untuk disimpan sebagai koleksi peribadi.
[3]. akhbar itu boleh dijual di pasaran bebas.
Sebaik berada di lantai atas saya pun tanya bilal yang baru sampai, kebetulan dia sedang petik suis kipas angin. Bilal kata mungkin ada orang simpan akhbar itu. Saya kata, nak simpan buat apa, isinya sama. Nak simpan dua tiga naskah untuk pejabat masjid tak apa, tetapi sampai satu bundle nak buat apa?
Bilal tidak tahu nak jawab. Mungkin baru dia perasan dengan soalan dari seorang jemaah macam saya yang prihatin dengan masalah ini. Terus terang, saya tak baca Berita Harian walaupun dulu saya biasa menulis untuk akhbar berkenaan termasuk laman Berita Minggu.
Akan tetapi ia bukanlah isu besar. Ada atau tidaknya akhbar berkenaan di masjid tidak jadi masalah.
Antara masjid yang satu ini [di Gombak] dengan masjid Pakistani KL, saya buat giliran untuk solat Jumaat. Jika minggu lepas di masjid ini, minggu depannya saya kena pergi Masjid Pakistani, Chow Kit, KL.
Di masjid Pakistani, kutbahnya ringkas. Tidak ada wacana tentang perpaduan, tidak ada wacana tentang moral muda-mudi, tidak ada wacana tentang kesetiaan, atau wacana tentang bersyukur. Yang penting tidak ada mendoakan. Fikiran pun tenang, tidak rasa berserabut. Meskipun kutbah disediakan oleh Jawi, tetapi kutbah itu senada dengan akhbar nasional juga. Itu sebab jemaah semua mengantuk atau asyik main telefon pintar ketika kutbah dibacakan. Rasanya belum ada fatwa tentang keasyikan dengan benda-benda ini dikeluarkan oleh pihak tertentu. Atau teguran ketika kutbah Jumaat.  []

BENDA MISTIK MEMANG DIGEMARI

BENDA-benda mistik memang digemari orang. Kebetulan suatu hari, saya berada di pasar karat Petaling Street, KL, pada suatu hari Sabtu. Peniaga memang ramai. Orang yang ada kedai pun heret barang ke situ untuk dijual. Kalau nak buka kedai pun tunggu pukul 10.00 pagi, di situ mereka boleh buka kedai paling awal ketika orang sedang solat Subuh. Tak solat ke bang? Mana tahu! Perkara ini sensitif. Nanti melenting pula.
Jadi, kebetulan seorang lelaki dari utara baru mai katanya dari Kulim. "Saja nak tengok lagu mana kalau boleh berniaga di pasar karat," katanya.
Peniaga ini bukan tak biasa jenguk pasar karat pun. Dia kata dia pernah pi Lorong Kulit Penang, meniaga di sana. Dia pernah pi Ipoh. Dan kini nak cuba di KL pula.
Nama sahaja pasar karat, tetapi di sini macam-macam orang yang jenguk pasar. Kalau boleh nak cari harga paling murah. Kalau boleh nak cari handphone pintar harga RM50. Cincin harga RM2 atau jam tangan RM5.
Bukan orang tak ada duit. Sudah jadi tabiat manusia, kalau pi pasar karat, ditawarnya harga paling murah. Buku pun ada jual. Buku lama, nak kata terpakai pun tidak, buku telah dibaca. 

MISTIK BENDA
Yang saya nak sentuh ialah benda-benda mistik. Setidak-tidaknya ada beberapa orang yang berniaga benda-benda seakan mistik. Nak kata mistik pun tidak. Apabila seseorang itu ketika berniaga bercakap tentang khasiat, kelebihan, tentang keyakinan orang, tentang kepercayaan orang terhadap sesuatu benda yang dijajanya, maka ia secara tak langsung sudah bicara tentang mistik.
Dan lelaki yang gaya penampilannya menyebabkan orang nak bertinggung di sisinya itu menawarkan cecair dalam botol berikat kain kuning.
Apa kegunaannya? Mungkin itulah minyak pengasih, minyak calit untuk kewibawaan, minyak asyik dan macam-macam.
Dan dia juga membawa semacam bulu burung cenderawasih, tapi tak nampak bulunya pun. Agaknya bulu burung itu sudah dicarik-carik dan dimuatkan dalam beberapa botol. Asalkan ada sedikit pun jadilah. Itu boleh dijadikan pengasih.
