Tuesday, 11 December 2012

RUMAH ORANG TUA-TUA IKUT SISTEM PONDOK

Setahu saya sudah dua kali saya dengar ustaz yang sama ketika bagi tazkirah lepas maghrib di sebuah masjid di Jalan Gombak, Kuala Lumpur, menyebut tentang rumah sebagai pusat perlindungan untuk orang tua-tua.
Rumah orang-orang tua ini dianggap sebagai tempat terakhir untuk mereka yang tidak ada tempat hendak bergantung, lebih baik ditempatkan di situ dengan biaya sepenuhnya di bawah tanggungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Pun begitu ada juga tempat seperti ini, bukan perlindungan, tetapi memang ada penempatan kepada orang tua-tua untuk membaiki diri, menambah ilmu, tinggal di kawasan yang strategik jauh dari hiruk pikuk masyarakat sekeliling yang penuh kepelbagaian itu.
Antara lain ustaz yang bagi tazkirah itu cadangkan, rumah orang tua-tua itu elok dijadikan sebagai penempatan seperti sekolah pondok. Biar ia jadi macam perkampungan, ada berbagai kegiatan yang memberi faedah kepada penghuninya.
Akan tetapi biarlah pusat itu lebih menjurus kepada memberi ilmu kepada mereka dan bukan sekadar perlindungan dari hujan panas sahaja.
Dari pengalaman ustaz ini katanya, pernah diadakan majlis meraikan kelompok ini di sebuah hotel dekat Pudu Central, Kuala Lumpur, ketika orang nak solat ada kalangan penghuni pusat perlindungan itu hanya tengok sahaja, tidak tergerak pun nak ikut berjemaah, sedangkan mereka semua pakai serba cantik, baju Melayu dan samping semua, siap songkok tinggi atau songkok senget pun.
Kenapa? Rupa-rupanya mereka tidak biasa berjemaah begitu. Kekok. Maknanya, ada pusat perlindungan ini langsung tidak menerapkan ajaran ini sebagai amalan harian. Mungkin tidak ada orang yang cerdik sedikit di antara yang ada.
Maksud ustaz ini, pegawai yang berkaitan dengan kerja-kerja kebajikan ini biarlah mempunyai ilmu sedikit sebanyak, jangan yang tak tahu langsung. Barangkali kerana kejanggalan itulah, terfikir di hati ustaz ini agar pusat jagaan dan perlindungan orang tua-tua itu diubah namanya.
"Kita tidak mahu tempat ini dijadikan wadah untuk orang menghantar orang tua mereka," katanya.
Lagipun katanya, di KL ini semua orang bekerja. Anak-anak perlu bekerja untuk menyara keluarga. Ibu bapa yang dihantar ke pusat begitu bukanlah dengan niat nak buang atau nak abaikan mereka. Ada ibu bapa yang memilih ke situ untuk mencari ketenangan. Akan tetapi maksud ketenangan itu sekadar, berlindung dari hujan panas, kebajikan terjaga, ada ruang untuk jumpa kawan-kawan baru, boleh beraktiviti, tengok tv, menyanyi dan macam-macam. Penekanan kepada ilmu amat kurang.
Lantaran itu, ustad tadi mengesyorkan agar rumah orang tua-tua itu ditukar konsepnya. Bagi yang beragama Islam bolehlah ditempatkan di penempatan sistem pondok, setiap hari ada pengajian agama. Tak kan sudah berumur begitu mahu disuruh main gendang dan tamborin, menyanyi lagu-lagu pop atau rock, ya, bagi menyambut kedatangan pemimpin atau pembesar negara?
Begitulah antara lain yang diutakan oleh ustaz berkenaan. Ini ketika beliau menyentuh bab berbuat baik kepada ibu bapa. Tentang bagaimana Nabi s.a.w. tidak mahu tengok muka umatnya yang menderhaka kepada ibu bapa, orang yang tinggalkan sunnah Nabi s.a.w. dan mereka yang tidak berselawat kepada Nabi s.a.w. ketika namanya disebut.
Jadi setiap pusat untuk orang tua-tua itu mesti ada surau, ada guru yang mengajar di situ setiap hari, buat seperti sistem pondok. Ustaz ini juga menyebut contoh yang baik ialah apa yang dilakukan oleh Pak Yazid [adakah Pak Yazid Jaafar?] yang telah membina sistem menyerupai pondok yang mendapat sambutan di Keramat.
Di situ katanya ia sudah jadi tumpuan orang berada yang ingin mengabdi kepada ilmu. Golongan yang berada ini ada yang sanggup cuti panjang untuk "lepak" di situ semata-mata untuk mengikuti pengajian yang ada. []

No comments:

Post a Comment