Thursday 13 December 2012

KENDURI DENGAN SYAITAN AGAKNYA JADI BIASA

IDEA kisah ini saya lebarkan berdasarkan cerita yang pernah dipaparkan dalam blog [saadabiwaqqas.blogspot.com] iaitu kisah yang pernah disiarkan dalam majalah IKTIBAR, edisi pengenalan tahun 1999. Sayangnya saya pun tak tahupun ada majalah ini di pasaran, sebab dalam masa yang sama dulu saya terlibat dengan majalah PESONA, di Taman Seri Gombak, Selangor. Ia sebuah majalah misteri juga, sebab pada masa itu bilangan majalah yang senada cukup banyak.
Kisah yang dipaparkan dalam IKTIBAR itu adalah cerita biasa. Mungkin benar atau rekaan sahaja, tetapi ia berkaitan dengan fakta juga.

KENDURI
Diceritakan, ada majlis kenduri kahwin di hujung kampung. Pak Man dengan isterinya hendak ke majlis kenduri itu selepas waktu zohor.
Kebetulan pada hari itu baru lepas hujan dan ribut. Maka, ketika keduanya hendak membelok ke suatu jalan yang sempit, dia terdengar suara tangisan kanak-kanak. Naluri ingin tahu segera menyergap dalam dirinya.
Siapa yang menangis? Tiba-tiba Pak Man terpandang ke arah tiga orang kanak-kanak bogel, perut buncit, mata melotot, telinga capang dan runcing.
Ini bukan kanak-kanak biasa, dan Pak Man sudah syak ia adalah makhluk halus, entah dari kelompok bunian, atau jin lainnya.
Pak Man memberanikan diri bertanya kepada kanak-kanak misteri itu.
"Apa halnya kamu menangis ni?"
"Rumah kami dah roboh!" tangisan mereka makin nyaring.
Ini psikologi makhluk misteri ingin perhatian manusia. Kanak-kanak biasa pun begitu juga.
"Habis nak buat bagaimana?" kata Pak Man selamba. Walaupun dia sedar, bahawa di depannya sekarang adalah makhluk jin.
"Boleh tolong kami tak?" pinta salah seorang daripada mereka.
"Apa dia?"
"Bagi tahu ibu dan bapa kami bahawa rumah dah roboh kena ribut, suruh mereka balik segera!" pesan kanak-kanak misteri itu.
"Bagaimana kami nak tahu emak bapa kamu? Kami bukannya boleh nampak?" ujar Pak Man yang memang menyedari bahawa makhluk pelik di depannya itu bukanlah manusia biasa.

MINYAK MISTIK
Penampakan yang ada itu pun boleh sirna bila-bila masa. Apa yang hendak ditakutkan?
"Ada kaedahnya Pakcik! Gunakan minyak ini, sapu atas kening kanan dan kiri, nanti Pakcik boleh lihat emak bapa kami," terang kanak-kanak buncit itu bersungguh-sungguh.
Pak Man lihat kanak-kanak buncit itu memegang botol kecil semacam minyak attar. Minyak begitulah yang banyak orang cari, sebab sesiapa yang memilikinya dia boleh berkelana di alam misteri, alam jin.
"Pakcik boleh pakai ke?"
"Boleh Cik, pasti jadi!"
"Habis, bagaimana kami nak tahu bapa dan ibu kamu? Bagaimana rupanya?"
"Oh, gitu...senang sahaja, ayah kami yang memakai rantai leher ada tengkorak kecil, ibu kami pula yang ada letak tulang ayam atas rambutnya."

PELIK
Pelik sungguh. Bagi Pak Man itulah kali pertama dia diberi kebolehan untuk memandang makhluk halus tanpa perlu minyak apa pun. Sebelum makhluk itu bagi minyak misteri, dia sudah mampu melihat kanak-kanak itu dengan pandangan mata biasa. Tak perlu mantera dan tak perlu minyak calit.
AKHIRNYA Pak Man dengan isterinya pun melanjutkan perjalanan. Dia tinggalkan kanak-kanak bogel yang misteri itu berdiri dekat sebatang pokok tumbang. Pokok yang tumbang itu adalah rumah mereka. Mereka tinggal di atas pokok itu. Ketika rumah mereka roboh dibantai ribut, ibu bapa kanak-kanak itu ada di tempat kenduri. Kenapa tak ajak anak-anak sekali makan kenduri?
Tiba di tempat kenduri, Pak Man dan isteri mencari tuan rumah. Begitulah adat orang berkenduri. Apabila sudah jumpa dan bersalaman, Pak Man dan isterinya pun mencari sudut yang cantik. Dia keluarkan minyak mistik gerbang ghaib, dicalit atas kening. Isterinya pun calit juga.
Wah, mengejutkan dan amat menakutkan.