Itu belum dapat bangkai burung cenderawasih yang dibawa masuk dari Irian Jaya. Kalau ada, burung itu siap diselimutkan dengan kain sutera kuning, diletak dengan cermat. Maklum ia ada harga.
Kalau ada sesiapa nak beli seekor burung cenderawasih mati beragan [?] maka kena bayarlah dengan harga mahal. Apa gunanya? Ntah. Bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan atau sekadar mendengar orang kata.
Benda mistik yang nampaknya boleh dijual di pasar karat ini adalah batu cincin. Dengan kaedah bisikan, orang itu telah dapat menjual beberapa biji batu. Terpulang nak buat cincin atau setakat simpan dalam poket. Boleh mendatangkan manfaat katanya, kalau disimpan dalam dompet boleh jadi ibu duit. Bapa duit tak pernah pula orang sebut.
Mereka yang berniaga benda-benda berbau atau berunsuran mistik ini memancing golongan yang suka benda mistik.
Umpamanya yang minat patung Semar dari logam, ia konon boleh dijadikan pegangan. Untuk kebaikan apa, tidak pula dijelaskan.
Dia kata, hanya orang yang tahu dan kenal barang sahaja akan membelinya. Kalau orang baru? Tak kenal barang bagaimana?
Terpulang, sama ada nak simpan patung Semar kecil itu dalam almari kaca atau letak atas meja. Tidak jadi masalah.
Kalau sesiaa ingin benda macam ini tanyakan kepada lelaki Gurkha yang berniaga sejak sekian lama di Petaling Street. Mereka pun ada menyimpan barang-barang mistik.
Setahu saya, ramai juga kalangan paranormal sakti mandraguna datang ke situ untuk mencari benda-benda pelik sebagai koleksi. Ada yang beli secara borong. Bukan apa, nanti kalau datang orang berhajatkan sesuatu dia akan tunjukkan batu Gurkha itu.
"Suka batu? Saya boleh tolong, mana batu yang sesuai dengan seseorang," itulah barangkali cara dia memerangkap pelanggannya yang kebingungan.
Orang yang ditanya itu dah tentu diam membisu. Dia tak tahu batu apa pun. Tetapi dek kerana kepandaian main psikologi, seorang Tuk Baba misalnya dengan bijaksana telah memperdaya pelanggannya agar memiliki batu jenis "mata kucing" - ia sesuai dengan bintang kelahiran, sesuai dengan karakter.
Padahal itu hanya tabur jala sahaja, bukan betul pun. Pelanggan yang bingung itu angguk-angguk.
"Kalau kamu pakai batu ini buat cincin lagi bagus," kata Tuk Baba memujuk.
Biasanya usaha Tuk Baba akan berhasil. Jumpa dia nak pengasih sudah dapat. Sebotol berharga ratusan ringgit. Campur batu mata kucing sudah naik lagi harganya. Campur semua sekali, barulah sedar, Tuk Baba dah sapu duit dekat RM500. "Padan muka aku!" begitulah agaknya kekesalan orang yang sudah kehabisan duit. Kena pergi cari mesin ATM lagi.
Orang yang berniaga di Petaling Street, tidaklah zalim macam orang yang biasa iklan dalam majalah dan akhbar tabloid.
Nak gayung pembeli pun susah sebab di pasar karat ini, setiap orang hanya nak cari barang harga murah. Benda mistik pun agak-agak juga.
Mereka fikir tak kan benda mistik yang berguna nak dibeli dengan harga RM3? Fikirlah, umpamanya benda mistik yang difikirkan nak dijadikan sarana untuk bertandang ke istana Jin bagi mendapatkan bonus istimewa dari Bapa Jin -- Tarik Duit.
Dalam perkara mistik begini, orang tidak fikir sangat soal harga, kena agak-agak juga, biar munasabah.
Kawan yang datang dari Kulim ini kata dia hendak ke Bukit Jugra, Banting, Selangor pula. Nak tengok makam. Bukan dia tidak pernah dengar ada orang kata di Jugra pun ada benda-benda mistik yang diberi oleh makhluk tertentu.
Selalunya orang cerita tentang mimpi, tengah pejam mata berzikir, tengah tertidur sejenak, tengah tidak tahu apa yang terjadi, tiba-tiba benda itu ada. Cerita senada ini sudah kerap kali saya dengar dari orang perseorangan atau mereka yang gemar benda mistik.
Kawan dari Kulim telah berjaya menjual beberapa butir batu yang dikatakan ada khasiatnya. Apabila disebut khasiat daripada batu, khasiat dari kayu, khasiat dari cecair atau bulu haiwan, maka ia adalah mistik. Itu sebab kita katakan benda-benda mistik memang digemari orang.
Ada peniaga yang menumpukan barang-barang pelik begini sahaja. Sebutlah apa sahaja yang orang dok cari. Kalau tak ada pun, dia ada kawan yang memilikinya.
Itu belum bab melayari internet, banyak blog dan laman yang menyediakan barangan mistik. Peliknya, ada sahaja orang mencarinya. Harga banyak mana pun orang tetap beli.
Apa gunanya bang? "Manalah saya tahu!" begitulah jawapan orang yang berniaga barang mistik. Wallahu a'lam. []

KHAMIS MALAM JUMAAT YANG DITUNGGU

KENAPA Khamis malam Jumaat ditunggu-tunggu oleh setengah kelompok umat di mana-mana? Ya, sudah menjadi kebiasaan pada malam ini ia dipilih sebagai wadah masa yang sesuai untuk melakukan ritual apa pun baik yang mengikut jalan lurus atau jalan bengkok.
Maksudnya, malam malam ini dipilih untuk pergi ke mana-mana bagi tujuan duniawi semata. Maka walaupun tadinya elok berjemaah Maghrib semua, habis solat, mereka pun siap-siap capai kunci kereta atau motosikal. Nak ke mana kita?
Ada yang ke selatan, ada yang ke utara dan ada yang ke tengah. Semuanya mahu bertemu orang pintar. Memang sebutan orang pintar ini kurang difahami oleh setengah orang. Maksudnya adalah pak dukun, pawang atau apa sahaja panggilan bagi mereka yang "bijaksana" melaksanakan sesuatu bagi memenuhi permintaan orang yang datang dari jauh.
Dan yang memasuki kelompok ini tidak mengira siapa, ada yang sekadar suka-suka, ikut kawan, temankan kawan, atau ingin tahu, atau ingin tumpang persen kalau dapat, kalau tak dapat pun tak apa.
Maka, tujuan mereka datang bersila di depan orang bijaksana itu adalah semata-mata duniawi. Dengan kata yang mudah, mereka akan meminta itu dan ini kepada orang itu.
Mereka yang berbuat demikian tidak pernah pun memikirkan boleh atau tidak sebagai Muslim kita jumpa pak dukun atau orang bijaksana ini di hari Khamis malam Jumaat? Apa mistiknya malam itu dipilih untuk melakukan segala upacara?
Ini adalah dunia kelam yang ramai tak tahu. Acara yang mereka tempuh dilakukan pada sebelah malam, tak siapa tahu maksud dan tujuan mereka.
Jangan marah kalau dikatakan pada malam itu juga ada yang datang bersila mengadu hal di depan "Datok Baba" atau "Datuk", bersila depan nyonya, depan dukun Orang Asli atau Tuk Batin mereka.
Ada yang datang membawa barang-barang sarana yang sudah diberitahu awal dulu. Atau dengar cakap kawan-kawan.
Jangan lupa bawa duit, bawa lesung tembus, bawa kain kuning, bawa apple jin, bawa setanggi, kemenyan, bawa keris boleh menyanyi, keris boleh berdiri dan duduk, keris boleh berputar dan macam-macam lagi kehendak yang direka-reka. Ini tidak termasuk ayam cemani, ayam bulu terbalik, ayam hitam, ayam putih, ayam hijau, ayam kuning dan macam-macam.
Biasanya, hajat yang paling dominan adalah untuk kekayaan. Maksudnya bukan nak jadi jutawan. Nak jadi jutawan masuk parti politik yang berkuasa, untung sabut timbul, kalau batu tenggelam terus.
Banyaklah benda-benda mistik yang mereka cari. Untuk dapatkan benda mistik sebagai prasyarat jumpa orang bijaksana ini pun melampau-lampau. Ada yang sejak dulu sampai sekarang tak jumpa-jumpa pun. Apa yang dicarinya?