KENCING
Sebaik kedua mata dicalit dengan minyak mistik itu, Pak Man dapat melihat begitu ramai makhluk halus berkeliaran di majlis kenduri itu. Ada yang berlari-lari, ada yang kencing di sana-sini, ada yang berak dalam pinggan atas meja, ada yang meludah, pendeknya makhluk pelik bin ajaib itu buat tak senonoh.
Langsung tak hormat kepada majlis kahwin. Kuah yang orang cedok itu sudah dikencingi oleh makhluk-makhluk tak semenggah itu.
Pak Man disuruh duduk dan menjamu selera oleh tuan rumah, dia hanya angkat tangan, maksudnya nanti dulu. Bukan nanti dulu, Pak Man tak sanggup, tak selera nak makan.
Dia tengok najis makhluk itu bersepah-sepah, boleh pula kencing dalam bekas rendang ayam, kencing dalam kuah masak merah, dalca, dan nasi briyaninya.
Apa ni? Seumur hidup Pak Man, inilah kali pertama dia tengok kenduri-kendara yang berserabut begitu.
Apa tidaknya, orang kampung yang ramai-ramai itu, berkerumun pula makhluk halus yang entah jenis jin atau syaitan.
Semua merubung macam lalat tahi.
Mereka makan dengan gelojohnya. Mereka boleh duduk di celah-celah para tetamu. Ketika itu muzik sedang beralun rancak. Lagu rock kapak. Lagu dan muzik memang kesukaan kaum syaitan dan jin. Makin rancak mereka buat hal. Ini majlis kenduri atau pesta maksiat?
Pak Man perhatikan sahaja. Dia tak lalu nak makan.
Biarkan briyani hebat dari katering yang ternama pun, kalau semua kuah, semua lauk dan nasi sudah dikencingi, sudah diberaki, sudah dimuntahi, sudah diludahi, dan macam-macam kenistaan lagi, maka Pak Man tak lalu nak makan.
Biarpun Pak Man kenal dengan tuan rumah. "Aku dah kenyang!" kata Pak Man berbohong. Dia tak mahu cerita apa yang dia lihat sebenarnya.
Dan kedatangannya hanya nak serah duit dalam sampul surat. Kemudian nak cari maka kelibat emak dan bapa kanak-kanak bogel yang menangis tadi? Rumah sudah roboh.
Mata Pak Man melilau mencari bapa budak bogel tadi. Katanya, orang itu pakai kalung ada tengkorak kecil. Tengkorak apa? Tengkorak monyetkah? Hah, dia suruh isterinya pula masuk ke rumah. Pergi cari ibu budak bogel tadi, ibunya yang ada tulang di atas kepalanya diselit di celah rambut. Mungkin ini stail makhluk halus yang terkini. Jadi, sesiapa yang makan ada tulang tak baca Bismillah, maka tulang itu akan dikutip, dimakan oleh makhluk ini. Selepas dimakan tulang itu dijadikan benda mistik, macam tangkal, diletakkan atas kepala, selit celah rambut. Untuk apa? Untuk kecantikan diri agaknya.
Isteri Pak Man masuk ke bilik pengantin. Itu dia. Ada perempuan berbadan gempal sedang duduk enak-enak. Di kepalanya ada tulang ayam.
"Cik! Cik!" tegur isteri Pak Man. "Rumah Cik dah roboh dipukul ribut, anak kamu menangis mintak kamu balik segera!"
Makhluk persis perempuan biasa itu terus bangun. Tanpa cakap banyak dia pun meluru keluar entah ke mana. Agaknya hendak tengok rumahnya yang sudah roboh dibantai ribut tadi.

RAMAI
Manakala Pak Man pula terpaksa berjalan di celah-celah orang ramai termasuk makhluk-makhluk yang entah datang dari mana. Mungkin yang datang ke kenduri kahwin ini ada puntianak, hantu tinggi, hantu air, hantu bukit, langsuir, pocong, genderuwo, wewek gombal, Puteri Gandasari, Puteri Darmawulan, Puteri Rembulan Kuning sebagai jemputan VIP di alam mereka.
"Cikkkkk!" jerit Pak Man sebaik terpandang makhluk yang memakai kalung tergantung tengkorak monyet.
"Apa hal?" ayah tiga kanak-kanak misteri itu terkejut dengan kehadiran Pak Man. "Macam mana kamu tahu aku di sini?"
"Anak kamu bagi tips rahsia tadi, rumah kamu dah roboh dibantai ribut, anak kamu menangis, tolong balik segera!" kata Pak Man dengan beraninya.
Makhluk jenis ini hairan bagaimana ada manusia boleh berkomunikasi dengan bangsa mereka. Ada yang tahu dan ada yang tak tahu. Mereka sudah tahu, Pak Man ada bawa botol mistik. Minyak calit. Kalau dicalit atas alis, boleh membuka terawangan ghaib, gerbang ghaib jin terbuka lebar.
Wah! Apa ni? Kenduri kendara sikit punya cantik, siap katering, ada DJ putar lagu-lagu tetapi tetamu yang datang semuanya tak senonoh. Terlondeh sana, terlondeh sini. Ramai yang dedah aurat. Baik makhluk jin atau makhluk manusia, orang kampung pun ramai yang buat begitu.
Manusia dan makhluk jin bercampuran macam ulat tahi. Pak Man langsung tak jamah nasi pengantin. Isteri Pak Man pun sama. Nak makan apa? Semua diberaki, semua dikencingi jin jahat.
Kini ibu bapa budak bogel tadi sudah balik. Bagaimana dia balik tidak diketahui. Mungkin dia ada kemahiran tertentu. Gerakannya pantas. Jika begitu kata Pak Man, makhluk ini pun tak tahu perkara ghaib, rumah sendiri roboh pun dia tak tahu?

PELIK
Kini Pak Man termenung panjang memikirkan kejadian pelik itu. Ketika dia berjalan pulang, dia melalui jalan yang sama. Dia tengok pokok tumbang itu terbiar. Tak ada sesiapa. Tabir misteri sudah dikatup. Dia cuba mencari botol minyak mistik yang diberi oleh kanak-kanak tadi. Tak ada. Ia sudah ghaib. Ceh! Sungguh bijak mereka. Mereka tak mahu rahsianya diketahui manusia. Pak Man tak dapat melihat kepelikan lagi. Begitu juga isterinya.
Ketika Pak Man dan isterinya bersembang dengan orang kampung, semuanya melopong mendengar cerita Pak Man. Padahal orang itu semua sudah pergi kenduri di rumah Pak Rahsia tadi. Mereka makan dan minum, siap nasi tambah lagi. "Aku tak nampak apa-apa pun?" katanya.
"Memanglah, mereka berada di alam makhluk halus, tak ada orang boleh nampak, hanya orang tertentu sahaja yang boleh nampak," kata Pak Man.
Pak Man kata semua makanan sudah diberaki jin, sudah dipijak-pijak, dikencingi jin, pendeknya semuanya tak boleh dimakan. Rasa nak marah juga pada Pak Man. Buat fitnah.
"Jangan-jangan Pak Man dah kena sampuk tak?" kata salah seorang sambil berbisikan sesama mereka.
"Entahlah!"
Begitulah cerita kenduri kahwin yang turut disertai oleh makhluk halus. Mungkin ada yang kata mengarutlah. Katering sikit punya hebat, semua sekali bayar ribu-ribu termasuk set pelamin, kanopi, DJ, jurufoto semua, termasuk pakaian, tak kan semua makanan ada najis? Jangan cakap, sebab kita tak nampak. Sedangkan acara kenduri kita banyak yang acaranya lari dari tajuk. Ada muzik dan nyanyian, ada perempuan dedah aurat, ada pergaulan lelaki perempuan, bersalaman, bertepuk tangan sesuka hati dan sebagainya.
Pak Man terfikir juga. Majlis kenduri kahwin tidak lepas dari gangguan makhluk halus. Apabila penyedia makanan tidak membaca Bismillah, maka begitulah jadinya. Kemudian yang hadir semua tak tutup aurat. Ada yang datang pakai kebaya jarang, fesyen nyonya Peranakan. Ini kenduri kahwin bukan pamer fesyen pakaian dengan model siap buat catwalk. Kena tukang andam dan pengiring jenis gedik-degik belaka, maka hancurlah acara itu.
Mungkin ada yang tak percaya. Tak apa.
Berhubung cerita ini ada kisah bagaimana seorang ustaz diundang untuk "rasmikan" sebuah restoranto 786 di suatu tempat, kebetulan ustaz ini memang dari perguruan as-Syifa, apa dah jadi, ustaz tak jadi turun kereta apabila sampai depan restoranto itu, kenapa?
Kata ustaz, punyalah ramai makhluk itu berkeliaran di sekitar restoranto, ada yang kencing, berak, dan macam-macam lagi dibuatnya. Ini semua gara-gara bakar wangian konon nak wangikan sekitar, tetapi jin yang datang, termasuk jin kafir. Jika di restoranto yang kita singgah di mana-mana pun bersepah makhluk tak kasat mata ini, maka tidak hairan di dalam kenduri-kendara kita, makhluk yang satu ini turut menyantap semahu-mahunya bersama kita. Wallahu a'lam. [] 

No comments:

Post a Comment