Bagaimana nak jumpa, benda yang dicari pun dia tak kenal. Tak pernah tengok pun. Hanya dengar temberang orang dan sembang di gerai.
Maka pada Khamis malam Jumaat diadakanlah ritual untuk tarik duit misalnya. Tempat dipilih adalah kawasan yang angker, menyeramkan, tempat yang dipercayai ada kaitannya dengan lokasi makhluk halus.
Ada yang buat kerja mengarut ini semata-mata nak dapatkan empat digit. Mana tahu boleh tepat tekaan nombor yang dipertaruhkan. Maaflah. Cerita main nombor begini memang sudah jadi mainan masyarakat bawahan, terutama orang yang pendapatannya pas-pasan. Mereka berangan hendak memiliki duit banyak. Orang kaya, orang politik pun berangan juga apa lagi yang tak ada duit.
Sekiranya ada sesiapa yang menawarkan ilmu berniaga satey gagak di kubur pun orang itu akan lakukan. Kena pula kubur depan rumah, maka dia pun beranilah berniaga satey gagak dengan harapan di pasar malam itu akan banyak pelanggan membeli satey gagaknya.
Atau sesiapa yang berhajatkan benda-benda bertuah, sanggup duduk sambil berwirid [?] di atas lempengan batu dalam gua, maka konon malam itu akan datanglah harimau putih yang menakutkan, datang ular anaconda yang menggelikan, datang syaitan menari-nari di depan mata, dan akhirnya datanglah lelaki berjubah [imej Islamik menurut pandangan mereka] dan lelaki itu akan menyerahkan sesuatu, baik duit, senjata lama, benda-benda bertuah, sabuk atau benda-benda lain yang kita tak pernah fikirkan.
Atau ada orang yang pergi panjat gunung atau bukit semata-mata melayani "mimpi" minggu lepas, yang menyuruh dia panjat bukit atau gunung kerana ada "Tuk Ayah" nak jumpa dengan cucu.
Maka sebagai cucu, dia pun patuh duduk di suatu tempat, bertemankan nyamuk dan serangga malam, dia tetap betah duduk menunggu kedatangan Tuk Ayah yang dijanjikan. Hairannya, semua tokoh yang diharapkan itu datang dari alam lain, alam yang tidak dijangkakan. Luar biasa. Ada kalanya dia datang seperti yang dijanjikan, ada kalanya tak datang pun.
Di suatu tempat yang dipanggil Gunung A ada orang yang bermalam duduk seorang diri dalam perigi buta semata-mata memenuhi kehendak Tuk Ayah. Ini macam program realiti Ekstrim! Duduk dalam perigi buruk buat apa? Kalau datang pembelit bagaimana? Ditelannya hidup-hidup kan menyusahkan semua? Dan menurut salah seorang pelaku dia telah mendapat wang kertas yang banyak hasil pemberian Tuk Ayah. Ini macam ritual kekayaan, nak sugih kata orang Jawa dan Banjar.
Kenapa saya kata Khamis malam Jumaat? Sebabnya, dulu, sekitar tahun 90-an saya kerap jumpa kelompok ini santai di kawasan masjid Pakistani Chow Kit, KL. Mereka sibuk menunggu seseorang yang dijanjikan. Selalunya kalau ditanya nak ke mana? Oh, nak ke Bukit Jugra, Banting. Nak ke Bukit Malawati, Kuala Selangor. Nak ke Linggi, Melaka. Nak ke Tanjung Tuan. Nak ke JB. Jadi, masing-masing sudah ada lokasi yang terbaik untuk dituju pada Khamis malam Jumaat.
Dan esok Jumaat, mana-mana yang telah berusaha untuk melakukan ritual yang bukan-bukan, ada yang hampa, ada yang menguap sepanjang masa, ada yang tergolek tak ada apa, ada yang happy, ada yang mengharap dan tak kurang nak pergi lagi minggu depan. Maknanya, walaupun acara yang ditempuh itu tidak menjanjikan apa-apa, orang seakan-akan seronok dapat melakukan aktiviti malam begitu. Tak dapat tak apa, yang seronoknya dapat melihat sandiwara depan mata, dan mereka turut berlakon walaupun tak ada siapa nak bayar. Mereka berlakon tanpa skrip.
Jadi, ingat ya Khamis malam Jumaat ini ada acara dan ritual tau! []